Sunday, November 1, 2009

Mendekati PTPTN - Sahabat Baik Kepada Student


Sebagai student, kewangan memberi kesan yang sangat besar dalam kehidupan kita. Maka tidak hairanlah ramai yang berlumba-lumba belajar bersungguh-sungguh semenjak sekolah menengah lagi bagi mendapatkan keputusan cemerlang dalam SPM dan seterusnya berjaya mendapatkan biasiswa. Begitu juga dengan mereka yang berada di matrikulasi, CGPA yang tinggi menjadi penentu sama ada badan-badan seperti JPA, MARA, Bank Negara dan sebagainya akan membiayai pembelajaran mereka ataupun tidak.

Namun begitu, ada bilangan tertentu yang diperuntukkan oleh badan-badan tersebut dan pasti ada yang gagal memperolehi biasiswa walaupun mereka sangat memerlukan. Jadi mereka terpaksa beralih kepada pilihan yang lain dan meminjam dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merupakan antara pilihan yang popular.
Menurut laman web Malaysiakini (13 Ogos 2008), Kira-kira 1.04 juta pelajar siswazah (diploma dan sarjana muda) dan bagi 2,473 orang pula pasca siswazah (sarjana dan doktor falsafah) bergantung pada PTPTN.

PTPTN sebelum ini mengenakan caj tiga peratus bagi penuntut peringkat siswazah, manakala lima peratus kepada pasca siswazah sebagai kos perkhidmatan tetapi telah menurunkannya kepada satu peratus bermula Jun 2008. Kos perkhidmatan inilah yang senantiasa menjadi isu yang senantiasa evergreen kepada peminjam PTPTN kerana mereka terpaksa membayar lebih banyak berbanding dengan pinjaman yang mereka lakukan.

Namun lebih penting untuk kita melihat pandangan syara’ berkenaan hal ini. Adakah caj perkhidmatan ini merupakan riba ataupun tidak. Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman yang merupakan penasihat syari’ah kepada bak-bank dan syarikat-syarikat yang banyak telah menulis dalam webnya ”Dari sudut Shariah, 3 % yang diletakkan sebagai kos perkhidmatan itu adalah dianggap sebagai Riba” dan “perlu kita fahami bahawa sebarang kos perkhidmatan dan pengurusan yang diletakkan seperti 2 %, 3 % atau 4 % dari jumlah pinjaman dengan hujjah bahawa ianya adalah kos pengurusan adalah tidak boleh diterima sama sekali. Ini adalah bentuk yang dilakukan oleh PTPTN dan lain-lain institusi yang melakukannya”

Majlis Penasihat Shariah Dunia di AAOIFI menyebut " It is not permitted to link the charge to the amount withdrawn (given)" ( Shariah Standard, no 10/3/2, hlm 338). sepatutnya sesiapa sahaja yang meminjam, tanpa mengira berapa pun jumlah pinjaman mereka maka akan dikenakan satu jumlah kos sebenar pengurusan yang tetap dan tepat (sebagai contoh) RM 500.

Maka kesimpulan yang boleh dibuat ialah sepatutnya pembayaran pinjaman oleh peminjam PTPTN mestilah sama jumlahnya dengan jumlah pinjaman yang dilakukan. Kos perkhidmatan yang dikenakan sepatutnya bersifat tetap dan tidak berubah walau sebanyak manapun jumlah pinjaman yang dilakukan. Semoga dengan tulisan ini dapat membantu kita memahami isu PTPTN ini dengan jelas, insya Allah.

0 comments: