Showing posts with label Dalam Negara. Show all posts
Showing posts with label Dalam Negara. Show all posts

Wednesday, December 8, 2010

Jadilah 'Tuan' Kerana Merit, Bukannya Kerana Melayu



Assalamualaikum WBT


Ucapan Dato’ Seri Wan Azizah sewaktu merasmikan Kongres PKR baru-baru inimengundang reaksi ramai pihak. Beliau menyeru supaya konsep ketuanan Melayu dihapuskan. Lantas bisinglah media massa negara kita dan mereka akhirnya mendapat idea baru untuk dijadikan bahan berita dek kerana laporan apa yang disebut sebagai 'penyelewengan' dalam pemilihan PKR telah menjadi isu basi.


Ditafsirkan kenyataan itu dengan maksud untuk menghapuskan konsep Raja-Raja Melayu tetapi disanggah kembali bahawa apa yang ingin dibuang itu ialah perasaan ‘ketuanan’ dalam hati orang Melayu supaya mereka tidak merasakan mereka istimewa kerana nama Melayu itu sehinggakan malas berusaha dan mengharap keistimewaan sahaja tetapi mereka mestilah berjaya atas dasar ‘merit’.


Jelas sekali tidak ada apa yang dinamakan membuang Raja-Raja Melayu tetapi membuang perasaan bahawa kita adalah ‘tuan’ kerana kita Melayu. Dalam Islam sekali pun, orang yang paling mulia ialah mereka yang paling kuat ketakwaan kepada Allah.


Akhirnya saya nak memetik ucapan yang selalu diulang-ulang oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Beliau berkata tidak salah kita sayang kepada bangsa sendiri, Melayu ada perasaan sayang pada Melayu, Cina ada perasaan sayang pada Cina. Tetapi yang salah ialah apabila sayang itu dijadikan aqidah perjuangan sehingga mewujudkan asabiah. Wallahua'alam

Saturday, November 6, 2010

Analisa PRK Galas dan Batu Sapi Dari Bilik Cadaver




Assalamualaikum WBT

Kekalahan Pakatan Rakyat (PR) dalam dua pilihan raya kecil yang terbaru iaitu DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi sebenarnya bukanlah satu berita buruk kepada PR. Bahkan keduanya merupakan petanda baik supaya tidak terlalu selesa dalam menuju ke Putrajaya. Kalau sebelum ini, parti komponen PR kelihatannya terlalu yakin yang rakyat berada di samping mereka. Sekurang-kurangnya kekalahan ini boleh mengejutkan mereka yang masih diawang-awangan dek kerana kemenangan hasil undi protes pada PRU 2008.

Kegembiraan kemenangan PRK Sibu beberapa bulan sebelum ini bukanlah gambaran kepada kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan diadakan. Sibu adalah kawasan Bandar yang majoriti pengundinya adalah Cina yang terikut-ikut mood di semenanjung. Mereka bukannya mewakili majoriti rakyat Sarawak yang rata-ratanya masih menganggap BN sebagai ‘tuan’ mereka yang tidak boleh diderhakai.

PKR pula nampaknya belum lagi habis berebut-rebut ‘ghanimah’ walaupun setelah 2 tahun menang besar. Mereka sibuk merebut kuasa dalam pemilihan parti yang jikalau mereka memenangi jawatan di peringkat cabang (kawasan/bahagian), bolehlah mereka mendapat habuan projek di negeri yang diperintah PR. Mereka bukannya ambil kira sangat tentang parti mereka. Buktinya perbezaan keluar mengundi antara pemilihan cabang untuk mereka merebut kuasa jauh lebih tinggi berbanding pemilihan nasional untuk memilih kepimpinan di peringkat nasional.

PAS juga turut ada golongan yang mula mendekati parti itu setelah melihat kemenangan yang makin dekat namun kerana asasnya yang kukuh untuk mendaulatkan Islam dilihat masih lagi mengekalkan parti itu kepada identiti asalnya. Melihatkan kepada makin ramainya mereka yang ‘kelabu mata’ inilah Dewan Pemudanya mengambil usaha untuk menganjurkan Ijtima’ Tarbawi baru-baru ini bagi mengembalikan pengharapan kemenangan itu hanya kepada Allah.

