Monday, November 8, 2010

Gunung Merapi: Fakta Dan Peringatan Buatku




Berita letusan Gunung Merapi di Indonesia yang dinyatakan oleh pakar sebagai yang terburuk untuk sekurang-kurangnya satu abad sememangnya amat menakutkan kita. Setakat ini (6 November) sudah 138 orang terbunuh dan 200,000 orang telah dipaksa meninggalkan kediaman masing-masing. Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudoyono pula telah mengisytiharkan bencana ini sebagai “national disaster”.

Sementara itu, berpuluh-puluh mangsa yang terkorban dilaporkan akan dikebumikan dalam satu kubur besar di Yogyakarta.

Letusan pertama dilaporkan berlaku pada 26 Oktober lalu dan yang menakutkan ialah tekanan gas di dalam gunung tersebut dilaporkan terus meningkat yang mungkin membawa kepada letusan yang lebih besar. Kali terakhir Merapi meletus pada 2006 yang memakan korban seramai 2 orang. Pada 1994 pula mengorbankan 60 orang dan korban paling besar berlaku pada 1930 iaitu seramai 1,300 orang.

Terdapat sebanyak 129 gunung berapi aktif di Indonesia yang berada pada 17,500 buah pulau. Indonesia berada dalam lingkaran apa ntah namanya yang kita belajar dalam geografi sewaktu sekolah menengah dulu dulu tapi dalam Englishnya dipanggil ‘Ring of Fire’.

Utusan Malaysia melaporkan pada hari ini tentang 664 rakyat Malaysia yang dibawa pulang semalam (6 November). Dan pada hari ini (7 November) pula seramai 240 orang akan dibawa pulang. Dan pihak Education Department di Indonesia yang pengarahnya ialah Datuk Dr. Junaidy Abu Bakar meminta kepada ibu bapa yang mempunyai pelajar di Indonesia supaya tidak terlalu bimbang kerana mereka sekarang telah ditempatkan di hotel dan asrama dalam keadaan selamat.



Wajar untuk kita renungi sebenarnya bencana yang melanda sesebuah negara yang walaupun dikatakan oleh pakar bahawa itu adalah fenomena alam semula jadi namun sebagai seorang yang beriman kita perlu meyakini bahawa Allah tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia. Dan Allah menjadikan apa-apa yang berlaku terhadap alam ini sebagai tanda-tanda kekuasaannya dan peringatan kepada hambaNya.

Bahkan negara Malaysia sendiri bukannya kebal daripada bencana alam. Tidak ada jaminan sebenarnya walaupun kita berada di luar lingkaran gunung berapi dan mempunyai banjaran-banjaran yang memasak negara kita daripada gempa bumi. Ingat peristiwa tsunami pada 2004? Dan sebenarnya sudah banyak gegaran kecil yang berlaku di Bukit Tinggi, Pahang. Elok rasanya dikaji balik sukatan pelajaran Geografi bagi mengelak anak-anak kita diberi kegembiraan palsu.

"Bagaikan kiamat. Lebih menyeramkan lagi hanya saya dan rakan yang terselamat," begitulah gambaran yang diberikan oleh seorang pelajar Malaysia di Yogyakarta tentang kejadian letusan dahsyat Gunung Merapi pada malam Jumaat lalu.

Marilah sama-sama kita merenung diri dan bermuhasabah. Tinggalkan dosa-dosa yang kita lakukan. Mohon keampunan. Takutlah kepada bencana Allah yang tidak hanya menimpa orang-orang zalim di kalangan kita sahaja. Wallahua’lam

Saturday, November 6, 2010

Analisa PRK Galas dan Batu Sapi Dari Bilik Cadaver




Assalamualaikum WBT

Kekalahan Pakatan Rakyat (PR) dalam dua pilihan raya kecil yang terbaru iaitu DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi sebenarnya bukanlah satu berita buruk kepada PR. Bahkan keduanya merupakan petanda baik supaya tidak terlalu selesa dalam menuju ke Putrajaya. Kalau sebelum ini, parti komponen PR kelihatannya terlalu yakin yang rakyat berada di samping mereka. Sekurang-kurangnya kekalahan ini boleh mengejutkan mereka yang masih diawang-awangan dek kerana kemenangan hasil undi protes pada PRU 2008.

