Showing posts with label Coretan Sendiri. Show all posts
Showing posts with label Coretan Sendiri. Show all posts

Wednesday, October 6, 2010

Mengejar Sesuatu Yang Bukannya Matlamat




Assalamualaikum WBT

Tempoh exam final yang makin hari makin dekat menyebabkan semua student medic 1st year study giler2. Ntah kenapa. Mungkin 1st time exam final menjadikan semua orang begitu cuak. Perasaan cuak itu agak bagus kerana menyebabkan semua orang akan study bersungguh-sungguh tetapi ada juga yang terlebih cuak sehingga stress.

Kalaupun semua masa digunakan untuk study pun tak boleh jugak sebab kepala akan jadi pening. Jadi saya ambik sedikit masa untuk release sambil mengupdate blog…

Ramai manusia yang tersilap dalam menentukan haluan hidup sehinggakan perkara yang sepatutnya hanyalah dijadikan wasilah (jalan) telah dijadikan sebagai matlamat sehinggakan melupakan matlamat yang sebenar. Matlamat yang sebenar telah dikaburi oleh perkara yang sepatutnya digunakan untuk mencapai matlamat tersebut iaitu mardhatillah.

Contoh yang paling dekat ialah study. Bilamana pemfokusan terlalu diberikan kepada mengejar pointer dan keputusan yang baik tanpa ada pemikiran bahawa aku ingin menjadikan pelajaran yang aku ikuti ini sebagai asbab (sebab) kepada keredhaan Allah kepadaku. Apa yang ada hanyalah study, lecture, assignment, exam, pointer. Tidak salah bersungguh-sungguh kearah itu tetapi hendaklah diakhiri matlamatnya dengan Allah. Bukannya dengan result exam.

Lalu tiadalah dihubungkaitkan study tersebut dengan tawakkal kepada Allah. Solat hajat dan doa hanyalah pada malam exam. Seolah-olah kita bermain-main dengan Allah. Tidakkah kita semua mengetahui bahawa Allah lah yang memberikan ilmu kepada kita. Maka mengapa diingati Allah hanya ketika nak exam???

Demikian pula halnya dengan kerjaya. Diakhiri kerjaya itu dengan kehidupan yang mewah dan gaji yang lumayan tanpa dihubungkaitkan dengan penggunaan harta itu ke jalan Allah. Lalu hiduplah menusia bermewah-mewah yang melampau sehinggakan menebal perasaan cintakan dunia dan takut mati.

Begitu juga dengan bercinta dengan manusia. Sepatutnya bukannya mengejar cinta manusia itu yang dijadikan matlamat. Tetapi hendaklah diakhirkan pencarian cinta manusia itu untuk mendapat keredhaan Allah melalui niat untuk menjaga diri daripada melakukan maksiat dan menyempurnakan separuh daripada agama.

Maka janganlah tersasar daripada matlamat sebenar. Biarlah apa-apapun yang dilakukan pengakhirannya adalah Allah SWT. Wallahua’lam.

Monday, October 4, 2010

Biar Kita Yang Menguasai Suasana, Bukan Sebaliknya.




Assalamualaikum WBT.

Mendengar pesanan seorang lecturer yang menyatakan bahawa janganlah kita menjadi seorang yang baik hanya kerana persekitaran kita yang kondusif yang menyebabkan kita dapat berkelakuan sedemikian. Disebabkan kita hidup dalam suasana yang baik, maka kita menjadi baik. Jangan sedemikian. Hendaklah sesuatu yang kita lakukan atas dasar kefahaman dan kesedaran. Bukan hanya mengikut keadaan semata-mata.

Keadaan tersebut memang nyata berlaku terutama sewaktu kehidupan kita di universiti. Kerana kawan-kawanku baik, maka aku baik. Kawan-kawanku dengar nasyid, aku pun dengar nasyid. Kawan-kawanku baca novel ayat-ayat cinta, aku pun baca novel ayat-ayat cinta. Kawan-kawanku tengok KCB, aku pun tengok KCB. Maka jadilah aku hidup sebegitu kerana kawan-kawanku hidup bersamaku.

Kelak nanti bila kita keluar kepada masyarakat dan hidup dalam suasana yang berbeza, maka kita akan menjadi orang yang berbeza kerana suasana tidak lagi sekondusif semasa waktu belajar dahulu. Sebab itu terlalu banyak cerita kawan-kawan yang dahulunya hebat sewaktu di kampus tetapi menghilang bila turun ke medan sebenar. Kehebatan dulu hanya bersama dengan kawan-kawan. Bila mana berpisah, maka kehebatan itu turut hilang.