Sebenarnya kekalahan di Galas boleh kita katakan sebagai special case kerana pengaruh Tengku Razaleigh yang terlalu kuat di situ sehinggakan orang asli ‘malu alah’ kalau bertentang mata dengan Ku Li. Pengaruh yang terlalu kuat itulah yang menyebabkan PAS nampaknya berlainan ‘keghairahannya’ berbanding PRK sebeelum-sebelum ini. Tiba-tiba saja PAS telah menjadi parti yang sangat sopan dan lemah-lembut seolah-olah sedang bermain perlawanan persahabatan bola sepak.

Di Batu Sapi pula gelombang simpati kepada Datin Linda Tsen, yang cuba mengekalkan kerusi mendiang suaminya tidak mampu disainginya oleh calon PKR, Ansari Abdullah walaupun beliau dua kali jatuh laut dek kerana melalui jeti dan titian reput. Mungkin juga BN ingin mencuba formula Anwar yang berjaya mengekalkan kerusinya sebanyak tiga kali PRU walaupun beliau di dalam penjara pada waktu itu.

Walaubagaimanapun, yang perlu dibimbangi ialah majoriti kemenangan BN yang terlalu tinggi yang pastinya menyebabkan ayam yang sedang mengeram pun melompat dek kerana terkejut. Mungkin inilah juga factor kenapa Dato’ Seri Najib tiba-tiba sakit perut. Majoriti 6,359 di Batu Sapi dan 1,190 di Galas adalah di luar jangkaan sebenarnya.

Namun jangan kita tiada siapa yang dapat meneka apa yang berlaku pada PRU 2008 setelah PRK Pengkalan Pasir pada 2005 dan Ijok pada 2007 yang menyaksikan BN menang besar. Siapa tahu apa yang akan berlaku pada 2013@2012@2011? Yang penting biarlah pengharapan itu hanya pada Allah.Wallahua'lam

Saturday, October 30, 2010

Menara Warisan 5 bilion dan Hub Hiburan Malam


Assalamualaikum WBT

Lebih kurang seminggu tidak mengupdate blog tatkala banyak perkara besar yang berlaku termasuklah penamaan calon pilihan raya kecil Batu Sapi dan Galas. Dan belum diulas lagi berkenaan bajet 2011 dan Economic Transformation Plan (ETP) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

Saya sebenarnya sekadar ingin menumpukan kepada Belanjawan 2011 dan ETP sahaja kerana kedua-dua ini memberi kesan yang sangat besar kepada sosio ekonomi negara ini. Dan pastinya semua sudah muak mendengarkan berita pilihan raya kecil yang entah keberapa belas kali sudah setelah pilihan raya umum ke-12.

Dan setiap PRK sebenarnya menelan belanja yang cukup besar dan elok sebenarnya kita renung kembali cadangan Naib Presiden PAS, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man yang mencadangkan tiadalah diadakan PRK. Sekadar menyerahkan kepada parti yang telah menang sebelum itu untuk menentukan pengganti sekiranya berlaku kematian dan sebagainya.

Banyak sebenarnya perkara baik yang hendak dilaksanakan dalam belajawan 2011 dan ETP. Namun begitu terdapat juga beberapa perkara kontroversi yang ingin dilaksanakan kerajaan terutamanya apabila diperuntukkan sebanyak RM5 bilion untuk Menara Warisan PNB. Juga menarik perhatian apabila diperuntukkan RM111 juta untuk program PERMATA yang dipelopori oleh isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah. Labih tinggi berbanding RM95 juta yang diperuntukkan untuk sekolah agama rakyat (SAR).

Bagi ETP pula, yang dijangkakan menjadi bom jangka kepada pihak kerajaan ialah cadangannya untuk mewujudkan hub hiburan malam bagi memacu industri pelancongan. Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan “mempakejkan” semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Dalam perancangan 12 projek permulaan (EPP), kerajaan akan melonggarkan syarat ketat bagi penganjuran konsert dan majlis antarabangsa, yang sekarang ini dikatakan banyak menghindarkan penghibur antarabnagsa ke negara ini. Jumlah pelaburan yang diperlukan adalah RM467 juta dan akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Kerajaan menjangkakan ia akan memberi pendapatan negara kasar sebanyak RM427 juta dan mewujudkan sebanyak 8,000 peluang pekerjaan

Lebih mengejutkan lagi EPP juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020.

Langkah itu akan menyaksikan penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014. –Malaysiakini.

