Saturday, November 6, 2010

Analisa PRK Galas dan Batu Sapi Dari Bilik Cadaver




Assalamualaikum WBT

Kekalahan Pakatan Rakyat (PR) dalam dua pilihan raya kecil yang terbaru iaitu DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi sebenarnya bukanlah satu berita buruk kepada PR. Bahkan keduanya merupakan petanda baik supaya tidak terlalu selesa dalam menuju ke Putrajaya. Kalau sebelum ini, parti komponen PR kelihatannya terlalu yakin yang rakyat berada di samping mereka. Sekurang-kurangnya kekalahan ini boleh mengejutkan mereka yang masih diawang-awangan dek kerana kemenangan hasil undi protes pada PRU 2008.

Kegembiraan kemenangan PRK Sibu beberapa bulan sebelum ini bukanlah gambaran kepada kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan diadakan. Sibu adalah kawasan Bandar yang majoriti pengundinya adalah Cina yang terikut-ikut mood di semenanjung. Mereka bukannya mewakili majoriti rakyat Sarawak yang rata-ratanya masih menganggap BN sebagai ‘tuan’ mereka yang tidak boleh diderhakai.

PKR pula nampaknya belum lagi habis berebut-rebut ‘ghanimah’ walaupun setelah 2 tahun menang besar. Mereka sibuk merebut kuasa dalam pemilihan parti yang jikalau mereka memenangi jawatan di peringkat cabang (kawasan/bahagian), bolehlah mereka mendapat habuan projek di negeri yang diperintah PR. Mereka bukannya ambil kira sangat tentang parti mereka. Buktinya perbezaan keluar mengundi antara pemilihan cabang untuk mereka merebut kuasa jauh lebih tinggi berbanding pemilihan nasional untuk memilih kepimpinan di peringkat nasional.

PAS juga turut ada golongan yang mula mendekati parti itu setelah melihat kemenangan yang makin dekat namun kerana asasnya yang kukuh untuk mendaulatkan Islam dilihat masih lagi mengekalkan parti itu kepada identiti asalnya. Melihatkan kepada makin ramainya mereka yang ‘kelabu mata’ inilah Dewan Pemudanya mengambil usaha untuk menganjurkan Ijtima’ Tarbawi baru-baru ini bagi mengembalikan pengharapan kemenangan itu hanya kepada Allah.

Sebenarnya kekalahan di Galas boleh kita katakan sebagai special case kerana pengaruh Tengku Razaleigh yang terlalu kuat di situ sehinggakan orang asli ‘malu alah’ kalau bertentang mata dengan Ku Li. Pengaruh yang terlalu kuat itulah yang menyebabkan PAS nampaknya berlainan ‘keghairahannya’ berbanding PRK sebeelum-sebelum ini. Tiba-tiba saja PAS telah menjadi parti yang sangat sopan dan lemah-lembut seolah-olah sedang bermain perlawanan persahabatan bola sepak.

Di Batu Sapi pula gelombang simpati kepada Datin Linda Tsen, yang cuba mengekalkan kerusi mendiang suaminya tidak mampu disainginya oleh calon PKR, Ansari Abdullah walaupun beliau dua kali jatuh laut dek kerana melalui jeti dan titian reput. Mungkin juga BN ingin mencuba formula Anwar yang berjaya mengekalkan kerusinya sebanyak tiga kali PRU walaupun beliau di dalam penjara pada waktu itu.

Walaubagaimanapun, yang perlu dibimbangi ialah majoriti kemenangan BN yang terlalu tinggi yang pastinya menyebabkan ayam yang sedang mengeram pun melompat dek kerana terkejut. Mungkin inilah juga factor kenapa Dato’ Seri Najib tiba-tiba sakit perut. Majoriti 6,359 di Batu Sapi dan 1,190 di Galas adalah di luar jangkaan sebenarnya.

Namun jangan kita tiada siapa yang dapat meneka apa yang berlaku pada PRU 2008 setelah PRK Pengkalan Pasir pada 2005 dan Ijok pada 2007 yang menyaksikan BN menang besar. Siapa tahu apa yang akan berlaku pada 2013@2012@2011? Yang penting biarlah pengharapan itu hanya pada Allah.Wallahua'lam

2 comments:

Naseh Ulwan on November 7, 2010 at 8:58 PM said...

Menarik sekali analisanya!
Saya harap pengharapan kita hanya kepada ALLAH!
Kalah dan menang bukan alasan dalam berjuang!
Menang tidak sombong, kalah tidak kecewa.
Tajuk penggulungan TGH di muktamar yang lepas, "Ke Putrajaya insya-ALLAH, mendokong kemenangan!"

Anonymous said...

SALAM..

ingin menanyakan pendapat,

terbaca satu artikel, ada wakil PAS semasa PRK Galas dalam kempennya menyatakan,

"sesiapa yg menerima bantuan dari kerajaan negeri, tetapi menyokong UMNO, haram hukumnya". minta komen..