Saturday, October 30, 2010

Menara Warisan 5 bilion dan Hub Hiburan Malam


Assalamualaikum WBT

Lebih kurang seminggu tidak mengupdate blog tatkala banyak perkara besar yang berlaku termasuklah penamaan calon pilihan raya kecil Batu Sapi dan Galas. Dan belum diulas lagi berkenaan bajet 2011 dan Economic Transformation Plan (ETP) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

Saya sebenarnya sekadar ingin menumpukan kepada Belanjawan 2011 dan ETP sahaja kerana kedua-dua ini memberi kesan yang sangat besar kepada sosio ekonomi negara ini. Dan pastinya semua sudah muak mendengarkan berita pilihan raya kecil yang entah keberapa belas kali sudah setelah pilihan raya umum ke-12.

Dan setiap PRK sebenarnya menelan belanja yang cukup besar dan elok sebenarnya kita renung kembali cadangan Naib Presiden PAS, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man yang mencadangkan tiadalah diadakan PRK. Sekadar menyerahkan kepada parti yang telah menang sebelum itu untuk menentukan pengganti sekiranya berlaku kematian dan sebagainya.

Banyak sebenarnya perkara baik yang hendak dilaksanakan dalam belajawan 2011 dan ETP. Namun begitu terdapat juga beberapa perkara kontroversi yang ingin dilaksanakan kerajaan terutamanya apabila diperuntukkan sebanyak RM5 bilion untuk Menara Warisan PNB. Juga menarik perhatian apabila diperuntukkan RM111 juta untuk program PERMATA yang dipelopori oleh isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah. Labih tinggi berbanding RM95 juta yang diperuntukkan untuk sekolah agama rakyat (SAR).

Bagi ETP pula, yang dijangkakan menjadi bom jangka kepada pihak kerajaan ialah cadangannya untuk mewujudkan hub hiburan malam bagi memacu industri pelancongan. Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan “mempakejkan” semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Dalam perancangan 12 projek permulaan (EPP), kerajaan akan melonggarkan syarat ketat bagi penganjuran konsert dan majlis antarabangsa, yang sekarang ini dikatakan banyak menghindarkan penghibur antarabnagsa ke negara ini. Jumlah pelaburan yang diperlukan adalah RM467 juta dan akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Kerajaan menjangkakan ia akan memberi pendapatan negara kasar sebanyak RM427 juta dan mewujudkan sebanyak 8,000 peluang pekerjaan

Lebih mengejutkan lagi EPP juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020.

Langkah itu akan menyaksikan penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014. –Malaysiakini.

Setakat ini NGO seperti ABIM, PPIM, GPMS, PUM dan yang agak mengejutkan, PERKASA telah membuat bantahan terhadap cadangan ini. Agak terkejut kerana PERKASA mengancam untuk mengadakan demontrasi sekiranya cadangan kerajaan ini diteruskan. PPIM pula sekadar menyatakan “tunggu pilihan raya nanti”.

Juga bantahan daripada Dewan Pemuda PAS yang menyatakan cadangan dalam ETP ini akan mewujudkan apa yang disebut sebagai ekonomi pumping kerana kerajaan sekadar mendapat keuntungan sebentar sahaja bahkan sebenarnya akan rugi kerana kos untuk membasmi gejala sosial, kempen pembentukan akhlak dan sebagainya akan meningkat mendadak lebih daripada keuntungan yang dijana. Wallahua’lam

0 comments: