Sunday, March 7, 2010

Lompat Parti vs Politik Islam


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…

Banyak isu yang berlaku seminggu dua ni dan yang paling terbaru serta paling mendapat perhatian ialah peristiwa lompat parti oleh 3 orang MP daripada PKR. Bermula daripada MP Bayan Baru kemudian diikuti oleh MP Nibong Tebal dan MP Bagan Serai. Aku tak berhajat nak membicarakan isu lompat parti yang dah berlaku sebelum-sebelum ini yang membawa kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dan pernah juga menggegarkan kerajaan kedah yang berlaku pada salah seorang exconya. Selangor pun turut mengalami perkara yang sama tapi yang melompat itu hanyalah seorang adun biasa.

Dan melompat parti ini pasti akan dikaitkan dengan rasuah. Lagilah jatuh maruah dan bertambah buruk nama mereka yang terlibat. Terbuktilah persepsi sebahagian besar di kalangan kita yang mengatakan politik adalah suatu benda yang kotor dan jijik. Menggunakan apa sahaja cara untuk mendapatkan kuasa. Belum lagi kita bicarakan isu sedekah seks yang pasti akan menyebabkan kita bertambah loya dan nak termuntah dengan orang-orang politik ini.

Termasuklah isu yang paling famous sebelum ni yang berkaitan dengan 16 september yang tak jadi tu. Pada aku, sekiranya benar kerajaan itu hendak diubah, mengapakan hendak dilakukan dengan mengharapkan pihak seberang datang melompat kepada kita. Tunggulah sehingga pilihanraya umum akan datang. Lebih baik menanti selama 4 tahun daripada mendapat kemenangan segera dalam keadaan separuh masak. Mungkin ini balasan Allah kepada PKR? Wallahua’lam.

Walaubagaimanapun, sebarang permasalahan yang berlaku ada penyelesaiannya dalam Islam. Bukanlah tulisan ini bermaksud kita perlu mengasingkan terus politik dalam kehidupan kita. Semacam juga ekonomi. Walaupun ekonomi itu sudah menjadi kotor dan jijik kerana diliputi dengan najis riba, penipuan dan penindasan, di sana ada penyelesaiannya dengan cara ekonomi Islam. Dan setelah runtuhnya ekonomi sosialis dan hampir tersembam ekonomi kapitalis, masyarakat dunia melihat ekonomi Islam sebagai alternatif yang baik kepada kepincangan ekonomi dunia sekarang.

Dalam Islam juga adanya sistem politik yang sepatutnya menjadi panduan oleh ahli-ahli politik negara kita. Rasulullah bukan sekadar utusan yang hanya membicarakan soal ibadah semata-mata bahkan Baginda ialah seorang pemimpin negara. Kebijakan politik Baginda boleh dilihat dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah yang merupakan strategi politik yang cukup bijak yang akhirnya membawa kepada peristiwa pembukaan Makkah dua tahun kemudian.

Politik Islam bukan bermatlamatkan kebendaan dan kemewahan duniawi tetapi politik dijadikan wasilah untuk meletakkan Islam di tempat yang tertinggi. Bagi ahli politik yang menjadikan Islam sebagai matlamatnya, mereka tidak akan dapat dibeli dengan habuan duniawi yang bernilai jutaan ringgit. Kita boleh lihat apa yang berlaku di Kelantan yang memerintah dengan kelebihan satu kerusi dan dua undi sahaja disebabkan kekuatan akidah yang memandu seseorang yang berpolitik walaupun ada usaha membeli wakil rakyat di Kelantan dengan nilai jutaan ringgit.

Kalau negara kita dan dunia sekarang boleh menerima ekonomi Islam sebagai alternatif walaupun sebelumnya berpuluh-puluh tahun dihina sebagai system yang akan menyebabkan kemunduran, tidak mustahil tidak lama lagi sistem Islam akan diterima sebagai sistem politik yang seterusnya akan memandu pemerintahan negara ke arah “Negara yang baik dan Tuhan yang Maha Pengampun”.

0 comments: