Wednesday, April 7, 2010

10 Minit, Update Blog, Tulis Buku, Laptop


Assalamualaikum W.B.T

Terlalu lama tidak aku mengupdate blog ini. Nak katakan tidak ada masa rasanya itu bukanlah alasannya. Sekarang ni short sem yang merupakan waktu yang sangat free dek kerana contact hour (jam belajar) yang sedikit dan tanggungjawab yang telah diwariskan kepada benih-benih yang sekarang ini sudah menjadi pokok-pokok yang tidak lama lagi akan melahirkan benih-benih yang baru.

Rasanya sudah aku berusaha untuk istiqamah menulis, tetapi mungkin semangat yang lemah ditambah dengan ketiadaan bakat yang menyebabkan usaha itu masih lagi gagal. Rasanya kalu nak menulis satu post, cukup sekadar mengambil masa 10 minit. Bukan payah sangat pun. Mungkin aku lebih suka membaca berbanding menulis.

Mungkin kerana faktor itu jugalah tidak ramai tokoh-tokoh yang mampu menjadi penulis yang hebat walaupun mereka merupakan pemidato yang cukup berpengaruh. Ada antara mereka yang berusaha menulis buku lalu terhasillah satu atau dua buku yang merupakan karya mereka tetapi hanya boleh dibilang dengan jadi mereka yang dapat menghasilkan puluhan atau ratusan buku dan tulisan.

Kalau kita memerhatikan tokoh dalam negara kita, baru-baru ini buku yang dikarang oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib yang bertajuk ‘A Sense of Mission’ telah dilancarkan. Tun Dr Mahathir pernah menulis buku yang cukup kontroversi iaitu ‘The Malay Dilemma’ yang pernah diharamkan sewaktu pentadbiran Tunku Abdul Rahman. Walaubagaimanapun, input daripada buku inilah yang diambil oleh Tun Razak dalam pelaksanaan dasar ekonomi baru (DEB).

Dato Seri Anwar pula telah menulis buku Gelombang Kebangkitan Asia. TG Dato’ Seri Abdul Hadi pula cukup banyak hasil karyanya dan diberitakan beliau telah menggunakan komputer riba sejak dari 1986 lagi dengan tujuan untuk menulis buku-buku dan karya-karya beliau. Buku-buku TG Dato’ Nik Abdul Aziz juga semakin banyak. Ucapan ceramah dan kuliahnya telah ditulis dan dibukukan. Insya Allah cukup baik untuk tatapan generasi masa depan.

Aku?.....hem…

Sunday, March 14, 2010

look around yourself


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Kadang-kadang kita mudah terlupa siapakah kita, dari mana kita datang dan ke mana kita akan dikembalikan. 3 soalan mudah yang kita selalu lupa apa jawapannya. Kalau ditanya kepada diri sendiri berapa lama kita nak hidup atas dunia ni, pasti kita akan jawab kalau boleh nak hidup lama. Selama-lama yang boleh. Kita lupa yang Allah boleh cabut nyawa kita bila-bila masa pun. Dan dah ada pun kawan-kawan kita yang sebaya dengan kita yg Allah jemput dia untuk menghadapNya lebih awal.

Bila duk berjalan-jalan sambil enjoy dan berpoya-poya, dalam keadaan dah tak ingat apa-apa melainkan keenjoyan tersebut, tapi bila aku terpandang ke langit, melihat besarnya alam ini, indahnya langit kebiruan, awan putih bergerak, akan datang soalan-soalan dalam hati. “siapakah aku?”, “berapa lama aku hidup?”, “bila aku akan mati?”, “apa nasib aku selepas mati?”

Kemudian aku menjawab sendiri soalan-soalan tu dalam hati dan pada masa itulah baru tersedar tujuan sebenar hidup… mcm lagu maher zain “look around yourself…”

Sunday, March 7, 2010

Lompat Parti vs Politik Islam


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…

Banyak isu yang berlaku seminggu dua ni dan yang paling terbaru serta paling mendapat perhatian ialah peristiwa lompat parti oleh 3 orang MP daripada PKR. Bermula daripada MP Bayan Baru kemudian diikuti oleh MP Nibong Tebal dan MP Bagan Serai. Aku tak berhajat nak membicarakan isu lompat parti yang dah berlaku sebelum-sebelum ini yang membawa kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dan pernah juga menggegarkan kerajaan kedah yang berlaku pada salah seorang exconya. Selangor pun turut mengalami perkara yang sama tapi yang melompat itu hanyalah seorang adun biasa.

Dan melompat parti ini pasti akan dikaitkan dengan rasuah. Lagilah jatuh maruah dan bertambah buruk nama mereka yang terlibat. Terbuktilah persepsi sebahagian besar di kalangan kita yang mengatakan politik adalah suatu benda yang kotor dan jijik. Menggunakan apa sahaja cara untuk mendapatkan kuasa. Belum lagi kita bicarakan isu sedekah seks yang pasti akan menyebabkan kita bertambah loya dan nak termuntah dengan orang-orang politik ini.

Termasuklah isu yang paling famous sebelum ni yang berkaitan dengan 16 september yang tak jadi tu. Pada aku, sekiranya benar kerajaan itu hendak diubah, mengapakan hendak dilakukan dengan mengharapkan pihak seberang datang melompat kepada kita. Tunggulah sehingga pilihanraya umum akan datang. Lebih baik menanti selama 4 tahun daripada mendapat kemenangan segera dalam keadaan separuh masak. Mungkin ini balasan Allah kepada PKR? Wallahua’lam.

Walaubagaimanapun, sebarang permasalahan yang berlaku ada penyelesaiannya dalam Islam. Bukanlah tulisan ini bermaksud kita perlu mengasingkan terus politik dalam kehidupan kita. Semacam juga ekonomi. Walaupun ekonomi itu sudah menjadi kotor dan jijik kerana diliputi dengan najis riba, penipuan dan penindasan, di sana ada penyelesaiannya dengan cara ekonomi Islam. Dan setelah runtuhnya ekonomi sosialis dan hampir tersembam ekonomi kapitalis, masyarakat dunia melihat ekonomi Islam sebagai alternatif yang baik kepada kepincangan ekonomi dunia sekarang.

Dalam Islam juga adanya sistem politik yang sepatutnya menjadi panduan oleh ahli-ahli politik negara kita. Rasulullah bukan sekadar utusan yang hanya membicarakan soal ibadah semata-mata bahkan Baginda ialah seorang pemimpin negara. Kebijakan politik Baginda boleh dilihat dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah yang merupakan strategi politik yang cukup bijak yang akhirnya membawa kepada peristiwa pembukaan Makkah dua tahun kemudian.

Politik Islam bukan bermatlamatkan kebendaan dan kemewahan duniawi tetapi politik dijadikan wasilah untuk meletakkan Islam di tempat yang tertinggi. Bagi ahli politik yang menjadikan Islam sebagai matlamatnya, mereka tidak akan dapat dibeli dengan habuan duniawi yang bernilai jutaan ringgit. Kita boleh lihat apa yang berlaku di Kelantan yang memerintah dengan kelebihan satu kerusi dan dua undi sahaja disebabkan kekuatan akidah yang memandu seseorang yang berpolitik walaupun ada usaha membeli wakil rakyat di Kelantan dengan nilai jutaan ringgit.

Kalau negara kita dan dunia sekarang boleh menerima ekonomi Islam sebagai alternatif walaupun sebelumnya berpuluh-puluh tahun dihina sebagai system yang akan menyebabkan kemunduran, tidak mustahil tidak lama lagi sistem Islam akan diterima sebagai sistem politik yang seterusnya akan memandu pemerintahan negara ke arah “Negara yang baik dan Tuhan yang Maha Pengampun”.

Saturday, March 6, 2010

Buat Mereka Yang Sedih Berpisah


Assalamualaikum…

Sekali lagi tangan ni terasa gatal nak menulis. Terbuka blog salah seorang sahabat yang menulis berkenaan perpisahan. Nada dia macam sedih je. mungkin aku menjadi faktor kesedihan tersebut. Barulah aku tersedar yang rupanya sekarang kawan-kawan lain dah habis matrik dan selepas ini ada yang ke kuantan dan ada yang ke Gombak. Ketidaksedaran aku itu berpunca lantaran oleh kemungkinan besar (insya Allah) aku akan menyambung short sem sedangkan yang lain tak.

Ataupun dek kerana kecanggihan tekonologi sekarang yang memungkinkan perhubungan jarak jauh itu dapat dilakukan dengan mudah. Dunia di hujung jari. Bukak internet dah dapat tau perkembangan kawan-kawan yang duk jauh. Ataupun sekadar telefon sahaja dengan kadar 15 sen seminit dan 1 sen untuk sms bagi penggunan celcom Upax. Sehinggakan kawan-kawan yang sekarang belajar di mesir sudah tidak lagi dirindui dek kerana setiap hari bertembung dalam yahoo! Messenger.

Kalau di sebelah brothers. Majoriti akan ke Gombak kerana kuliyyah of engineering terletak di sana. Kiranya “orang-orang kuat” (bak kata pak cik yang selalu jumpa kat masjid) di cfs akan meneruskan perjuangan di Gombak. Tinggallah diriku terkontang-kanting di kuantan dikelilingi oleh sahabat-sahabat yang sehari-harian hidup dengan buku dan memakai kaca mata (ini pernyataan umum, tidak merujuk kepada individu tertentu).

Kuantan dan Gombak bukan jauh sangat pun. Sekitar 3 jam perjalanan menaiki kereta. Dari kuantan terus masuk ke highway pantai timur dan highway karak, terus jumpa Gombak. Apa yang seseorang itu perlukan ialah lessen kereta dan kereta sahaja (atau lebih tepat kita sebut sebagai perlu ada duit).

Apapun, kepada sahabat-sahabat di cfs, kita bertemu dan berpisah kerana Allah. Allah dah menjanjikan bahawa antara 7 golongan yang akan mendapat naungan Allah pada hari akhirat kelak ialah “dua orang yang saling mengasihi di jalan Allah, keduanya berkumpul dan berpisah karena Allah”. Iklhaskan niat, mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan ini.

Insya Allah sekiranya umur kita dipanjangkan, pasti kita akan bertemu lagi. Mungkin kita akan bertemu di mana-mana. Mungkin sewaktu kita belajar, bekerja dsb. Tapi yang pasti, kita confirm akan bertemu bila mana kita terjun ke medan yang sebenar. Tunggulah aku dan aku akan turut menunggumu. Insya Allah..

Friday, March 5, 2010

Gejala Sawan dan Kaitannya Dengan Anda


Assalamualaikum…

Lama tak jumpa (takpe la kalau tak pernah jumpa pun). Bila cuti panjang camni rasa tangan dah gatal nak menulis. Sebelum-sebelum ni bukannya tangan tak gatal, tapi ntah macam mana, takdir Allah menentukan aku tak menulis. Menulis ni memang sama macam jodoh ataupun pergi haji. Kalu Allah memang takdirkan kita menulis, tak kiralah kita sesibuk manapun, kita tetap akan menulis. Samalah jugak macam dua benda tu.

Sepanjang hidup ni (macam la banyak sangat pengalaman), baru dua kali Allah takdirkan kejadian sawan berlaku kat depan mata. Yang terbaru lepas subuh tadi. Lebih kurang sebulan lepas ada jugak sorang kawan tu yang sawan lepas jatuh time main futsal. Pagi tadi betul-betul lepas semayang subuh, ada sorang budak yang sawan. Menggeletar seluruh badan, tangan terjulur kat depan pastu keluar air liur berbuih.

Lalu aku ni sebagai seorang yang kononnya ambik course medic (walaupun tak tau lagi dapat course apa kat main campus), terpaksalah memainkan peranan bagi memberikan first aid kat budak yang kena sawan tu. Seolah-olah ada harapan menggunung oleh kawan-kawan sekeliling kepadaku. Tapi sebenarnya aku tak tau apa pun nak buat time tu. Tapi atas dasar prihatin, aku pun duk sebelah budak tu dan mambantu setakat yang mampu.

Ada la sorang yang jerit “tepi, tepi, dia tak boleh kalau panas”..lalu aku berfikir, “oo..rupanya orang yang kena sawan ni tak boleh kalau orang berkumpul sekelilng dia” (Nampak sangat aku ni apa pun tak tau). Pastu budak tum pun dibawak ke hospital.

Terus aku bukak intenet untuk cari info berkaitan dengan sawan ni pas sampai kt rumah. Insya Allah boleh digunakan kalau berhadapan dengan situasi yang sama. Hasil research aku telah mendedahkan bahawa terdapat tiga jenis sawan (atau dalam enlish kita panggil epilepsy). 1) menyeluruh 2) partial kompleks 3) absens. Kes yang aku cerita tadi tergolong dalam sawan menyeluruh.

Kalau berlaku lagi situasi cam tadi, apa yang perlu kita lakukan ialah (baca dengan nada pembaca berita) jangan panic, baringkan suspek itu dan letakkan benda lembut untuk alas kepala, longgarkan pakaian dan buang spek mata, jangan kerumuni suspek (supaya tak menghalang oksigen), jangan cuba menahannya daripada bergerak dan selepas sawan itu selesai, baringkan dia secara mengiring (supaya salur pernafasan lapang).

Biasanya serangan sawan sekitar 3-5 minit sahaja. Kalau yang partial kompleks tu, suspek akan berlari, tampar diri sendiri dan perbuatan ganjil lain di luar kawalan. Jangan halang dia melainkan dia buat benda yang merbahaya. Dan temani dia sampai sembuh. Kalau yang absens pula suspek akan sawan selama lebih kurang 30 saat je. Dia takde symptoms yang pelik. cuma dia akan kelihatan seolah-olah berkhayal dan tidak menumpukan perhatian. Biasanya sawan jenis ini tidak disedari oleh orang sekeliling.

Wednesday, December 23, 2009

Politik dunia Islam 2009: 10 berita utama


Politik dunia Islam 2009: 10 berita utama
Haris Zalkapli (http://www.harakahdaily.net/)

Perkembangan dunia Islam terus menjadi berita-berita utama antarabangsa, memberi kesan kepada politik serantau dan global, bermula dengan serangan Israel ke atas Gaza pada Disember 2008 sehingga Januari 2009, kepada konflik di Yaman yang semakin merebak ke seluruh wilayah negara itu dan jiran. Berikut 10 berita dan pemain utama dalam dunia Islam, yang memberi kesan besar kepada negara terbabit, dunia Islam secara keseluruhan dan politik dunia.

1. Serangan terhadap Gaza, Palestin

Dunia Islam memulakan tahun 2009 dengan menyaksikan konflik di Gaza, perang mempertemukan kekuatan tidak seimbang tentera Israel dengan Hamas dan kumpulan-kumpulan lain di wilayah Palestin dikuasai Hamas ini. Perang bermula pada Disember 2008. Awal 2009, Israel memulakan serangan darat selepas seminggu serangan udara. Perang berakhir pada 18 Januari, dua hari sebelum presiden baharu Amerika Syarikat, Barack Obama mengangkat sumpah. Hampir 1,500 warga Palestin dilaporkan terbunuh, dengan kemusnahan hampir AS$2 bilion. Israel turut menyerang masjid, sekolah dan tempat-tempat awam, membunuh semua termasuk kanak-kanak. Tidak lama selepas perang, Israel memilih sebuah kerajaan dikuasai parti berhaluan kanan. Demonstrasi diadakan di seluruh dunia membantah tindakan Israel. Reaksi di dunia Islam termasuk boikot terhadap jenama AS dan Barat seperti McDonald's, Tesco, Starbucks, KFC dan pelbagai produk konsumer lain.

2. Dasar luar baharu Turki

Negara yang sedang menggerakkan dasar luar baharu, Turki, bertindak pragmatik dalam menangani isu Gaza melalui satu tindakan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan dalam forum di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, menaikkan imej Turki ketika dunia Arab dilihat gagal bertindak. Di bawah arkitek dasar luar baharu Ahmet Davutoglu, akademik hubungan antarabangsa berpengalaman luas, Turki mengaktifkan usaha baharu membina hubungan baik dengan negara-negara jiran termasuk Armenia dan Syria dan cuba membina ruang pengaruh, berdasarkan fahaman pan-Turkisme atau apa yang disifatkan pemerhati sebagai perspektif "neo-Uthmaniyah" Ahmet. Ahmet, yang pengalamannya termasuk mengajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Beykent Istanbul, disebut sebagai "Henry Kissinger Turki" yang kini menjadi tokoh penting parti pemerintah, AKP.

3. Konflik Yaman

Menjelang Ramadan tahun lalu, Yaman menyaksikan bermulanya konflik melibatkan kerajaan pimpinan Presiden Ali Abdullah Saleh dengan pemberontak Houthi di utara. Kini, setelah tiba bulan Muharram 1431, konflik di Yaman semakin meluas dan meningkat dari segi intensitinya, apabila AS mula terlibat dalam serangan terhadap kumpulan al-Qaeda di negara ini, kumpulan dikenali sebagai al-Qaeda di Semenanjung Arab (al-Qaeda in the Arabian Peninsula, AQAP) menggabungkan al-Qaeda Yaman dengan Arab Saudi. Negara dilanda masalah sumber air dan hidrokarbon ini juga berdepan kebangkitan kumpulan pemisah Marxist di selatan. Penglibatan Saudi menyerang Houthi juga menambahkan kerumitan konflik ini, yang kini telah menyebabkan lebih 170,000 menjadi pelarian di dalam negara. Peranan Iran dan Saudi memperlihatkan dimensi persaingan kuasa serantau dalam konflik ini.

4. Pilihan raya presiden dan isu nuklear Iran

Iran mengadakan pilihan raya presiden pada 12 Jun lalu, dengan keputusan penyandang Mahmoud Ahmadinejad mengekalkan jawatan. Walau bagaimanapun, keputusan ini ditentang hebat Mir Hossein Mousavi dan ribuan penyokongnya, menggegarkan republik Islam yang berpandukan kepada ide Wilayatul Faqih yang menetapkan kuasa kepada para ulama. Kebangkitan digelar "revolusi hijau" oleh kem Mir Hossein mendapat kredibiliti dan imej yang positif bagi sesetengah pihak kerana warna hijau yang digunakan - yang dikaitkan dengan Islam dan Nabi Muhammad saw - sebagai simbol gerakan menentang pemerintah Iran. Pemerintah Iran masih berdepan cabaran getir penentangan ini, yang mendapatkan simpati apabila Ayatullah Hossein Ali Montazeri meninggal dunia pada 20 Disember lalu. Pada masa yang sama, Iran terus berdepan cabaran berhubung isu nuklearnya apabila sikap kerajaan baharu AS tidak berubah walaupun sedia berunding.

5. Afghanistan-Pakistan dan Taliban

Afghanistan dan Pakistan ditangani sebagai satu oleh sebahagian besar komuniti dasar luar AS, ekoran hubungan rapat kumpulan Taliban di kedua-dua negara dan kaitan rapat geografi kedua-dua negara dalam konflik di Afghanistan. Afghanistan kini menjadi satu agenda dasar luar penting bagi Obama, yang meluluskan 30,000 anggota tentera untuk dihantar ke negara ini. AS kini mempunyai kehadiran yang besar di Asia Tengah. Pada masa sama, Presiden hamid Karzai baharu melengkapkan anggota kabinetnya, yang dikritik ramai sebagai tidak memenuhi janji memerangi korupsi dan pada masa sama memberikan kuasa kepada pihak-pihak tidak sepatutnya. Kedatangan lebih ramai tentera AS dan pemerintahan Hamid yang tidak bersih dan bebas bakal meneruskan ketidaktentuan di Afghanistan. Kedatangan lebih ramai anggota tentera mampu meningkatkan lagi konflik dengan kumpulan militan.

6. Lanun dan kehadiran kuasa asing di Somalia

Penculikan dan rampasan kapal oleh lanun Somalia yang mula berleluasa pada 2008 terus berlaku pada 2009, dan menarik kedatangan tentera-tentera laut asing termasuk Jepun dan Rusia, menjadikan kawasan perairan Somalia yang strategik itu semakin tegang. Kawasan Teluk Aden bersempadan Laut Merah - dihubungkan laluan sempit Bab al-Mandeeb di tengah-tengah antara Djibouti dan Eritrea dengan Yaman - ialah satu laluan penting dalam perdagangan antarabangsa. AS juga menjalankan operasi pesawat tanpa juruterbang di kawasan perairan ini. Kawasan ini terletak tidak jauh daripada Yaman, satu lagi kawasan panas yang menjadi salah satu sumber senjata bagi lanun Somalia. Selain itu, tentera AS dan Iran juga meningkatkan kehadiran di kawasan perairan ini, mengaitkannya dengan isu lanun dan juga ketidakstabilan di Tanduk Afrika dan Yaman.

7. Pilihan raya Lubnan

Lubnan menjadi medan persaingan kuasa-kuasa asing sejak sekian lama, dan pilihan raya pada 7 Jun 2009 menunjukkan realiti ini kekal dalam permainan politik Lubnan. Kumpulan 14 Mac yang pro-Barat memenangi 71 daripada 128 kerusi, yang dibahagikan kepada 64 untuk Muslim dan 64 Kristian, susunan diwarisi daripada penjajahan Barat yang memberi kelebihan kepada Kristian. Saad Hariri dan kumpulan 14 Mac mendapat sokongan kuat AS, Arab Saudi dan Mesir, manakala Hizbullah dan Amal disokong Iran dan Syria. Kumpulan diketuai Hizbullah yang disebut-sebut akan menang tidak berjaya merealisasikan jangkaan itu, tetapi Lubnan meneruskan penubuhan kerajaan perpaduan seperti yang dilaksanakan penggal lepas, proses yang hanya selesai beberapa minggu lalu, dengan Saad mengetuai kerajaan baharu.

8. Uyghur di Xinjiang

Wilayah Xinjiang menyaksikan kebangkitan rakyat berketurunan Uyghur memprotes layanan buruk kerajaan China dan dominasi kaum Cina han di wilayah tersebut. Di sini dapat diperhatikan perana Turki menggerakan kaum Uyghur daripada rumpun bangsa Turki sebagai sebahagian agendanya meluaskan ruang pengaruh. Ankara dan Beijing bertikam lidah dalam hal ini, dengan Turki berperanan sebagai pembela nasib Uyghur ketika China dilihat di seluruh dunia sebagai penindas. Dengan sokongan Turki dan AS, Rebiya Kader, tokoh Uyghur berpangkalan di Washington muncul sebagai ikon kaum tertindas ini, hampir menyamai peranan dimainkan Dalai Lama bagi Tibet. Perkembangan ini, yang berlanjutan selama beberapa bulan, menyumbang dalam menjadikan perjuangan Uyghur menuntut kebebasan dalam hal berkaitan agama dan budaya menjadi perhatian dunia Islam untuk satu tempoh.

9. Libya dan pembebasan Abdel Baset al-Megrahi

Abdel Baset al-Megrahi, disabit bersalah dalam pembunuhan 270 orang akibat pengeboman pesawat AS, Pan Am 103 di ruang udara Lockerbia, Scotland pada 21 Disember, 1988. Beliau dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Negaranya, Libya, menjadi tumpuan negara-negara Barat terbabit dan diletakkan sebagai satu musuh utama untuk satu tempoh yang panjang. Pada 20 Ogos lalu, beliau dibebaskan atas dasar kemanusiaan kerana dinilai doktor menghidap kanser prostat dan hanya akan hidup kurang tiga bulan lagi. Satu debat politik antarabangsa berlangsung ekoran tindakan kerajaan Scotland ini. Abdel Baset masih berusaha membersihkan namanya daripada tuduhan terlibat dalam pengeboman itu. Keadaan sekitar pembebasan Abdel Baset mengundang pelbagai spekulasi berhubung rundingan pembebasan beliau melibatkan kerajaan terbabit.