Setakat ini NGO seperti ABIM, PPIM, GPMS, PUM dan yang agak mengejutkan, PERKASA telah membuat bantahan terhadap cadangan ini. Agak terkejut kerana PERKASA mengancam untuk mengadakan demontrasi sekiranya cadangan kerajaan ini diteruskan. PPIM pula sekadar menyatakan “tunggu pilihan raya nanti”.

Juga bantahan daripada Dewan Pemuda PAS yang menyatakan cadangan dalam ETP ini akan mewujudkan apa yang disebut sebagai ekonomi pumping kerana kerajaan sekadar mendapat keuntungan sebentar sahaja bahkan sebenarnya akan rugi kerana kos untuk membasmi gejala sosial, kempen pembentukan akhlak dan sebagainya akan meningkat mendadak lebih daripada keuntungan yang dijana. Wallahua’lam

Wednesday, September 29, 2010

Apabila Semua Pihak Tidak Mengaku Perkauman




Assalamualaikum WBT

Isu perkauman adalah sesuatu yang sentiasa popular dan menarik minat banyak pihak. Negara kita pernah mengalami peristiwa hitam rusuhan kaum 13 Mei 1969. Selepas itu pelbagai usaha dilakukan bagi mengembalikan keharmonian kaum namun setelah lebih 40 tahun berlalunya peristiwa berdarah itu, luka perkauman itu masih lagi belum pulih.

Namun yang menjadi kemusykilannya ialah setiap pihak menyatakan mereka bukan memainkan sentimen perkauman tetapi pihak lainlah yang perkauman sebenarnya. UMNO tuduh DAP perkauman. DAP kata MIC perkauman. MIC pulak tunding jari pada PAS. PAS alih-alih bagitau PERKASA yang perkauman. PERKASA pulak mendakwa NGO Cina yang perkauman, NGO Cina last sekali bagi balik label perkauman itu pada UMNO.

Begitu juga dengan media. Akhbar milik kerajaan kata media baru dan akhbar pembangkang yang sentiasa menyiarkan laporan berbau perkauman. Tetapi media baru dan akhbar pembangkang pulak bagitau yang perkauman sebenarnya media milik kerajaan. Last sekali timbul isu baru, siapa yang perkauman sebenarnya???

Bila timbul perkara ini, teringat pada cerita Budak Getah atau One Piece. Kerajaan Dunia kata nak memperjuangkan keadilan dan yang jahatnya sebenarnya lanun. Kerajaan Dunia bersungguh-sungguh nak dapat senjata pemusnah untuk menghapuskan lanun atas nama keadilan. Tapi lanun pulak bagitau yang jahat sebenarnya kerajaan dunia sebab nak bunuh lanun. Tiada takrif jelas apakah itu keadilan dan akhirnya maksud keadilan itu ditafsirkan oleh manusia sesuka hati.

Naruto pun sama. Dia bagitau nak memperjuangkan keamanan pada dunia ninja. Caranya ialah menghapuskan Kumpulan Akatsuki yang sekarang ini yang jadi kepalanya ialah Uchiha Madara. Akatsuki pula nak mengamankan dunia dengan keganasan. Diorang sekarang tengah kumpul jinchuriki untuk buat jutsu yang hebat. Last sekali cara nak mencapai keamanan menjadi tafsiran mereka sesuka hati. Naruto kata dia betul. Akatsuki pun kata dia betul.

Sebenarnya konflik sebegini tidak boleh diselesaikan melalui ukuran akal manusia. Kerana mereka sentiasa menyatakan yang mereka itu betul. Perkara ini hanya boleh diselesaikan oleh ukuran yang diberikan oleh Allah yang mana agamaNya ialah Islam. Dengan merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Keadilan itu ialah keadilan yang telah ditetapkan oleh Islam. Keamanan itu akan terjadi bilamana Islam itu memerintah dan syariat Islam dilaksanakan.

Bukankah Allah menyebut diciptakan manusia berbilang bangsa dan berpuak-puak untuk berkenalan. Dan yang paling mulia ialah orang yang bertaqwa. Tanpa mengira sama ada mereka berbangsa apa. Dalam sejarah Islam, kepimpinan tidak hanya dipegang oleh bangsa Arab. Bahkan pernah yang menjadi khalifah itu datang daripada keturunan hamba. Antara sebab jatuhnya khilafah uthmaniyyah ialah kerana ditiupkan sentimen perkauman kepada orang Arab bahawa yang menjadi khalifah adalah berbangsa Turki.

