Saturday, March 28, 2009

13 Mei 1969


Alhamdulillah baru-baru ini saya berjaya mengkhatamkan buku 13 MEI karangan Kua Kia Soong. Beliau merupakan seorang aktivis SUARAM (Suara Rakyat Malaysia). Buku yang cukup berfakta ini menulis berkenaan peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang mana perangkaan rasmi telah menyatakan sebanyak 136 nyawa yang terbunuh, 180 cedera oleh senjata api dan 259 cedera oleh senjata-senjata lain. Perangkaan ini telah dipersoalkan oleh wartawan antarabangsa yang pada waktu tersebut telah menghitungkan jumlah korban yang lebih tinggi daripada yang diwartakan oleh pihak kerajaan. Jadi saya akan cuba menghuraikan dengan ayat yang mudah tentang apa yang saya faham daripada buku ini.

Kia Soong mengambil maklumat daripada Pejabat Rekod Awam, London yang menyimpan rekod telegram yang dihantar oleh pegawai British di yang bertugas Malaysia tentang apa yang berlaku pada waktu tersebut. Catatan wartawan asing turut dijadikan sumber maklumat . Ini bermaksud buku ini berdasarkan sumber yang bukannya daripada pihak kerajaan. Jadi pembaca boleh membuat perbandingan dengan versi kerajaan dan seterusnya membuat penilaian sendiri tentang peristiwa 13 Mei 1969.

Versi kerajaan sebagaimana yang biasa kita baca dalam buku teks sekolah menengah menyatakan peristiwa berdarah ini berlaku secara spontan. Kemenangan ramai calon bukan daripada DAP, Gerakan dan PPP serta kekalahan banyak kerusi oleh MCA dan MIC telah menjadi punca kepada peristiwa itu. Mereka yang menang ini (terutamanya DAP) telah melakukan perarakan di ibu kota bagi meraikan kemenangan mereka dan telah melakukan provokasi seperti menyuruh orang Melayu berambus ke hutan-hutan. Sudah pasti orang Melayu begitu terkesan dengan provokasi tersebut dan akhirnya berlakulah pertumpahan darah membabitkan dua kaum yang paling besar di negara ini iaitu Melayu dan Cina.

Namun begitu terdapat pihak-pihak (termasuk penulis buku ini) yang merasakan peristiwa ini merupakan suatu perkara yang sengaja dirancang kerana masakan pergaduhan awal yang berlaku tidak dapat dibendung sebaiknya dan korban sebesar itu sebenarnya tidak munasabah berlaku sekiranya sekadar disebabkan oleh perhimpunan dan provokasi oleh DAP.

Ada yang menyatakan peristiwa ini sengaja dirancang oleh pihak-pihak tertentu yang ingin menggulingkan Tunku Abdul Rahman yang kelihatannya begitu bertolak ansur dengan golongan bukan Melayu. Pihak tertentu tersebut sengaja merancang konspirasi berdarah yang bertujuan melemahkan Tunku dan menaikkan Tun Razak sebagai Perdana Menteri. Tunku sangat terbuka dan kelihatan terlalu berlembut dengan bukan Melayu sehingga menyebabkan pihak ultra-Melayu tidak senang dengannya dan berusaha menjatuhkannya.

Pihak luar melihat peristiwa 13 Mei sengaja dirancang untuk menjatuhkan Tunku dan menaikkan golongan ultra-Melayu yang ingin membentuk Malaysia baru pasca-1969. golongan ini pada akhirnya telah melaksanakan banyak dasar-dasar yang memihak orang Melayu seperti dasar pendidikan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Malaysia dilihat telah mengamalkan diskriminasi kaum dengan meminggirkan kaum-kaum lain dalam pembentukan dasar-dasar tersebut.

Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan sewaktu keadaan darurat yang mana fungsinya telah mengatasi kabinet jemaah menteri dalam mentadbir negara ini dilihat meminggirkan orang bukan Melayu dengan hanya seorang daripada kaum India dan seorang daripada kaum Cina daripada 9 orang ahli MAGERAN. Mereka yang dilihat begitu berkuasa dalam mentadbir negara pada waktu itu ialah Tun Razak, Tun Ismail dan Ghazali Shafie yang mendapat dokongan penuh daripada pihak tentera.

Sekadar itulah ulasannya dan kalau nak tahu lagi lanjut, bacalah sendiri. moga-moga setelah membaca buku ini bertambahlah ilmu kita semua sebagai suatu ilmu yang bermanfaat untuk diri kita dan orang lain, insya Allah.

Monday, March 23, 2009

PPSMI dan kaitannya dengan UIA PJ


Pada kali ini saya berminat untuk mengulas berkenaan PPSMI (pengajaran dan pembelajaran sains matematik dalam bahasa Inggeris). Puluhan ribu rakyat telah turun sewaktu perhimpunan membantah PPSMI di ibu negara 7 Mac lepas. Dianggarkan 70,000 orang. Tetapi saya berfikir, berapa keratkah pelajar UIAM yang menyertai perhimpunan tersebut kerana walaupun isu ini meletup dengan begitu kuat di luar sana tetapi gegaran itu seolah-olah tidak melepasi pagar UIA PJ. Mungkin kerana kawalan ketat pak guard dan mak guard yang setia menunggu untuk memberkas pelajar-pelajar yang melompat pagar.

Pelajar UIA PJ nampaknya seolah-olah lebih suka dengan dasar PPSMI. Kenapa? Kerana kami sekarang belajar menggunakan bahasa Inggeris (BI) sebagai bahasa pengantar. Semua subjek termasuk yang berkaitan dengan agama pun diajar dalam BI. Bahasa Arab pun ada diajar di sini tetapi tidak dimasukkan dalam pointer langsung walaupun belajar 6 jam seminggu. Jadi kami di sini sangat selesa dengan dasar ini disebabkan oleh dasar inilah menyebabkan kami sekarang mudah mempelajari subjek-subjek seperti physics, biology, mathematics dan sebagainya. Kalau tidak mesti sekarang pointer kami hancur. Kalau ada yang membantah pun sekadar mengikut arus. Kerana ramai kawan-kawan di luar yang membantah maka trend tersebut diikuti oleh sesetengah mereka di sini.

Tetapi di sana ada beberapa aspek yang perlu kita pertimbangkan sebelum kita membuat keputusan sama ada menyokong atau membantah PPSMI ini. Saya akan menulis berdasarkan pemahaman saya yang cetek ini sebagai seorang mahasiswa terhadap dasar ini. Bukan sekadar melihat kepada keselesaan diri saya sahaja tetapi juga kepada masyarakat dan negara keseluruhannnya.
Pertamanya perlu kita tahu bahawa gagasan PPSMI ini diumumkan pada tahun 2002 oleh perdana menteri Malaysia ketika itu Tun Mahathir Mohamad. Pada tahun 2003 dasar ini terus dilaksanakan. Di sini saya ingin membawakan beberapa fakta kes untuk renungan kita bersama.

Fakta kes pertama : Tujuan utama kepada perlaksanaan PPSMI ini ialah untuk memperkasakan bahasa Inggeris di kalangan pelajar Malaysia. Maka kedua-dua subjek ini dipilih untuk diajar dalam BI untuk memperkasakan BI dalam kalangan pelajar di Malaysia. Persoalannya mengapakah subjek yang berasaskan pengiraan dan mempunyai banyak terms Sains dipilih. Tidakkah lebih baik diperkasakan pangajaran dan pembelajaran BI itu sendiri? Sebagaimana zaman Anwar Ibrahim yang memperkasakan BI dengan menambah sukatan BI seperti short stories, poems, novels dan sewaktu dengannya.

Fakta kes kedua : Tidak ada sebarang kajian pun yang dibuat sama ada oleh pakar akademik atau mana-mana institusi pengajian atau mana-mana pihak tentang keberkesanan PPSMI. Cetusan idea PM Tun Mahathir pada 2002 terus dilaksanakan pada tahun 2003 tanpa kajian sedangkan dasar ini merupakan suatu perkara yang sangat besar kerana melibatkan kos yang sangat besar dan bilangan pelajar yang menyeluruh.