10. Islamofobia di Eropah

Di Dresden, timur Jerman, pada 11 November lalu, Alexander Wiens, pembunuh Marwa al-Sherbini dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Wiens disabit membunuh Marwa akibat prejudisnya terhadap wanita Muslim berasal Mesir itu. Beberapa minggu lalu, di Switzerland, usaha mengharamkan menara masjid di negara itu mendapat sokongan 57 peratus pengundi negara Eropah itu. Sentimen itu sampai ke Belanda dan Jerman, apabila ahli-ahli politik berhaluan kanan di sana melahirkan sentimen yang sama. Sebelum itu, di Cologne, Jerman dan di utara London, Inggeris, protes terhadap masjid telah berlaku, memperlihatkan sentimen yang semakin disuarakan di Eropah, walaupun tidak kelihatan mendapat sokongan popular. Perkembangan ini menimbulkan persoalan tentang potensi ancaman kepada kepelbagaian budaya dan kebebasan beragama di Eropah.

Thursday, December 3, 2009

Kita Ibarat Para Pengembara


Baru-baru ini hati saya cukup tertarik dengan lagu nasyid yang sebenarnya sudah lama tetapi telah diberi nafas baru dengan rentak yang cukup rancak. Lagu itu bertajuk “Bingkai Kehidupan” yag didendangkan oleh kumpulan shoutul. Pada permulaan lagu tersebut tersurat ayat “mengharungi samudera kehidupan, kita ibarat para pengembara, hidup ini adalah perjuangan, tiada masa tuk berpangku tangan”.

Ayat tersebut mengingatkan kita kepada hadis Rasulullah S.A.W bahawa hidup manusia ini umpama seorang musafir yang singgah sebentar, berehat sebentar di bawah sepohon pokok dan kemudian meneruskan perjalanan. Jadi tempoh berehat sebentar itulah gambaran betapa pendeknya kehidupan manusia di dunia ini berbanding dengan apa yang kita akan tempuhi selepas ini.

Alangkah pendeknya hidup ini. Bagi mereka yang seumur dengan saya, beberapa tahun lagi kita akan menghabiskan tempoh pelajaran. Kemudian kita akan disibukkan dengan alam pekerjaan dan alam kekeluargaan yang semestinya kita rasakan sekejap. Kalaulah kita sekarang ini pun yang merasakan kehidupan yang terlalu pantas berlalu masanya dek kerana kesibukan menyiapkan tutorial, assignment, research dan sebagainya, nescaya nanti setelah bekerjaya dan berkeluarga, sudah pasti kita akan merasakan masa itu berlalu lebih pantas berbanding sekarang.

Kemudian timbul satu persoalan, kemana kita akan pergi selepas itu? Setelah bekerjaya tentunya kita akan menghabiskan sisa-sisa kehidupan sebagai seorang yang sudah tua. Katakanlah kita bersara pada umur 55 tahun, kita hanya ada paling lama 15 tahun lagi untuk hidup (mengikut hadis Nabi umur umatNya antara 60-70 tahun). Jadi kemudian kita akan meninggalkan dunia ini. Apakah nasib kita selepas itu?

Alangkah pendeknya hidup ini berbanding dengan akhirat yang kekal abadi. Marilah kita bermuhasabah adakah kita sudah bersedia bertemu Allah ataupun kita sekarang dijangkiti oleh penyakit “wahan” yang dimaksudkan oleh Rasulullah sebagai “cintakan dunia dan takutkan mati”. Kita takut mati kerana banyaknya dosa yang dilakukan, banyaknya hutang yang tidak dilangsaikan dan banyaknya ibadat wajib mahupun sunat yang tidak dikerjakan.

Isilah saki baki hidup ini dengan amal yang baik dan elakkan diri daripada berbuat dosa. Jadilah orang yang sentiasa meletakkan diri atas dasar Islam. Wallahua’lam.