Sunday, November 8, 2009

0comments

Mengenang Pejuang-pejuang Terdahulu


Alhamdulillah bermula daripada tahun 1957 sehinggalah sekarang, sudah lebih lebih 52 tahun negara kita Malaysia dan kita sebagai rakyatnya mengecap nikmat kemerdekaan. Suatu nikmat yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata dan tidak dapat digambarkan dengan tulisan. Namun jangan kita lupa sebenarnya tempoh 52 tahun ini sebenarnya masih jauh untuk dibandingkan dengan tempoh Negara kita dijajah. Jangan dlupa akan fakta yang negara kita sebenarnya telah dijajah selama 446 tahun.

Bermula dengan Portugis yang menjajah Melaka pada tahun 24 Julai 1511 dan telah mendudukinya selama 130 tahun, disusuli kemudiannya oleh Belanda, British dan Jepun. Untuk rekod, British merupakan penjajah paling lama bertapak di negara kita bermula pada 1824 sebelum diserahkan kembali kepada anak watannya untuk menjalankan pemerintahan sendiri pada 31 Ogos 1957.

Panjang sekiranya kalau saya hendak menulis berkenaan sejarah yang berusia ratusan tahun ini sebenarnya. Namun satu fakta yang tidak boleh dinafikan oleh semua pihak ialah ulama’ merupakan antara faktor yang paling penting dalam menyemarakkan semangat membebaskan diri daripada belenggu penjajahan.

Sebahagian ulama ini telah menjadi korban penjajah samada syahid ditali gantung seperti Umar Mukhtar atau dipaksa mendekam dipenjara tanpa pembicaraan seperti Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, juga dibuang negeri seperti Imam Diponegoro, Uthman Den Fodio, Haji Abdul Rahman Limbong. Selain itu, ulama lainnya pula yang turut berjuang menentang penjajah dan yang ada kaitannya dengan kemerdekaan negara ialah Tokku Paloh, Sheikh Abdullah Fahim, Haji Sulong al-Fatani, Imam Bonjol dan lainnya lagi.


Jika kita menggali semula penulisan-penulisan sejarah, kita akan mendapati fakta sejarah yang tidak ditulis dengan telus. Terutama sekali buku-buku sejarah di sekolah-sekolah. Nama-nama ulama’ yang memperjuangkan kemerdekaan seperti Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Tuan Guru Haji Hassan bin Munas (Tok Janggut) di Kelantan, Tuan Guru Haji Musa Minangkabau, Adipati Yunus di Melaka, dan Sheikh Abdul Samad al-Falimbani tidak ditonjolkan.

Suatu fakta yang tidak boleh dinafikan ialah fakta dimana Gerakan Islam turut berperanan di dalam memberikan sumbangan kepada kemerdekaan Negara. Jika diselak di dalam buku-buku sejarah kita akan berjumpa dengan nama seperti Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Dr Burhanuddin Al Helmy, Prof Zulkifli Muhammad dan Ahmad Boestamam.

Perjuangan kemerdekaan yang bermula awal kurun ke 20 pada peringkat awalnya dipelopori oleh golongan berpendidikan agama/ Arab. Mereka menyebarkan idea reformasi dari Timur Tengah ke Tanah Melayu. Golongan ini dikenali sebagai Kaum Muda. Tokoh utama ialah Syed Sheikh Al- Hadi, Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin, Haji Abbas Muhammad Taha. Mendapat pendidikan di Timur Tengah. Menjadi pelopor kepada gerakan pemulihan Islam iaitu pengamalan ajaran Islam sebenar.

Kaedah perjuangan yang dilakukan oleh Kaum Muda yang dilakukan secara langsung ialah melalui media seperti majalah dan surat khabar cth Al-Iman, Neracha, Idaran Zaman, Saudara dan juga melalui cerpen dan novel spt Hikayat Faridah Hanum, Hikayat Nurul Ain. Manakala yang dilakukan secara tidak langsung pula melalui madrasah yang dibina bagi mengajar ilmu dunia dan agama dan idea ini diterap dalam pengajaran.
Begitulah sedikit sebanyak coretan sejarah berkenaan perjuangan kemerdekaan.