Hendaklah kita menjadi seperti Sa'ad bin Abi Waqqas yang memberikan janji setia kepada Nabi s.a.w., "Aku adalah panah daripada panah-panah Islam, maka lemparkanlah aku ke mana sahaja yang engkau suka". Dan seperti ibarat kata pepatah “Benih yang baik kalau di campak ke darat menjadi gunung dan jika dicampak ke laut menjadi pulau”.

Kalau kita pergi ke mana-mana pun, biarlah kita kekal dengan jati diri yang asal. Jati diri yang dimaksudkan di sini ialah jati diri yang baik. Yang tidak mudah dipengaruhi dengan suasana walau seteruk manapun suasana itu. Bahkan kitalah yang menjadi orang yang merubah situasi tersebut ke arah yang lebih baik. Bahkan kalau sebelum ini tiada kebaikan di situ, biarlah kita yang mengasaskannya.

Hidup ini hanya sekali. Biarlah kehidupan ini bermakna. Pastikan kehadiran kita dirasai. Bukan sebagai pembawa masalah tetapi sebagai memenuhi maksud “rahmatan lil ‘alamin”. Wallahua’lam.

Wednesday, September 22, 2010

DSTG Abdul Hadi Awang Muhammad




Assalamualaikum WBT

Sewaktu beraya di rumah Ustaz Khalil (orang Terengganu kenal la sapa ustaz ni) di Rhu Rendang dalam kawasan Marang baru-baru ini, saya dan beberapa orang sahabat lain dijamu dengan nasi ayam di beranda/lambo/anjung belakang rumah yang menghadap ke laut. Keadaan yang berangin dan cuaca yang cerah menjadikan pemandangan sangat cantik sekali.

Sedang kami menjamu selera, sekonyong-konyong itu juga datang seorang yang tidak disangka-sangka yang berjalan di tepi pantai. Beliau berkopiah, berbaju melayu dan berkain pelekat sambil mengkeleng laptop Toshiba dan chargernya. Beliau ialah tokoh besar yang tidak asing lagi iaitu Dato’ Seri Tuan Guru (DSTG) haji Abdul Hadi bin Awang. Beliau ialah ADUN Rhu Rendang dan ahli parlimen Marang.

Beliau datang dan kami pun bersalam dengannya lalu beliau duduk bersama kami. Sesi beraya dan makan nasi ayam sambil melihat pantai tiba-tiba bertukar menjadi sesi soal jawab dan beramah mesra dengan DSTG Abdul Hadi. Lalu terbentuklah gambar eksklusif di atas. Jadi untuk post kali ini saya akan menulis khusus berkenaan DSTG Abdul Hadi. Terutama setelah saya membeli dua buku terbaru beliau iaitu Taktik & Strategi Berpolitik Gaya Khulafa Ar-Rashidin (sambungan daripada Fiqh Al-Harakah) dan Palestin daripada Perampas Jalanan Kepada Peta Jalanan (terjemahan daripada edisi bahasa Arab).

Ketepikan soal perbezaan politik, kita akan mendapati DSTG merupakan ulama’ besar yang member sumbangan yang cukup besar kepada Islam. Kuliah mingguan pagi jumaat di masjid rusila menggamit ribuan pengunjung dan disiarkan secara live di internet untuk tatapan peminat yang tinggal berjauhan. Beliau juga menulis lebih 40 buah buku bernunsakan fikrah dan dakwah antaranya kitab ‘Aqidah Muslimin dan Fiqh Al-Harakah dan dikhabarkan oleh Ustaz Khalil yang sekarang beliau sedang mengarang buku Fiqh Solat.

DSTG Abdul Hadi merupakan nama besar dalam gerakan Islam abad moden sebaris dengan Mehdi Aqif, Dr Fathi Yakan, Racep Tayyeb Erdogan, Mustapha Masyhur dan lain-lain. Beliau menjadi ahli Majmak Takrik Mazhab Islami yang berpusat di Tehran, Iran yang mana majlis ini bertujuan mengharmonikan hubungan antara mazhab-mazhab. Dan beliau ialah ahli kepada Muassasah Al-Quds yang berjuang untuk isu Palestin. Beliau juga ialah Ahli Jawatankuasa Penyelaras Gerakan Islam yang berpusat di Istanbul, Turki.

DSTG Abdul Hadi sentiasa diundang ke luar negara untuk menghadiri pelbagai persidangan, seminar dan ijtima’ dan pernah muncul di kaca layar TV seperti al-Manar, al-Jazeera dan sebagainya, mengupas pelbagai isu dan topik mengenai Islam dan dunia Islam. Namun dek kerana perbezaan politik dengan parti pemerintah di negara kita, beliau tidak diberikan peluang untuk menyampaikan Islam melalui media massa milik rakyat di negara ini. Senasib dengan TG Dato’ Nik Aziz, Dato Dr Harun Din, Ustaz Tuan
Ibrahim Tuan Man dan ramai lagi.