Fakta kes ketiga : Pada tahun 2003 pakar-pakar bahasa dan ahli-ahli akademik telah membuat bantahan terhadap PPSMI melalui perjumpaan dengan wakil kerajaan di bangunan DBP. Dan selepas itu mereka terus berusaha mengadakan rundingan, perjumpaan dan mengemukakan bukti dan sebab berasaskan kajian yang kukuh kenapa PPSMI tidak patut dilaksanakan. Justeru pernyataan bahawa pejuang bahasa tersebut hanya membuat bantahan setelah 6 tahun perlaksanaan PPSMI merupakan kenyataan yang bohong kerana mereka telah membuat bantahan sejak awal perlaksanaan PPSMI lagi. Apabila bantahan secara diplomasi tidak dilayan walaupun telah dibawa bukti dan kajian-kajian, barulah mereka mengambil langkah yang lebih keras melalui penubuhan Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP).

Fakta kes keempat: Kajian terkini yang dilakukan oleh 53 pejuang bahasa melibatkan 7 universiti awam baru-baru ini merumuskan PPSMI telah membawa keburukan kepada 75% pelajar yang berada dalam kategori sederhana dan lemah. Ini bermaksud hanya 25% pelajar yang kebanyakannya golongan cerdik pandai di bandar yang dapat mengikuti PPSMI ini. Dan jangan kita lupa, 75% tersebut majoriti atau mungkin hampir semuanya itu adalah anak Melayu Islam. Kalau kita mengambil ringan fakta ini buruk padahnya selepas ini. Mungkin komen-komen menyokong PPSMI dalam televisyen dan akhbar datangnya daripada golongan 25% ini. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kajian ini, rujuk http://www.malaysiakini.com/news/100432

Fakta kes kelima: Dasar PPSMI itu sendiri tidak relevan. Terbayangkah kita bagaimanakah kanak-kanak darjah satu yang tidak pun tahu bertutur bahasa Melayu dengan betul apatah lagi kenal akan bahasa Inggeris tiba-tiba dipaksa dan diajarkan kepada mereka dua subjek yang sangat penting ini dalam bahasa yang sangat asing bagi mereka iaitu bahasa Inggeris (mungkin pada waktu ini mereka tidak pernah tahu apa itu BI). Sudahlah BI itu tidak difahami, hendak belajar pula dua subjek lain dalam bahasa tersebut. Pening budak-budak tu.

Fakta kes keenam: PPSMI membunuh minat pelajar-pelajar kepada subjek Sains dan Matematik. Perlu kita akui bahawa subjek BI bukanlah suatu subjek yang diminati melainkan oleh segolongan kecil pelajar sahaja. Bahkan tidak keterlaluan sekiranya saya menyatakan ramai yang membenci BI itu sendiri terutamanya pelajar-pelajar sekolah rendah. Jadi kebencian kepada BI itu akan berjangkit dan membarah menjadi satu penyakit baru iaitu “benci Sains dan Matematik”. Bukan kerana Sains dan Matematik itu dibenci tetapi kerana benci akan BI telah membawa pelajar-pelajar untuk turut membenci kedua-dua subjek tersebut.

Fakta kes ketujuh: Pakar-pakar yang ada sekarang termasuklah pensyarah, doktor, engineer, lawyer, dan sebagainya itu lahir sebelum dasar PPSMI. Mereka tidak dilahirkan melalui PPSMI. Pakar-pakar bedah di IJN yang berjaya melakukan beberapa rekod pembedahan jantung yang menjadi kebanggaan kita semua itu tidak dilahirkan menerusi PPSMI. Mereka semua belajar Sains dan Matematik di sekolah rendah dan sekolah menengah dalam BM. Adakah selama ini negara kita begitu mundur kerana belajar dalam bahasa ibunda?

Fakta kes kelapan: BI cuma menjadi bahasa utama dunia ini dalam jangka masa 100 tahun sebelum ini. Bahasa Arab pernah menjadi bahasa utama dunia. Bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca yang begitu meluas penggunaannya. Bahasa Cina dan India sedang meningkat naik. Bahasa Jepun juga begitu. Bahasa Jerman dan Perancis sebagai bahasa teknologi. Adakah selepas ini, apabila bahasa Jepun contohnya, menjadi bahasa utama dunia, banyak buku-buku berkaitan Sains dan Teknologi diterbitkan dalam bahasa mereka, maka kita turut mengubah dasar PPSMI itu menjadi PPSMJ (Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Jepun). Mana identiti kita? Sedangkan kita punya bahasa sendiri yang digunakan oleh 350 juta orang. Antara 5 bahasa yang paling ramai penuturnya.