Kebanyakannya saya rujuk melalui buku ”ulama dalam sorotan perjuangan kemerdekaan” karangan Ridhuan Mohamad Nor & Mohd Fadli Ghani. Sebenarnya panjang lagi kalau kita nak bicarakan soal ini. Belum lagi kita menyentuh apa yang berlaku dalam lingkungan 12 tahun sebelum kemerdekaan yang membawa kepada penubuhan UMNO pada 1946 dan PAS pada 1951 yang kemudiannya menjadi pemain utama dalam gelanggang politik sekarang ini.

Apa-apapun, sumbangan pejuang-pejuang kemerdekaan tidak dapat kita nafikan akan besarnya pengorbanan mereka. Mudah-mudahan Allah merahmati mereka. Al-Fatihah

Sunday, November 1, 2009

0comments

Mendekati PTPTN - Sahabat Baik Kepada Student


Sebagai student, kewangan memberi kesan yang sangat besar dalam kehidupan kita. Maka tidak hairanlah ramai yang berlumba-lumba belajar bersungguh-sungguh semenjak sekolah menengah lagi bagi mendapatkan keputusan cemerlang dalam SPM dan seterusnya berjaya mendapatkan biasiswa. Begitu juga dengan mereka yang berada di matrikulasi, CGPA yang tinggi menjadi penentu sama ada badan-badan seperti JPA, MARA, Bank Negara dan sebagainya akan membiayai pembelajaran mereka ataupun tidak.

Namun begitu, ada bilangan tertentu yang diperuntukkan oleh badan-badan tersebut dan pasti ada yang gagal memperolehi biasiswa walaupun mereka sangat memerlukan. Jadi mereka terpaksa beralih kepada pilihan yang lain dan meminjam dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merupakan antara pilihan yang popular.
Menurut laman web Malaysiakini (13 Ogos 2008), Kira-kira 1.04 juta pelajar siswazah (diploma dan sarjana muda) dan bagi 2,473 orang pula pasca siswazah (sarjana dan doktor falsafah) bergantung pada PTPTN.

PTPTN sebelum ini mengenakan caj tiga peratus bagi penuntut peringkat siswazah, manakala lima peratus kepada pasca siswazah sebagai kos perkhidmatan tetapi telah menurunkannya kepada satu peratus bermula Jun 2008. Kos perkhidmatan inilah yang senantiasa menjadi isu yang senantiasa evergreen kepada peminjam PTPTN kerana mereka terpaksa membayar lebih banyak berbanding dengan pinjaman yang mereka lakukan.

Namun lebih penting untuk kita melihat pandangan syara’ berkenaan hal ini. Adakah caj perkhidmatan ini merupakan riba ataupun tidak. Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman yang merupakan penasihat syari’ah kepada bak-bank dan syarikat-syarikat yang banyak telah menulis dalam webnya ”Dari sudut Shariah, 3 % yang diletakkan sebagai kos perkhidmatan itu adalah dianggap sebagai Riba” dan “perlu kita fahami bahawa sebarang kos perkhidmatan dan pengurusan yang diletakkan seperti 2 %, 3 % atau 4 % dari jumlah pinjaman dengan hujjah bahawa ianya adalah kos pengurusan adalah tidak boleh diterima sama sekali. Ini adalah bentuk yang dilakukan oleh PTPTN dan lain-lain institusi yang melakukannya”

Majlis Penasihat Shariah Dunia di AAOIFI menyebut " It is not permitted to link the charge to the amount withdrawn (given)" ( Shariah Standard, no 10/3/2, hlm 338). sepatutnya sesiapa sahaja yang meminjam, tanpa mengira berapa pun jumlah pinjaman mereka maka akan dikenakan satu jumlah kos sebenar pengurusan yang tetap dan tepat (sebagai contoh) RM 500.

Maka kesimpulan yang boleh dibuat ialah sepatutnya pembayaran pinjaman oleh peminjam PTPTN mestilah sama jumlahnya dengan jumlah pinjaman yang dilakukan. Kos perkhidmatan yang dikenakan sepatutnya bersifat tetap dan tidak berubah walau sebanyak manapun jumlah pinjaman yang dilakukan. Semoga dengan tulisan ini dapat membantu kita memahami isu PTPTN ini dengan jelas, insya Allah.

