Monday, November 8, 2010

Gunung Merapi: Fakta Dan Peringatan Buatku




Berita letusan Gunung Merapi di Indonesia yang dinyatakan oleh pakar sebagai yang terburuk untuk sekurang-kurangnya satu abad sememangnya amat menakutkan kita. Setakat ini (6 November) sudah 138 orang terbunuh dan 200,000 orang telah dipaksa meninggalkan kediaman masing-masing. Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudoyono pula telah mengisytiharkan bencana ini sebagai “national disaster”.

Sementara itu, berpuluh-puluh mangsa yang terkorban dilaporkan akan dikebumikan dalam satu kubur besar di Yogyakarta.

Letusan pertama dilaporkan berlaku pada 26 Oktober lalu dan yang menakutkan ialah tekanan gas di dalam gunung tersebut dilaporkan terus meningkat yang mungkin membawa kepada letusan yang lebih besar. Kali terakhir Merapi meletus pada 2006 yang memakan korban seramai 2 orang. Pada 1994 pula mengorbankan 60 orang dan korban paling besar berlaku pada 1930 iaitu seramai 1,300 orang.

Terdapat sebanyak 129 gunung berapi aktif di Indonesia yang berada pada 17,500 buah pulau. Indonesia berada dalam lingkaran apa ntah namanya yang kita belajar dalam geografi sewaktu sekolah menengah dulu dulu tapi dalam Englishnya dipanggil ‘Ring of Fire’.

Utusan Malaysia melaporkan pada hari ini tentang 664 rakyat Malaysia yang dibawa pulang semalam (6 November). Dan pada hari ini (7 November) pula seramai 240 orang akan dibawa pulang. Dan pihak Education Department di Indonesia yang pengarahnya ialah Datuk Dr. Junaidy Abu Bakar meminta kepada ibu bapa yang mempunyai pelajar di Indonesia supaya tidak terlalu bimbang kerana mereka sekarang telah ditempatkan di hotel dan asrama dalam keadaan selamat.



Wajar untuk kita renungi sebenarnya bencana yang melanda sesebuah negara yang walaupun dikatakan oleh pakar bahawa itu adalah fenomena alam semula jadi namun sebagai seorang yang beriman kita perlu meyakini bahawa Allah tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia. Dan Allah menjadikan apa-apa yang berlaku terhadap alam ini sebagai tanda-tanda kekuasaannya dan peringatan kepada hambaNya.

Bahkan negara Malaysia sendiri bukannya kebal daripada bencana alam. Tidak ada jaminan sebenarnya walaupun kita berada di luar lingkaran gunung berapi dan mempunyai banjaran-banjaran yang memasak negara kita daripada gempa bumi. Ingat peristiwa tsunami pada 2004? Dan sebenarnya sudah banyak gegaran kecil yang berlaku di Bukit Tinggi, Pahang. Elok rasanya dikaji balik sukatan pelajaran Geografi bagi mengelak anak-anak kita diberi kegembiraan palsu.

"Bagaikan kiamat. Lebih menyeramkan lagi hanya saya dan rakan yang terselamat," begitulah gambaran yang diberikan oleh seorang pelajar Malaysia di Yogyakarta tentang kejadian letusan dahsyat Gunung Merapi pada malam Jumaat lalu.

Marilah sama-sama kita merenung diri dan bermuhasabah. Tinggalkan dosa-dosa yang kita lakukan. Mohon keampunan. Takutlah kepada bencana Allah yang tidak hanya menimpa orang-orang zalim di kalangan kita sahaja. Wallahua’lam

Saturday, November 6, 2010

Analisa PRK Galas dan Batu Sapi Dari Bilik Cadaver




Assalamualaikum WBT

Kekalahan Pakatan Rakyat (PR) dalam dua pilihan raya kecil yang terbaru iaitu DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi sebenarnya bukanlah satu berita buruk kepada PR. Bahkan keduanya merupakan petanda baik supaya tidak terlalu selesa dalam menuju ke Putrajaya. Kalau sebelum ini, parti komponen PR kelihatannya terlalu yakin yang rakyat berada di samping mereka. Sekurang-kurangnya kekalahan ini boleh mengejutkan mereka yang masih diawang-awangan dek kerana kemenangan hasil undi protes pada PRU 2008.

Kegembiraan kemenangan PRK Sibu beberapa bulan sebelum ini bukanlah gambaran kepada kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan diadakan. Sibu adalah kawasan Bandar yang majoriti pengundinya adalah Cina yang terikut-ikut mood di semenanjung. Mereka bukannya mewakili majoriti rakyat Sarawak yang rata-ratanya masih menganggap BN sebagai ‘tuan’ mereka yang tidak boleh diderhakai.

PKR pula nampaknya belum lagi habis berebut-rebut ‘ghanimah’ walaupun setelah 2 tahun menang besar. Mereka sibuk merebut kuasa dalam pemilihan parti yang jikalau mereka memenangi jawatan di peringkat cabang (kawasan/bahagian), bolehlah mereka mendapat habuan projek di negeri yang diperintah PR. Mereka bukannya ambil kira sangat tentang parti mereka. Buktinya perbezaan keluar mengundi antara pemilihan cabang untuk mereka merebut kuasa jauh lebih tinggi berbanding pemilihan nasional untuk memilih kepimpinan di peringkat nasional.

PAS juga turut ada golongan yang mula mendekati parti itu setelah melihat kemenangan yang makin dekat namun kerana asasnya yang kukuh untuk mendaulatkan Islam dilihat masih lagi mengekalkan parti itu kepada identiti asalnya. Melihatkan kepada makin ramainya mereka yang ‘kelabu mata’ inilah Dewan Pemudanya mengambil usaha untuk menganjurkan Ijtima’ Tarbawi baru-baru ini bagi mengembalikan pengharapan kemenangan itu hanya kepada Allah.

Sebenarnya kekalahan di Galas boleh kita katakan sebagai special case kerana pengaruh Tengku Razaleigh yang terlalu kuat di situ sehinggakan orang asli ‘malu alah’ kalau bertentang mata dengan Ku Li. Pengaruh yang terlalu kuat itulah yang menyebabkan PAS nampaknya berlainan ‘keghairahannya’ berbanding PRK sebeelum-sebelum ini. Tiba-tiba saja PAS telah menjadi parti yang sangat sopan dan lemah-lembut seolah-olah sedang bermain perlawanan persahabatan bola sepak.

Di Batu Sapi pula gelombang simpati kepada Datin Linda Tsen, yang cuba mengekalkan kerusi mendiang suaminya tidak mampu disainginya oleh calon PKR, Ansari Abdullah walaupun beliau dua kali jatuh laut dek kerana melalui jeti dan titian reput. Mungkin juga BN ingin mencuba formula Anwar yang berjaya mengekalkan kerusinya sebanyak tiga kali PRU walaupun beliau di dalam penjara pada waktu itu.

Walaubagaimanapun, yang perlu dibimbangi ialah majoriti kemenangan BN yang terlalu tinggi yang pastinya menyebabkan ayam yang sedang mengeram pun melompat dek kerana terkejut. Mungkin inilah juga factor kenapa Dato’ Seri Najib tiba-tiba sakit perut. Majoriti 6,359 di Batu Sapi dan 1,190 di Galas adalah di luar jangkaan sebenarnya.

Namun jangan kita tiada siapa yang dapat meneka apa yang berlaku pada PRU 2008 setelah PRK Pengkalan Pasir pada 2005 dan Ijok pada 2007 yang menyaksikan BN menang besar. Siapa tahu apa yang akan berlaku pada 2013@2012@2011? Yang penting biarlah pengharapan itu hanya pada Allah.Wallahua'lam

Saturday, October 30, 2010

Menara Warisan 5 bilion dan Hub Hiburan Malam


Assalamualaikum WBT

Lebih kurang seminggu tidak mengupdate blog tatkala banyak perkara besar yang berlaku termasuklah penamaan calon pilihan raya kecil Batu Sapi dan Galas. Dan belum diulas lagi berkenaan bajet 2011 dan Economic Transformation Plan (ETP) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

Saya sebenarnya sekadar ingin menumpukan kepada Belanjawan 2011 dan ETP sahaja kerana kedua-dua ini memberi kesan yang sangat besar kepada sosio ekonomi negara ini. Dan pastinya semua sudah muak mendengarkan berita pilihan raya kecil yang entah keberapa belas kali sudah setelah pilihan raya umum ke-12.

Dan setiap PRK sebenarnya menelan belanja yang cukup besar dan elok sebenarnya kita renung kembali cadangan Naib Presiden PAS, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man yang mencadangkan tiadalah diadakan PRK. Sekadar menyerahkan kepada parti yang telah menang sebelum itu untuk menentukan pengganti sekiranya berlaku kematian dan sebagainya.

Banyak sebenarnya perkara baik yang hendak dilaksanakan dalam belajawan 2011 dan ETP. Namun begitu terdapat juga beberapa perkara kontroversi yang ingin dilaksanakan kerajaan terutamanya apabila diperuntukkan sebanyak RM5 bilion untuk Menara Warisan PNB. Juga menarik perhatian apabila diperuntukkan RM111 juta untuk program PERMATA yang dipelopori oleh isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah. Labih tinggi berbanding RM95 juta yang diperuntukkan untuk sekolah agama rakyat (SAR).

Bagi ETP pula, yang dijangkakan menjadi bom jangka kepada pihak kerajaan ialah cadangannya untuk mewujudkan hub hiburan malam bagi memacu industri pelancongan. Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan “mempakejkan” semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Dalam perancangan 12 projek permulaan (EPP), kerajaan akan melonggarkan syarat ketat bagi penganjuran konsert dan majlis antarabangsa, yang sekarang ini dikatakan banyak menghindarkan penghibur antarabnagsa ke negara ini. Jumlah pelaburan yang diperlukan adalah RM467 juta dan akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Kerajaan menjangkakan ia akan memberi pendapatan negara kasar sebanyak RM427 juta dan mewujudkan sebanyak 8,000 peluang pekerjaan

Lebih mengejutkan lagi EPP juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020.

Langkah itu akan menyaksikan penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014. –Malaysiakini.

Setakat ini NGO seperti ABIM, PPIM, GPMS, PUM dan yang agak mengejutkan, PERKASA telah membuat bantahan terhadap cadangan ini. Agak terkejut kerana PERKASA mengancam untuk mengadakan demontrasi sekiranya cadangan kerajaan ini diteruskan. PPIM pula sekadar menyatakan “tunggu pilihan raya nanti”.

Juga bantahan daripada Dewan Pemuda PAS yang menyatakan cadangan dalam ETP ini akan mewujudkan apa yang disebut sebagai ekonomi pumping kerana kerajaan sekadar mendapat keuntungan sebentar sahaja bahkan sebenarnya akan rugi kerana kos untuk membasmi gejala sosial, kempen pembentukan akhlak dan sebagainya akan meningkat mendadak lebih daripada keuntungan yang dijana. Wallahua’lam

Wednesday, October 13, 2010

Update Rundingan Damai Palestin-Israel




Assalamualaikum WBT

Sekitar minggu exam, tiada penulisan tentang isu semasa dilakukan melainkan beberapa post yang simple. Dan dalam tempoh tersebut sebenarnya sangat banyak perkara yang berlaku dan untuk post ini saya tertarik untuk mengulas isu antarabangsa yang tidak lagi berkesudahan tentang rundingan damai Palestin dan Israel tatkala Mahmoud Abbas masih lagi berusaha mendapatkan sokongan kuasa-kuasa besar dunia.