Kesimpulannya kita bukan bermusuh dengan BI. Bahkan kita sangat menyokong sekiranya peruntukan yang banyak itu digunakan untuk memperkasakan BI. Tidak ada salahnya. Tetapi kita sangat menentang PPSMI kerana menzalimi ramai di kalangan anak-anak orang Melayu Islam. Sebelum ini, disebabkan bahasa Melayulah ramai dikalangan orang-orang luar bandar, golongan-golongan miskin yang mampu menguasai Sains dan Matematik dan seterusnya menjadi orang yang berjaya pada hari ini. Tetapi sekarang peluang itu hendak disekat. Kalau nak diukur melalui keputusan UPSR, PMR dan SPM yang meningkat saban tahun, janganlah kita jadi bodoh. Semua orang tahu graf telah direndahkan sehinggakan pelajar yang gagal semasa ujian percubaan akhirnya lulus dengan cemerlang pada peperiksaan sebenar. Akhirnya kita gembira dengan kebodohan kita kerana menyangka kita telah pandai.

Kalau nak dikatakan banyak buku-buku dalam BI, maka kita tanya balik, apa fungsi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)? Tidakkah antara kerja utama mereka ialah menterjemahkan buku lantas dijadikan buku teks di sekolah-sekolah. BI menjadi begitu gagah kerana mereka menterjemahkan banyak buku-buku terutamanya daripada dunia Islam ke dalam bahasa mereka. Lalu ilmu itu dipandang sebagai ilmu mereka walhal ilmu itu datangnya daripada umat Islam. Baru-baru ini saya ternampak kamus lama yang menterjemahkan terms Sains dan Teknologi dalam BI ke BM. Terfikir dalam kepala saya, betapa tidak bergunanya DBP sekarang. Kalau terjemah pun sekarang ini pun mesti tak ada orang yang nak baca.

Kepada pelajar UIA PJ, berfikirlah di luar kotak. Melihat kepada keselesaan diri kita tanpa melihat apa yang akan berlaku 30, 40 tahun akan datang merupakan perkara yang bodoh. Jangan lupa, generasi terakhir Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu (batch saya la tu) telah melahirkan seorang student yang dapat 4.00..yang belajar dalam BI dulu pun ada yang repeat. Wallahua’lam

Tuesday, March 17, 2009

my beloved 1st post


Alhamdulillah..baru-baru ini saya baru sahaja menghabiskan buku Fiqh Harakah 3. Akhirnya tamatlah sudah pembacaan buku-buku sirah yang panjang dan selepas ini boleh lah saya cuba untuk membaca buku-buku lain pula. Sebenarnya sebelum ini saya dah mengkhatamkan buku Fiqh Sirah dan saya mendapati satu kelainan yang sangat ketara antara kedua-dua jenis buku ini. Fiqh Sirah karangan Said Ramadan Al-Buti lebih banyak menceritakan tentang pengajaran-pengajaran dan hukum-hukum fiqh yang didapati sepanjang perjalanan sirah Nabi. Cuma sedikit sahaja diceritakan tentang sirah itu sendiri. Sedikit memeningkan bila mana buku ini diterjemahkan daripada bahasa Arab maka sebagai orang Melayu totok (asli), agak payah untuk memahami struktur ayat terjemahan tersebut. Pengajaran dan hukum fiqh yang dibincangkan pula agak tinggi tahapnya.

Fiqh Harakah karangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi pula banyak menceritakan tentang sirah secara detail daripada satu peristiwa kepada peristiwa yang lain. Cuma sedikit sahaja huraian yang dibuat daripada penceritaan sirah tersebut. Bahasanya pula mudah difahami kerana dikarang oleh orang Melayu yang berasal dari Marang, Terengganu (30 minit perjalanan naik kereta dari kampung aku). Perbincangan fiqh pula hanya terdapat di beberapa tempat sahaja dan huraiannya pula lebih bersifat haraki.

Em…itulah sedikit pendapatan saya setelah membaca kedua-dua buku ini. Moga-moga ilmu yang didapati melalui pembacaan ini terus terlekat dalam kepala sebagai satu ilmu yang bermanfaat untuk diri sendiri dan orang lain.