Saturday, October 31, 2009

4comments

“Menghayati nasihat penulis produktif”


Membaca tulisan saudara azamin ali bertajuk “Menghayati nasihat penulis produktif” dalam HarakahDaily.net yang menceritakan berkenaan penulis prolifik yang memang tidak asing lagi bagi mereka yang gemar membaca analisis berkenaan dengan hal-hal semasa iaitu Subky Latif agak membawa kesan kepada saya yang sudah tidak mengupdate blog selama 3 bulan.

Subky memetik kata-kata oleh seorang penulis India yang mencebiskan kata-kata semangat kepada beliau untuk terus menulis tanpa henti, "By mearly wishing to be a writer you do not become once but by writing everyday you will and can become a good writer (Sekadar hajat nak menulis belum boleh menjadi penulis tetapi jika menulis setiap hari anda akan menjadi penulis yang baik)."

Saya berfikir panjang berkenaan betapa pantasnya dunia ini bergerak terutamanya alam siber yang semuanya berada di hujung jari. Kalaulah dahulu kita selalu mendengar pepatah “mata pena lebih tajam berbanding mata pedang”, maka sekarang ini lebih relevan dikatakan “keyboard lebih dahsyat dibandingkan dengan F-117 Nighthawk (pesawat rahsia yang digunakan oleh US Air Force)”

Sumber daripada "Telekomunikasi Negara Terus Mengorak Langkah " oleh Sofia Mohamad Zaid dalam Dewan Ekonomi Mei 2009 menyatakan “Pengguna Internet di Malaysia mencatatkan sebanyak 3.7 juta pengguna (Rancangan Malaysia Ke-8) dan dijangka akan bertambah sebanyak 10 juta pengguna lagi menjelang tahun 2010 dalam pelan Rancangan Malaysia Ke-9” menunjukkan betapa luasnya penjajahan internet kepada pemikiran rakyat Malaysia dengan sebahagian besarnya menggunakan internet untuk pencarian maklumat.

Sebab itulah sesuatu tulisan walaupun oleh penulis blog picisan yang tidak diketahui identiti mereka yang berselindung dengan nama seperti “penembak tepat, perisik rakyat dan sebagainya” boleh membawa kesan yang cukup besar dalam masyarakat tambahan pula dengan sikap manusia yang sangat berminat dengan isu-isu sensasi dan panas berbanding dengan persoalan ilmiah yang lebih bermanfaat kepada diri mereka dan masyarakat.

Kesimpulannya mudah sahaja, saya ingin kembali menulis.

Tuesday, July 21, 2009

0comments

Menilai polisi ganas China terhadap wilayah Xinjiang


kali ni saya berminat untuk mengulas apa yang berlaku pada saudara seIslam kita di Xinjiang yang telah dizalimi semenjak tahun 1949.namun kerana kekurangan ilmu dan terlalu banyak fakta yang perlu dirujuk untuk menulis berkenaan hal ini,tidaklah termampu untuk saya menulisnya.tapi untuk perkongsian, saya bawakan satu artikel yang cukup menarik daripada blog Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), sebuah NGO yang cukup aktif memperjuangkan isu hak-hak asasi dan isu-isu semasa dalam dan luar negara.

Oleh : Muhammad Nuruddin Bashah ( Setiausaha Teras Caw Perak)

Menilai rusuhan antara kaum di wilayah Xinjiang yang berlau baru-baru ini bukan sekadar melihat aspek pertembungan etnik dan kekejaman tangkapan yang dibuat, tetapi menilai satu bentuk penjajahan yang terancang pada tahun 1949 serta melihat secara terperinci agenda demi agenda yang dilakukan oleh pihak China untuk merosakkan struktur masyarakat di wilayah itu dari aspek sosiologi, antropologi dan geopolitik.