Dan yang terbaru beliau bertemu dengan presiden Perancis Nicolas Sarkozy dalam usaha untuk menekan Israel supaya menghentikan pembinaan penempatan di Tebing Barat dan Sarkozy pun dengan tegasnya menyokong Palestin dan mengecam Israel atas tindakan tersebut. Yang kita semua yakin itu hanyalah kenyataan yang berpura-pura oleh presiden sebuah negara yang telah menghalang pemakaian niqab oleh masyarakat muslim di sana.

Kemudian pada 8 Oktober 2010 pihak Palestin dan Negara Arab member tempoh sebulan kepada Amerika Syarikat supaya memujuk Israel menghentikan pembinaan penempatan tersebut dengan ancaman mereka akan menghentikan rundingan damai sekiranya tuntutan ini tidak dipenuhi. Satu kata dua yang berani dan itulah yang memang sepatutnya dilakukan.

Kemudian beberapa hari selepas itu (11 Oktober) Perdana Menteri Israel Binyamin Netanyahu ingin bermain tarik tali dengan membuat tawaran yang cukup bodoh iaitu pembekuan pembinaan penempatan boleh dilakukan dengan syarat Palestin mengiktiraf Israel sebagai sebuah Negara Yahudi yang pantas memdapat respon negatif daripada pemimpin Palestinian Liberation Organisation (PLO) dan kenyataan daripada jurucakap Mahmoud Abbas sendiri.

Begitulah sedikit sebanyak update tentang isu rundingan damai Palestin-Israel. Wallahua’lam.

p/s: Alhamdulillah hari ini berjaya jua menyelesaikan dua paper terakhir end-block examination dengan segala keupayaan dan kemampuan sel-sel otak yang telah berminggu-minggu bekerja keras mengingat nota-nota yang berkilo-kilo beratnya. Segala puji bagi Allah yang telah memberikan kekuatan kepada diri ini untuk mengharungi hari-hari tersebut. Tamat akhirnya…

Mungkin kerana ini exam final yang pertama, kecuakan itu sangatlah ketara dan tidak ingin rasanya untuk ditanggung lagi selepas ini. Diharapkan kecuakan yang ditanggung untuk end-block exam kali ini tidak berulang lagi kerana satu tahun ada 4 end-block examination yang kalau setiap satunya membawa tahap kecuakan yang sebegini, maka alangkah tak best nya hidup kat kuantan ni

Monday, October 11, 2010

Alhamdulillah, Thank You Allah




Assalamualaikum WBT

Beriman kepada qada’ dan qadar bermakna kita menerima bahawa ketentuan yang baik atau buruk yang datang daripada Allah itu semuanya baik untuk kita. Maka kita akan kemudiannya bersangka baik kepada Allah dan tidak ada lagi perasaan buruk kepadanya. Walau apa pun yang berlaku pasti ada hikmahnya walaupun perkara itu nampak buruk pada zahirnya tetapi terkandung faedah yang sangat besar yang akan kita sedari tidak lama lagi.

Allah pasti tidak akan menzalimi hambaNya sekiranya telah berikhtiar sedaya upaya dan bertawakkal kepadanya. Allah itu maha adil. Semua perkara dalam kekuasaannya. Dia tidak terbeban langsung menanggung ‘arasy Nya yang seluas langit dan bumi. jadi tidak mungkinlah Allah itu tidak berkuasa mengabulkan permintaan hambaNya. Tambahan pula bila mana hamba itu meminta dengan niat yang iklas dan penuh istiqamah.

Setelah kita berusaha, walau apapun yang ditakdirkan kepada kita selepas itu, sama ada berjaya atau tidak, adalah baik bagi kita. Tidak semestinya berjaya itu baik bagi kita. Mungkin kegagalan itu baik bagi kita. Siapa tahu apa yang terbaik untuk kita? Hanya Allah sahaja. Maka berdoalah padaNya supaya mentakdirkan apa yang baik kepada kita.