Imejnya yang sentiasa berserban dan berjubah walau ke mana beliau pergi menunjukkan DTSG Abdul Hadi seorang yang istiqamah dengan sunnah. Ucapan dan ceramahnya sentiasa menyeru kepada masyarakat supaya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dalam semua aspek kehidupan. Tatkala era 90-an dahulu yang mana ramai orang berani menyebut bahawa Islam dan politik adalah perkara yang tidak boleh dicampur adukkan, beliau bangkit dan menerangkan bahawa sesiapa yang menyebut politik dan agama adalah dua perkara yang berasingan akan menjadi kafir. Lantas tiada lagi yang berani menyebut sedemikian sehinggalah sekarang.

Disebabkan politik ialah perkara yang mengawal segala-galanya dalam negara ini termasuklah ekonomi, undang-undang, social, sukan, hiburan dan sebagainya, DSTG Abdul Hadi memilih jalan politik untuk menyampaikan dan melaksanakan sistem Islam walaupun risikonya cukup tinggi. Beliau ialah tokoh politik yang sudah 4 penggal berada di parlimen bagi menyampaikan mesej Islam kepada kerajaan dan menyeru kepada pelaksanaannya.

Sewaktu beliau menjadi Menteri Besar Terengganu, Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu dipinda dengan meletakkan Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ dan Qias sebagai undang-undang tertinggi dan undang-undang jenayah Islam Hudud, Qisas dan Takzir turut diwartakan dengan perkenan Tuanku Sultan Mizan. Dan fasal itu masih lagi kekal sehinggalah sekarang walaupun tampuk kerajaan Terengganu sudah bertukar. Dan Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai Undang-Undang Tubuh sedemikian.

Panjang pulak kali ni….wallahua’lam.

Friday, September 10, 2010

Pilu Mengingatimu (Versi Hari Raya)


Alhamdulillah Allah memberi kekuatan untuk mengupdate blog untuk pertama kalinya dalam masa beberapa bulan. Entah mengapa pada hari raya pertama ini terasa ingin mengupdate blog. Tidak banyak perkara yang ingin dikongsikan sebenarnya. Cumanya mengharapkan tarbiyyah yang dilalui sepanjang madrasah Ramadhan yang hari ini merupakan hari konvokesyennya menjadi kekuatan untuk melalui 11 bulan yang mendatang sebelum datang kembali bulan Ramadhan yang seterusnya (moga-moga Allah memanjangkan umur)

Rutin kebiasaan apabila balik ke rumah ialah membelek buku-buku dalam almari. Setiap kali membelek buku, pasti ada buku yang menarik minat untuk dibaca (walaupun kebiasannya hanya baca sebahagian sahaja sebab setiap kali ada sahaja buku baru yang rasa nak baca). Kali ini terserempak dengan dua buku kecil yang bertajuk Al-Marhum Dato’ Haji Fadzil Mohd Nor Dalam Kenangan dan Fadzil Noor Dalam Kenangan Pilu Mengingatimu.

Kedua-duanya mengumpulkan tulisan-tulisan oleh orang-orang yang rapat dengan Al-Marhum yang merupakan bekas Presiden PAS dan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia. Antara yang dinukilkan ialah Al-Marhum seorang yang mesra dengan semua orang sehinggakan terlalu ramai yang menyatakan ‘saya rapat dengan Ustaz Fadzil’. Beliau juga bukanlah pemimpin politik yang hipokrit yang berpura-pura mengenali dan meingati semua orang yang dijumpainya. Kalau beliau tidak mengenali atau lupa siapa orang itu, beliau akan bertanya ‘apa nama dah’. Beliau juga seorang yang lemah lembut dan tidak marah apabila dikritik.

Pemergiannya diziarahi oleh ratusan ribu orang dan dianggarkan mencecah suku juta orang sehinggakan ada yang terpaksa berjalan berbelas-belas kilometer akibat kesesakan lalu lintas. TG Dato’ Nik Abdul Aziz menyatakan “Kita biasa menghadapi kematian pemimpin besar dan kecil di dalam PAS, tapi saya tidak pernah menyaksikan kehadiran menusia yang begini ramai untuk menziarahi Almarhum Ustaz Fadzil Noor”.

Dan pada malam sebelum pengkebumian Al-Marhum, TG Dato’ Seri Abdul Hadi Awang menyatakan “Al-marhum Ustaz Fadzil telah membuktikan kepada kita bahawa beliau telah mengakhiri hayatnya dalam perjuangan Islam. Nasib kita belum tentu lagi.” Renung-renungkanlah…Selamat Hari Raya. Jangan lupa puasa enam