6 Julai 2009 menyaksikan hampir 200 rakyat Uygur (bangsa Turkistan Islam) mati ditembak secara rambang oleh polis China apabila rusuhan kaum Uygur berlaku di Urumqi (Ibu negeri Xinjiang). Rusuhan ini berlaku akibat pertembungan etnik Uygur dan Han yang telah lama berlaku. Perlu diketahui, Uygur telah dijajah bermula 1949 serta dipaksa menganut komunis serta meninggalkan Islam. Sesiapa yang didapati bersolat akan dikupas kulit kepala, dikupas tapak kaki, dicabut kepala dan kaki menggunakan trak, diseksa di penjara tanpa diberi mandi dan melihat cahaya selama 1-2 tahun, dimasukkan bom pada kemaluan perempuan berdasarkan pengarang kisah sebenar kekejaman China dalam novel Weil China yang telah diterbitkan oleh PMRAM.

Jika diteliti dalam web-web kerajaan China dan pro China, Xinjiang dikatakan telah berada dalam wilayah China sejak dinasti silam dengan mengenepikan etnik Kazaks dan Uygur sebagai salah satu pencetus ketamadunan Turki pada era Abbasiyyah dan Utmaniyyah. Mereka mendakwa dasar liberal China pada era 1980an telah menjadikan bangsa Uygur ‘naik kepala’ serta mula ingin mengeluarkan wilayah tersebut dari China.

Cendiakawan China juga berpendapat bahawa kehadiran idea Pan-Turki atau Pan Islam oleh Khalifah Utmaniyyah telah menyemarakkan semangat bangsa Uygur untuk bangun menentang ‘kerajaan’ mereka iaitu komunis China.

Menurut tesis Master of Arts in Law and Diplomacyyang disediakan oleh Nancy Eranosian pada 21 Julai 2005, Bangsa Cgina Han telah menjadi semakin dominan di Republik Rakyat China dan bilangan mereka semakin bertambang serta menguasai etnik Uyghur yang kemudiannya menjadi minoriti. Bangsa Han memiliki kuasa di China serta melaksanakan pentadbiran di peringkat nasional mahupun di peringkat wilayah-wilayah termasuk di Xinjiang atau lebih baik sahaja disebut sebagai Turkistan Timur. Jawatan terbesar di Xinjiang ini adalah Setiausaha XUAR Parti Komunis China yang selalunya berbangsa Han. Penjajahan sosial berlaku lebih teruk apabila bahasa Mandarin diguna secara total di semua sekolah rakyat Uygur serta dinafikan bahasa asal Uygur. Dasar ini berasaskan satu matlamat iaitu menghakis nilai Islam dalam jiwa anak muda Uygur. Buku literasi berbahasa Uygur yang membawa nilai kebangsaan Islam serta nilai agama dibakar besar-besaran pada tahun 2002. Negara jiran China digesa agar membantu Chiana membasmi pejuang pemisah Xinjiang. Media massa saban hari melabelkan bangsa Uygur sebagai bangsa mundur, pemalas dan ganas. Hal inilah yang menimbulkan ketegangan di kalangan rakyat malah diskriminasi bantuan kerajaan berlaku secara berleluasa.

Populasi Xinjiang adalah sekitar 18.5 juta (data tahun 2000). Uygur adalah pribumi asal sebanyak 446.5% populasi manakala Han adalah sebanyak 38.7%. manakala kaum minoriti lain adalah seperti Kazakh, Rusia, Hui (China islam), Mangolia, Uzbek, Tatar, Manchu, Daur dan Xibe.

Sebelum tahun 1949, populasi Uygur adalah sebanyak 75% dan bilangan ini semakin berkurangan akibat polisi China untuk membawa etnik Han menduduki wilayah itu serta mencetuskan kejutan budaya, pertembungan norma sekaligus menghilangkan tradisi Islam di wilayah muslim tersebut.

Polisi China dengan satu kerja komprehensif untuk mensekularkan Uygur, menghapuskan Islam terserlah. Malah China kononnya cuba mengikuti kempen anti pengganas Bush apabila menahan 1300 penduduk Xinjiang menjelang Sukan Olimpik China pada taun 2008. Menurut Procuratorial Daily, tangkapan ‘rahsia’ pihak China adalah bertujuan menjaga keamanan. Siksaan dan deraan yang dilakukan oleh polis China jarang sekali dihebahkan kerana komunis memiliki 1001 cara penyeksaan yang tidak masuk di akal manusia.

Jika dahulu penindasan terhadap etnik ini atas dasar menghapuskan Islam dan mengkomuniskan semua rakyat, hari ini China telah jauh melaksanakan dasar liberalisasi ekonominya seiring kempen Amerika Syarikat sekaligus memerangi ‘pengganas’ sepertimana yang diajar oleh barat. China kini mengalami perkembangan ekonomi terbaik dunia, justeru perlu menghilang semua ketegangan dalamnnya termasuk isu Uygur ini demi menjadi jaguh ekonomi dunia. Di saat Amerika mengalami kejatuhan ekonomi serta kemuflisan beberapa syarikat automotifnya, China kini mengalami kenaikan 36.5% serta diramal oleh pihak Deutsche Bank bakal memegang ekonomi dunia menjelang 2015. Menurut Berita Harian 10 Julai 2009, China bakal mengambil alih Amerika Syarikat dalam perusahaan automobil serta akan terus berkembang. Tidak hairan, polisi China dalam menghadapi golongan pemisah dan kaum minoriti terutama Islam adalah sama sahaja dengan polisi Amerika Syarikat.

Muhammad Nuruddin Bashah

Jurutera Metallurgis

Sunday, July 19, 2009

0comments

Antara Stadium Runtuh Dan Pusat Akuatik Yang Ditutup


Bermulanya cuti mid sem selama seminggu insya Allah mungkin akan memberikan saya lebih banyak masa untuk menulis setelah sebulan menjadikan kerja mengupdate blog sebagai aktiviti pilihan terakhir dek kerana menyelesaikan komitmen lain. Banyak tajuk-tajuk yang senantiasa bermain di fikiran untuk saya berikan pandangan dalam blog ini.

Bpabila pulang ke negeri Terengganu kepala saya terlintas kepada peristiwa robohnya bumbung stadium sultan mizan zainal abidin dan penutupan pusat akuatik batu burok, kedua-duanya terletak di daerah kuala Terengganu dan dijadikan venue bagi sukan Malaysia 2008. Kos pembinaan stadium dianggarkan bernilai RM282 juta, berkapasiti 50,000 tempat duduk dan turut memuatkan gelanggang tertutup untuk prasarana bowling dan skuasy. Pusat akuatik yang sebelumnya merupakan kolam renang awam batu burok pula dinaiktaraf dengan kos RM18 juta.

Apa yang menjadi persoalan kepada banyak pihak ialah kenapa projek mega ini yang menelan kos yang begitu besar telah mengalami berbagai-bagai masalah sehingga mengakibatkan keruntuhan/ditutup setelah hanya lebih kurang setahun digunakan. Tidak diketahui adakah wujudnya sebarang penyelewengan dalam perlaksanaan projek ini tetapi yang pasti satu kezaliman yang sangat teruk telah dilakukan oleh mereka yang telah menggula-gulakan rakyat dengan projek mega ini untuk mendapatkan sokongan dalam pilihan raya umum ke12.

Bagi mereka yang tinggal di Terengganu pastinya melihat pacakan papan-papan tanda yang bertulis “"Nak stadium? Impian Kini Menjadi Realiti!" begitulah lebih kurang bait tertulis di atasnya. Pada papan tanda yang lain pula tertulis "Nak universiti? Nak lebuh raya? Nak lapangan terbang?" dengan gambar bayi yang terkapai-kapai seolah-olah menginginkan pembangunan tersebut. Papan-papan tanda inilah yang memasyhurkan projek mega tersebut.

Terengganu sebenarnya agak popular dengan istilah runtuh dan setelah berlakunya beberapa kes runtuh sebelum ini yang melibatkan antaranya makmal komputer dan bumbung sekolah, runtuhan stadium dan penutupan pusat akuatik tidaklah menghairankan sangat. Apa-apa pun, kita mengalu-alukan tindakan menteri besar terengganu yang mengumumkan penubuhan badan badan perunding bebas dari luar negara yang berkaliber dan berkemampuan bagi mengenalpasti punca keruntuhan stadium dan bersedia bekerjasama dengan sprm bagi menyiasat sama ada wujudnya sebarang penyelewengan dalam pembinaan stadium tersebut. Kita menunggu hasil penyiasatan dan diharapkan kes seperti ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan. Insya Allah..

Friday, July 10, 2009

2comments

Suara Rakyat Disahut: PPSMI Dimansuhkan!!!