Kegembiraan kemenangan PRK Sibu beberapa bulan sebelum ini bukanlah gambaran kepada kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan diadakan. Sibu adalah kawasan Bandar yang majoriti pengundinya adalah Cina yang terikut-ikut mood di semenanjung. Mereka bukannya mewakili majoriti rakyat Sarawak yang rata-ratanya masih menganggap BN sebagai ‘tuan’ mereka yang tidak boleh diderhakai.

PKR pula nampaknya belum lagi habis berebut-rebut ‘ghanimah’ walaupun setelah 2 tahun menang besar. Mereka sibuk merebut kuasa dalam pemilihan parti yang jikalau mereka memenangi jawatan di peringkat cabang (kawasan/bahagian), bolehlah mereka mendapat habuan projek di negeri yang diperintah PR. Mereka bukannya ambil kira sangat tentang parti mereka. Buktinya perbezaan keluar mengundi antara pemilihan cabang untuk mereka merebut kuasa jauh lebih tinggi berbanding pemilihan nasional untuk memilih kepimpinan di peringkat nasional.

PAS juga turut ada golongan yang mula mendekati parti itu setelah melihat kemenangan yang makin dekat namun kerana asasnya yang kukuh untuk mendaulatkan Islam dilihat masih lagi mengekalkan parti itu kepada identiti asalnya. Melihatkan kepada makin ramainya mereka yang ‘kelabu mata’ inilah Dewan Pemudanya mengambil usaha untuk menganjurkan Ijtima’ Tarbawi baru-baru ini bagi mengembalikan pengharapan kemenangan itu hanya kepada Allah.

Sebenarnya kekalahan di Galas boleh kita katakan sebagai special case kerana pengaruh Tengku Razaleigh yang terlalu kuat di situ sehinggakan orang asli ‘malu alah’ kalau bertentang mata dengan Ku Li. Pengaruh yang terlalu kuat itulah yang menyebabkan PAS nampaknya berlainan ‘keghairahannya’ berbanding PRK sebeelum-sebelum ini. Tiba-tiba saja PAS telah menjadi parti yang sangat sopan dan lemah-lembut seolah-olah sedang bermain perlawanan persahabatan bola sepak.

Di Batu Sapi pula gelombang simpati kepada Datin Linda Tsen, yang cuba mengekalkan kerusi mendiang suaminya tidak mampu disainginya oleh calon PKR, Ansari Abdullah walaupun beliau dua kali jatuh laut dek kerana melalui jeti dan titian reput. Mungkin juga BN ingin mencuba formula Anwar yang berjaya mengekalkan kerusinya sebanyak tiga kali PRU walaupun beliau di dalam penjara pada waktu itu.

Walaubagaimanapun, yang perlu dibimbangi ialah majoriti kemenangan BN yang terlalu tinggi yang pastinya menyebabkan ayam yang sedang mengeram pun melompat dek kerana terkejut. Mungkin inilah juga factor kenapa Dato’ Seri Najib tiba-tiba sakit perut. Majoriti 6,359 di Batu Sapi dan 1,190 di Galas adalah di luar jangkaan sebenarnya.

Namun jangan kita tiada siapa yang dapat meneka apa yang berlaku pada PRU 2008 setelah PRK Pengkalan Pasir pada 2005 dan Ijok pada 2007 yang menyaksikan BN menang besar. Siapa tahu apa yang akan berlaku pada 2013@2012@2011? Yang penting biarlah pengharapan itu hanya pada Allah.Wallahua'lam