Namun tidak ada salahnya untuk menyayangi bangsa sendiri. Dan tidak ada salahnya untuk menyayangi tanah air sendiri. Cumanya jangan diletakkan kedua-duanya itu di tempat yang pertama mengatasi Islam. Jangan dijadikan fahaman perkauman dan kebangsaan itu sebagai ‘aqidah. Hendaklah kita meletakkan Islam itu berada di tempat yang pertama dan tidak ada lagi yang lebih tinggi berbanding Islam. Wallahua’lam.

Friday, September 17, 2010

Apabila Manusia Semakin Kejam...


Assalamualaikum WBT

Membaca berita pembunuhan arwah Datuk Sosilawati Lawiya, seorang jutawan wanita bersama tiga lelaki yang dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu mayat dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, dekat Tanjung Sepat pasti membawa kita untuk memikirkan kembali kenapakah manusia sekarang khususnya yang tinggal di negara ini semakin lama semakin kejam.

Ini pun mungkin bukan kes pertama yang melibatkan pembunuhan sebegini kejam. Kita sebenarnya yakin banyak lagi kes seumpama ini yang berlaku (terutama melibatkan orang hilang, diculik atau dibunuh) tetapi mungkinlah kerana mangsanya bukan jutawan dan tidak terkenal, jadi media kita tidak berminat untuk menyiarkannya.

Baru-baru ini negara digemparkan dengan isu pembuangan bayi sehinggakan ada bayi yang dibuang itu menjadi santapan anjing liar (gempar pun tidaklah lama sangat). Lalu berkumandanglah cadangan sekolah mengandung dan membenarkan perkahwinan oleh pelajar sekolah. Suatu cadangan yang tidak terfikir dek akal 10,20 tahun yang lalu. Tetapi sekarang disebabkan keadaan yang teruk dalam masyarakat, terpaksa dikeluarkan cadangan tersebut. Sekolah pelajar hamil akan memulakan operasi pada hari jumaat ini (17 September) walaupun belum ada pelajar mendaftar sehingga kini – kenyataan oleh KM Melaka.

Pelik kenapa mereka tidak memikirkan untuk melaksanakan langkah pencegahan seperti menyekat unsure-unsur yang boleh membawa kepada kerosakan moral yang banyak berlegar dalam media, hiburan yang melampau seperti konsert yang banyak pada hari merdeka, sambutan tahun baru dan pengawalan bahan lucah dalam internet yang sebenarnya boleh disekat daripada di access oleh masyarakat. Dan langkah pencegahan yang dijamin oleh Allah melalui pelaksanaan undang-undang jenayah Islam (Hudud dan Qisas).

Berkenaan pembuangan bayi, ada teori yang menyatakan banyak kes pembuangan bayi berlaku setelah 9 bulan daripada sambutan-sambutan besar seperti hari merdeka dan tahun baru. Yang mana pada dua sambutan ini anak-anak muda dihidangkan dengan hiburan yang melampau yang dipercayai kemudiannya akan membawa kepada perzinaan dan seks bebas. Wallahua’lam sama ada betul atau tidak.

Pengaruh media merupakan penyumbang penting kepada kes-kes jenayah. Filem atau drama sekarang yang ending nya berakhir dengan akibat buruk kepada penjenayah (mati, dipenjara, gila dsb) atau bertaubat nasuha nampaknya tidak berkesan kerana anak-anak mudah lebih mencontohi tempoh 1 jam 45 minit awal yang memaparkan kejahatan dalam filem atau drama tersebut berbanding mengambil manfaat 10 minit yang terakhir.

Terlalu banyak drama dalam televisyen yang memaparkan aspek negatif yang berpotensi besar menjadi ikutan masyarakat sekarang. Kebetulan baru-baru ini sewaktu makan malam, televisyen yang terletak beberapa meter dari meja makan menayangkan babak seorang perempuan melayu yang dengan muka kejam meminta bantuan daripada bomoh perempuan tua untuk menyihir seseorang. Lalu ayah saya mengkomen ‘patut pun le ni banyak kes bunuh kerat-kerat (potong-potong) orang’.

Kita gembira dengan kemajuan dalam aspek gerakan dakwah dan islah yang cuba dibawa oleh parti politik, NGO, badan-badan, media dan institusi pendidikan Islam yang kita akui semakin berkembang dan impaknya cukup besar di dalam masyarakat. Tetapi nampaknya perkembangan gelombang jahiliyyah yang meresapi masyarakat ini jauh lebih besar. Kalau kita katakan kesedaran dakwah sekarang 3 kali ganda lebih baik daripada dahulu, kita juga kena sedar gelombang jahiliyyah telah berkembang 10 kali ganda berbanding dahulu.