8hb jun 2009, pukul 1.30 petang, saya membuka laman web malaysiakini dan membaca tajuk besar edisi bahasa melayu “mungkinkah ppsmi dimansuhkan?”. Isinya menyatakan satu jam lagi timb perdana menteri akan mengumumkan keputusan kabinet sama ada meneruskan ppsmi atau sebaliknya. Saya tertunggu-tunggu keputusan tersebut dan beberapa kali reload malaysiakini bagi melihat update terbaru. Sehingga 3 petang, masih belum ada khabar berita sehinggalah seorang sahabat datang dan memberitahu dpm baru sahaja selesai mengadakan sidang media mengumumkan pemansuhan berperingkat ppsmi sehingga 2012.

Melihatkan reaksi sahabat-sahabat lain yang tidak berapa kisah sama ada dasar ini diteruskan atau tidak sebenarnya langsung tidak memeranjatkan. Tetapi saya masih berpegang dengan keputusan kajian pakar-pakar akademik yang merumuskan ppsmi meningkatkan penguasaan bi sebanyak 4% sahaja (tujuan ppsmi dilaksanakan untuk meningkatkan penguasaan bi dalam kalangan pelajar) tetapi membunuh minat pelajar untuk meminati subjek sains dan matematik. Dan dasar ini merugikan 75% pelajar terutamanya luar Bandar yang berada dalam kategori sederhana dan lemah.

Diumumkan juga beberapa fakta yang sebelum ini gelap dan sengaja digelapkan iaitu guru-guru hanya menggunakan 50-58% sahaja masa yang mereka ini mengajar dalam bi. Selebihnya dalam bahasa ibunda atau rojak. Juga dijelaskan jurang keputusan peperiksaan antara pelajar Bandar dan luar Bandar dalam kedua-dua subjek ini semakin melebar sejak dasar ini dilaksanakan sejak 6 tahun yang lalu.

Itu belum lagi kita lihat dalam media alternative yang mana disiarkan luahan rasa guru yang menceritakan kesukaran melaksanakan dasar ini. Salah satunya saya terbaca dalam akhbar alternatif tentang kisah seorang guru dari rawang.Luahan sebegini tidak pernah disiarkan dalam media arus perdana. Apa yang disiarkan ialah keputusan peperiksaan awam yang senantiasa meningkat saban tahun dan seterusnya dibuat kesimpulan bahawa dasar ini mencapai kejayaan.

Apa yang menarik sebelum kerajaan memutuskan untuk memansuhkan dasar ini ialah kerajaan berjumpa dengan dato seri dr Mahathir untuk memberikan taklimat kepadanya tentang hasil kajian dan kelemahan dasar ini. Dan setakat ini respon dr Mahathir begitu negative sekali terhadap pemansuhan ini. Beliau melenting dan menyatakan majority berada di belakangnya. Sekarang beliau sedang membuat pungutan suara dalam blognya dan menyatakan beliau akan menyerahkan hasil pungutan suara ini kepada kerajaan.

Satu lagi persoalan ialah kerajaan mengambil masa 3 tahun untuk memansuhkan dasar ini sepenuhnya sedangkan dahulu kerajaan melaksanakan dasar ini 6 bulan sahaja tanpa sebarang kajian yang dilakukan.hemm..namun demikian, kita menghargai pemansuhan ini dan mengucapkan tahniah kepada kerajaan terutamanya tpm, tan sri muhyiddin yang menyatakan apakah maknanya pemansuhan ini untuk mendapat kepentingan politik di manik urai berbanding dengan masa depan anak-anak kita..syabas tpm!!!

Friday, July 3, 2009

0comments

Negaraku Penuh Dengan Rasuah


Saya tinggal dalam sebuah negara yang aman, makmur dan sejahtera. Rakyat pelbagai kaum hidup dalam keadaan yang aman walaupun kadang-kadang berkocak dengan isu-isu perkauman yang merupakan bom jangka yang mungkin meletup pada bila-bila masa tetapi sekurang-kurangnya pada permukaannya kehidupan berbagai kaum di Malaysia boleh dikatakan sangat cemerlang dengan setiap kaum dapat menerima dan hidup bersama kaum yang lain.