Selepas itu, maka bertawakkallah pada Allah. Kerana dia yang memiliki segala-galanya. Dial ah yang membolak-balikkan hati manusia. Dialah yang mengawal semua perkara yang boleh dikawal oleh manusia dan juga di luar jangkauan manusia. Manusia hanya mampu berusaha dalam lingkungan ikhtiarnya sahaja. Yang di luar jangkauan kita itu maka serahkanlah pada Allah. Allah itu maha berkuasa untuk mentakdirkan apa yang dikehendaki Nya.

Selepas habis berikhtiar, maka tugas kita hanya berdoa dan berdoa. Tanpa henti-henti. Semoga Allah memakbulkan permintaan kita. Allah gembira dengan hamba Nya yang makin banyak meminta kepada Nya. Dan pasti Dia akan mengabulkannya. Kalaupun bukan sekarang, akan dikabulkan pada masa depan. Ataupun pada hari akhirat kelak.

Insya Allah. Allah akan memberi yang terbaik kepada hambaNya. Alhamdulillah. Thank you Allah. Wallahua’lam.

Saturday, October 9, 2010

IKOD '10: Antara Wacana Perdana, Ustaz Azhar Idrus Dan End-Block Exam




Assalamualaikum WBT

Hujung minggu ini 8-10 Oktober 2010 diadakan di bumi IIUM Kuantan ini program yang paling grand sepanjang tahun ini ataupun mungkin dalam sejarah kampus iaitu Hari Terbuka UIAM Kuantan ataupun dalam englishnya dipanggil IIUM Kuantan Open Day (IKOD 2010).

Terdapat banyak aktiviti yang dilangsungkan antaranya Wacana Perdana, stall dan bazaar, konsert, kuliah perdana, suara siswa (dibatalkan akhirnya) dan pelbagai pertandingan dan pameran yang dianjurkan oleh UIAM sendiri,badan-badan kerajaan dan agensi swasta.

Tiada apa-apa yang menyedihkan bagi program ini melainkannya diadakan betul-betul sebelum bermulanya end block examination bagi medic 1st year yang akan bermula pada 11 Oktober. Menyebabkan setiap kali rasa nak berkunjung ke IKOD 10 ini menyebabkan ketidaktenangan dan kecuakan yang melampau.



Namun demikian keadaan tersebut tidaklah menghalang diri ini untuk hadir ke acara paling menarik dan menggemparkan bila mana diadakan satu wacana perdana dengan tajuk yang cukup menarik dan ahli panel yang cukup hebat (rujuk gambar).

Sebagaimana dijangka ribuan pengunjung dari dalam UIAM sendiri mahupun dari luar yang memenuhi perkarangan Kuliyyah of Medicine (KOM). Dan yang lebih menyeronokkan bila mana forum ini telah lari terus daripada tajuk asal dan membincangkan isu-isu penting kepada mahasiswa dan masyarakat seperti isu AUKU, hak mahasiswa berpolitik, pilihanraya umum dan daftar pemilih, perpaduan Melayu, politik kampus, pendidikan seks, buang bayi dan sekolah harapan dan banyak lagi.

Keadaan yang panas juga disumbangkan oleh hadirin yang memberikan respon yang hangat terhadap lontaran pandangan yang diberikan oleh ahli panel dan penghargaan sepatutnya kita berikan kepada sdr Amin Idris yang memberikan pandangan yang sangat berani terhadap isu AUKU dan ISA7. Memang beliau seorang yang tidak berubah dengan idealisme nya sewaktu di UIAM dahulu walaupun sekarang sudah bergelar sebagai motivator terkenal yang pernah muncul di kaca tv dan radio serta menulis beberapa buah buku motivasi.

Dan agak menggelikan hati bila mana moderator yang pada akhirnya menyatakan bahawa forum ini lari daripada tajuk asal kerana mahasiswa ini perlu berfikir apa yang tersirat dan bukannya yang tersurat. Sebagaimana sewaktu lecture, pelajar bukannya perlu memikirkan apa yang tercatat pada power point itu, tetapi, perlu memikirkan apakah sebenarnya yang ada di sebalik power point tersebut.

Pada 10 Oktober pula insya Allah akan diadakan kuliah perdana selepas maghrib yang disampaikan oleh ustaz Azhar Idrus. Seorang pendakwah daripada Terengganu yang cukup famous dan dijangkakan sekali lagi kebanjiran manusia akan berlaku di dataran KOM.

Entahlah nak datang ataupun tak kerana terlalu dekat dengan exam. Tambahan pula dah selalu jumpa ustaz Azhar kat kampung. Tapi bila lagi nak tengok Ustaz Azhar kat UIAM Kuantan? Nak tau la jugak sama ada nadanya di university sama dengan nadanya di masjid. Kalau nadanya lain, hilanglah keistimewaan ustaz Azhar. Harapnya beliau dapat mengeluarkan ayat-ayat yang power walaupun berada di hadapan VVIP Kuantan nanti.

p/s: Strive for success in end block examination!!! Study+restu ibu bapa+tawakkal pada Allah=Berjaya.

Wallahua’lam

Wednesday, October 6, 2010

Mengejar Sesuatu Yang Bukannya Matlamat




Assalamualaikum WBT

Tempoh exam final yang makin hari makin dekat menyebabkan semua student medic 1st year study giler2. Ntah kenapa. Mungkin 1st time exam final menjadikan semua orang begitu cuak. Perasaan cuak itu agak bagus kerana menyebabkan semua orang akan study bersungguh-sungguh tetapi ada juga yang terlebih cuak sehingga stress.

Kalaupun semua masa digunakan untuk study pun tak boleh jugak sebab kepala akan jadi pening. Jadi saya ambik sedikit masa untuk release sambil mengupdate blog…

Ramai manusia yang tersilap dalam menentukan haluan hidup sehinggakan perkara yang sepatutnya hanyalah dijadikan wasilah (jalan) telah dijadikan sebagai matlamat sehinggakan melupakan matlamat yang sebenar. Matlamat yang sebenar telah dikaburi oleh perkara yang sepatutnya digunakan untuk mencapai matlamat tersebut iaitu mardhatillah.

Contoh yang paling dekat ialah study. Bilamana pemfokusan terlalu diberikan kepada mengejar pointer dan keputusan yang baik tanpa ada pemikiran bahawa aku ingin menjadikan pelajaran yang aku ikuti ini sebagai asbab (sebab) kepada keredhaan Allah kepadaku. Apa yang ada hanyalah study, lecture, assignment, exam, pointer. Tidak salah bersungguh-sungguh kearah itu tetapi hendaklah diakhiri matlamatnya dengan Allah. Bukannya dengan result exam.

Lalu tiadalah dihubungkaitkan study tersebut dengan tawakkal kepada Allah. Solat hajat dan doa hanyalah pada malam exam. Seolah-olah kita bermain-main dengan Allah. Tidakkah kita semua mengetahui bahawa Allah lah yang memberikan ilmu kepada kita. Maka mengapa diingati Allah hanya ketika nak exam???

Demikian pula halnya dengan kerjaya. Diakhiri kerjaya itu dengan kehidupan yang mewah dan gaji yang lumayan tanpa dihubungkaitkan dengan penggunaan harta itu ke jalan Allah. Lalu hiduplah menusia bermewah-mewah yang melampau sehinggakan menebal perasaan cintakan dunia dan takut mati.

Begitu juga dengan bercinta dengan manusia. Sepatutnya bukannya mengejar cinta manusia itu yang dijadikan matlamat. Tetapi hendaklah diakhirkan pencarian cinta manusia itu untuk mendapat keredhaan Allah melalui niat untuk menjaga diri daripada melakukan maksiat dan menyempurnakan separuh daripada agama.

Maka janganlah tersasar daripada matlamat sebenar. Biarlah apa-apapun yang dilakukan pengakhirannya adalah Allah SWT. Wallahua’lam.