Kita juga berpendirian perlunya untuk pihak berkuasa sekarang kembali kepada syariat Islam dalam semua aspek sama ada hiburan, sukan, kemasyarakatan dan undang-undang. Bila mana syariat Islam dilaksanakan, dunia ini akan aman daripada kekejaman sepertimana yang berlaku pada hari ini. Maksud hadis - ‘Demi Allah, Dia (Allah) akan menyempurnakan urusan ini (Islam), sehingga manusia dapat berjalan daripada Sana’a ke Hadramaut, tidak takut melainkan kepada Allah dan serigala yang akan membaham kambingnya’ (maksudnya tidak akan takut kepada jenayah manusia tetapi hanya takut kepada Allah dan binatang buas sahaja). Wallahua'lam

Sunday, September 12, 2010

Pendidikan Seks di Sekolah


Mendengar khutbah Aidilfitri di masjid Kampung Batu Enam (Masjid yang pernah ditembak dengan gas pemedih mata oleh FRU pada tahun 2007), khatib menyentuh secara sepintas lalu tentang isu pembuangan bayi, cadangan memperkenalkan pendidikan seks di sekolah dan menubuhkan sekolah mengandung bagi pelajar yang hamil luar nikah.

Setakat ini saya tidak pernah rasa berminat untuk menyelidik apatah lagi mempunyai stand tersendiri berkenaan dengan isu pendidikan seks ini kerana saya hanya menyangka isu ini hanyalah perkara-perkara remeh yang tidak perlu dihiraukan. Tetapi Alhamdulillah khatib tersebut telah menarik minat saya untuk membuat sedikit research dan mengutarakan sedikit pandangan dalam blog ini.

Sebenarnya agama Islam (dan subjek pendidikan Islam di sekolah) telah mengajar berkenaan seks kepada pelajar. Cumanya tidaklah pengajaran tersebut dipanggil sebagai pendidikan seks tetapi matlamatnya adalah untuk menjaga akhlak dan pergaulan pelajar dan pada akhirnya dapat megelakkan mereka daripada terjebak ke dalam krisis moral iaitu pergaulan bebas, zina, sumbang mahram dan sebagainya.

Pelajar Islam telah dididik dengan cara menutup aurat yang sempurna. Mereka juga diajar tentang adab dan batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan seperti menundukkan pandangan, tidak melunakkan suara bagi perempuan, tidak boleh berdua-duaan tanpa mahram, bermuamalat atas urusan yang dibenarkan dan pelbagai panduan pergaulan yang lain.

Dalam urusan keluarga juga dituntuk supaya tempat tidur anak-anak lelaki dan perempuan diasingkan, anak-anak tidak boleh memasuki bilik ibu bapa melainkan setelah mendapat kebenaran. Juga dididik kepada mereka untuk mengikuti panduan yang ditetapkan Islam dalam aspek hiburan dan sukan. Yang mana kesemua ini bermatlamatkan seperti yang telah disebut sebelum ini.

Berbeza dengan pendidikan seks di barat yang juga menjadikan pencegahan seks bebas sebagai perkara yang diajarkan kepada anak-anak mereka. Tetapi mereka juga turut memberi panduan sekiranya mereka ingin melakukan seks juga maka hendaklah memastikan tidak sampai mengandung. Mereka diajar tentang bagaimana untuk merancang supaya tidak hamil, bilakah masa yang sesuai dan apakah ‘perlindungan’ yang perlu digunakan.

Dan sekiranya mereka ‘terhamil’, maka disana ada langkah-langkah yang perlu dilaksanakan. Justeru jadilah pendidikan seks di Barat ini menjadikan mereka berjaya dari sudut mengurangkan anak luar nikah tetapi pada masa yang sama bertambah bilangan kes perzinaan dan yang seumpama dengannya.

Sekiranya kerajaan ingin memperkenalkan pendidikan seks ala-Barat ini, maka sepatutnya lah kita berpendirian untuk tidak bersetuju. Dan kita mencadangkan supaya diperkemaskan lagi aspek dalam pendidikan Islam yang dapat mengawal gejala ini bukan sahaja dari aspek pengajaran di dalam kelas tetapi juga pengamalan yang menyeluruh oleh pelajar tersebut dalam kehidupan mereka. Wallahua'lam