Tetapi ada satu kekesalan dalam hati ini bila mana reputasi dan nama negara Malaysia telah tercalar teruk dan menjadi terlalu busuk dek kerana najis rasuah yang membarah dalam masyarakat. Dan lebih malang lagi, gejala haram ini seolah-olah diterima sebagai suatu perkara yang normal. Istilah komisyen, duit kopi, politik wang dan berbagai-bagai istilah lagi menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia cuba mengharumkan bau busuk rasuah berbanding dengan memanggil sendiri gejala tersebut dengan nama rasuah.

Apabila diselak bahagian iklan dalam akhbar harian, akan sentiasa ada tawaran tender daripada kerajaan melalui jabatan kerja raya (jkr). saya yakin pemikiran semua orang pasti sama dengan pemikiran saya bahawa tender yang ditawar secara terbuka itu sekadar memenuhi syarat pengiklanan sahaja sedangkan sudah ditetapkan syarikat apa yang akan memenangi tender tersebut.

Peruntukan RM200 bilion dalam rancangan Malaysia ke9 memberi gambaran kekuatan ekonomi Malaysia yang mempunyai hasil mahsul dan rezab yang melimpah ruah tetapi berapa bilionkah yang sampai ke tangan mereka yang benar-benar memerlukan. Atau setelah melalui beberapa peringkat (birokrasi), sebahagian besar habis disapu di tengah jalan.

Wikipedia melaporkan dari segi indeks persepsi rasuah (CPI) yang dinyatakan oleh transparency international, Malaysia berada di tempat ke-23 pada 1995 tetapi merosot ke kedudukan 36 pada 2001, ke-33 pada 2002, 37 (2003), 39 (2004), 39 (2005), 44 (2005) dan 43 pada 2007.

Indeks persepsi rasuah Malaysia tahun 2008 kekal di paras 5.1, sama seperti tahun 2007, tetapi di kedudukan 47. Denmark, new Zealand, dan Sweden berkongsi mata tertinggi iaitu 9.3, diikuti singapura dengan 9.2 mata. Somalia pula mencatatkan mata yang paling rendah iaitu 1.0, manakala Iraq dan Myanmar mencatat 1.3 mata dan Haiti 1.4 mata.

Indeks persepsi rasuah inilah yang menjadi ukuran kepada pelabur asing untuk membuat keputusan sama ada datang melabur ke sesebuah negara ataupun tidak. Teruknya negara tersebut dalam persepsi rasuah bermaksud dalam fikiran mereka banyaklah birokrasi dan banyaklah peringkat komisyen yang terpaksa mereka lalu. Walaupun pemimpin negara kita menyatakan itu sekadar persepsi dan bukannya ukuran sebenar tetapi persepsi memainkan peranan sangat penting dalam menentukan tindakan manusia terhadap subjek yang dipersepsikan oleh mereka.

Bidang kejuruteraan dan kepolisan menerima kesan yang sangat buruk akibat persepsi ini. Pernah saya mendengar cemuhan orang ramai apabila melihat polis trafik yang meronda “haa…polis tu nak pegi cari rasuah la tu”. Dan harga mereka begitu murah kerana dikatakan dapat melepaskan seseorang daripada disaman hanya dengan menghulurkan RM50 sahaja. Jurutera sebagaimana yang kita bincangkan tadi, pastinya perlu membayar komisyen kepada pihak-pihak tertentu dalam kerajaan atau swasta untuk mendapatkan projek.

Itu belum dibincangkan lagi tahap penguatkuasaan oleh suruhanjaya pencegahan rasuah Malaysia (sprm) yang baru sahaja dinaikkan taraf kepada sebuah suruhanjaya daripada sekadar menjadi sebuah badan pencegah rasuah (bpr). Pada awalnya kita berharap sprm lebih bertaring dalam menangkap perasuah terutamanya jerung-jerung besar tetapi setelah hampir setengah tahun ditubuhkan, tiada apa-apa perubahan. Mungkin taringnya belum tumbuh dan perlu diasah menggunakan pengasah kuku. Hem… sprm sama sahaja dengan suruhanjaya hak asasi manusia dan suruhanjaya pilihan raya.

Ok, selesai apa yang terbuku dalam kepala setelah dua minggu tidak menulis.