Wednesday, May 6, 2009

Paksalah Diri Anda, Nescaya Anda Akan Dekat Dengan Allah.


Penyakit yang sering bermain dalam kalangan sesetengah rakan-rakan kita (tak kira di mana-mana pun, temasuklah di cfs iium) dan mungkin kita sendiri, menunggu supaya datangnya ikhlas dahulu kemudian barulah hendak beramal. Justeru, ayat seperti “kalau aku tutup aurat pun tapi terpaksa, apa gunanya?” atau “sembahyang kat masjid tapi sebab kena paksa buat apa?” selalu kita dengar. Kadang-kadang kita pun naik pening. Lalu tinggallah orang yang sedemikian menunggu hidayah Allah tanpa membuat apa-apa usaha bagi mendapatnya.

Perkataan ”kalau buatpun tapi tak ikhlas” seringkali digunakan bagi menghalalkan tindakan-tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seseorang yang bertitle muslim. Seolah-olah kalaulah hidayah/keikhlasan itu tidak datang, selama-lamanya mereka akan kekal dalam keadaan sedemikian. Bukannya tidak ada yang menasihati, ramai, tetapi tidak sampai seru, menyebabkan mereka sentiasa beralasan untuk tidak melaksanakan suruhan Allah.

Sepatutnya kitalah yang berusaha menggerakkan diri kita bagi mendapatkan redha Allah. berlumba-lumbalah mengejar kebaikan. Paksalah diri dengan apa cara sekalipun. Lawanlah sikap lemah dan malas dalam diri. Sebagaimana kita memaksa diri untuk study bagi mendapatkan kejayaan dalam peperiksaan walaupun dalam keadaan yang begitu berat sekalipun, begitulah juga kita ini dalam merebut kurniaan daripada Allah.

Kadang-kadang keikhlasan itu akan datang lama setelah kita melakukan sesuatu amalan tersebut. Pada mulanya kita tidak ikhlas memikirkan paksaan dan beratnya hati ini dalam mengikut suruhan Allah. tetapi tanamkan dalam hati “aku buat ini semata-mata mengikut perintah Allah”. walaupun berat, tetapi percayalah, lama-kelamaan, rasa malas dan berat tersebut akan diganti dengan rasa kemanisan dalam beribadat dan melakukan suruhan Allah.

Iman manusia bertambah dan berkurang. Bukan seperti malaikat yang sentiasa maintain tahap Iman mereka. Bukan seperti para Nabi dan Rasul yang sentiasa bertambah tetapi kita adalah manusia yang tidak terlepas daripada godaan syaitan dan nafsu. Kadang-kadang kita melakukan suruhan Allah dengan penuh rasa khusyu’ dan merasai kemanisannya, tetapi ada ketika yang lain kita merasa kosong, tidak ada makna dan seolah-olah ibadah yang nampak dari segi perbuatan, tetapi tidak meresap ke hati.

Namun, beristiqamahlah walaupun dalam keadaan susah atau senang, suka atau terpaksa. Haraplah redha dan keampunan Allah di atas kelemahan kita sebagai insan yang lemah. Tetapi janganlah sekali-kali kerana tidak merasai kemanisannya (atau tidak datangnya keikhlasan) menyebabkan kita terus lari dan meninggalkan kewajipan tersebut.

Paksalah diri untuk melakukan kebajikan. Paksalah diri untuk solat. Paksalah diri untuk menutup aurat. Paksalah diri untuk berzikir. Paksalah diri untuk berakhlak mulia.paksalah diri untuk menjaga batas-batas pergaulan. Paksalah diri untuk mentadabbur Quran. Paksalah diri untuk berjihad.

Paksalah diri anda, nescaya anda akan dekat dengan Allah.

3 comments:

alfarabi on May 6, 2009 at 7:01 PM said...

paksaan dengan ancaman lagi berkesan...tapi pastikan berhikmah...

Anonymous said...

manusia trlalu ikut hati..
sbb itu allah kurniakan aqal..
akal lebih waras pada hati..
post yg berguna
tq

coretan on May 8, 2009 at 8:07 AM said...

salam.post yg menarik utk sama berkongsi.syukran