Thursday, April 23, 2009

dosa, pahala, syurga, neraka...


Sebenar-benar manusia yang kuat keIslaman dan keimanannya sudah pasti akan mengaitkan seluruh apa yang dilaluinya dalam kehidupan ini kepada persoalan dosa dan pahala serta syurga dan neraka. Kerana kehidupan yang dilalui oleh semua manusia bukanlah seperti kehidupan binatang dan tumbuhan yang sekadar hidup di atas muka bumi ini dan musnah bersekali dengan musnahnya alam ini, tetapi kita punyai satu perjalanan yang cukup panjang yang mana segala amal perbuatan kita akan dipersoalkan dan diberi balasan oleh Allah S.W.T.

Sifirnya mudah, jikalau sekiranya seseorang itu melakukan perkara kebaikan yang diredhai Allah, dia akan mendapat ganjaran pahala dan seseorang itu akan mendapat sebaliknya sekiranya dia melakukan yang sebaliknya. Pada hari akhirat kelak, setelah ditimbang amalan baik dan amalan buruk dengan menggunakan Mizan (neraca timbangan di hari akhirat kelak), mereka yang berat timbangan amal baiknya akan mendapat keni’matan hidup kekal abadi manakala mereka yang sebaliknya akan mendapat yang sebaliknya.

Segala perbuatan yang dilakukan pasti akan dihisab. Mustahil penciptaan kita sebagai manusia yang Allah firmankan di dalam al-Quran sebagai “sebaik-baik kejadian” ini sekadar suatu penciptaan yang sia-sia. Pasti ada tujuan dan matlamat penciptaan tersebut. Dan sekiranya kehidupan kita itu tidak menuju ke arah matlamat yang ditentukan oleh Allah atau lebih teruk lagi tidak mengetahui matlamat penciptaan kita, maka sudah pasti kita akan menghadapi masalah sewaktu disoal di hadapan Allah S.W.T.

Maka dengan itu, marilah kita bersama-sama memperbaiki amalan kehidupan seharian kita dan jauhilah daripada terjebak ke dalam perkara dosa yang membawa kepada kemurkaan Allah. Pesanan kepada diri saya yang lemah ini dan kepada semua sahabat-sahabat yang sudi kiranya menjenguk blog ini.

Walaubagaimanapun, terdapat salah faham yang biasa dilakukan oleh manusia dan kadang-kadang oleh kita sendiri ialah sekadar menganggap konsep dosa&pahala, syurga&neraka ini dalam konsep ibadah yang sempit sahaja. Alhamdulillah bila mana ramai di kalangan kita sedar bahawa kita akan mendapat dosa sekiranya kita meninggalkan sembahyang, puasa di bulan Ramadhan dan kewajipan-kewajipan lain sebagai seorang hamba kepada Pencipta yang maha Esa, tetapi jangan kita lupa dalam hal berkaitan ekonomi, sosial, politik, perundangan dan sebagainya turut tidak lari daripada persoalan dosa&pahala serta syurga&neraka.

Antara pimpinan yang sentiasa istiqamah menyebut berkaitan dosa pahala ialah menteri besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Di mana-mana sahaja beliau berucap, pasti beliau akan mengaitkan kehidupan ini dengan hari akhirat. Walaupun seseorang itu berada di mana-mana tempat sekali pun, pelajar, kerani, pekerja biasa, nelayan, DO (pegawai daerah) hatta sebagai pemimpin negara, tidak akan terlepas daripada disoal oleh Allah. Tambah-tambah lagi apabila melibatkan persoalan amanah.

Dijadikan manusia itu dari setitis air mani yang hina. Hidup bergelumang dosa. Amanah tidak dilaksanakan dengan baik. Ibadah tidak sebanyak mana. Banyak terlibat dalam perkara syubhah dan banyak lagi kekurangan dan keburukan pada diri ini. Layakkah kita mendapat syurga Allah??

Sunday, April 19, 2009

Kerajaan Perpaduan: Cadangan Yang Hilang Ditelan Masa


Agak sukar untuk memilih tajuk apa yang hendak diulas untuk kali ini. Sememangnya apabila difikirkan, sebenarnya ilmu yang kita ada ini sangat sedikit jikalau nak dibandingkan dengan ilmu Allah S.W.T. yang maha luas. Kehidupan massa cfs iium pada minggu lepas agak aman kerana semua pelajar agak sibuk dengan peperiksaan pertengahan semester. Politik Malaysia pun begitu. Cuma berita yang agak besar dalam politik Malaysia ialah apabila bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, melepaskan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Walaubagaimanapun, media khususnya rakyat Malaysia umumnya seolah-olah tidak kelihatan ghairah dengan perkembangan tersebut kerana selepas pilihan raya umum ke-12, sudah 5 pilihan raya kecil yang diadakan. Mungkin kebanyakan daripada sudah boring dengan keadaan tersebut. Saya juga turut merasakan yang demikian.
Bilamana Siasah sebagai akhbar politik bebas mengutarakan cadangan politik damai (semua pihak melupakan perbezaan politik dan membantu dalam membangunkan negara) dalam beberapa keluarannya sebelum ini, ditambah pula sewaktu presiden Pas, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang mengeluarkan cadangan ‘kerajaan perpaduan’ antara semua parti politik, yakni tiada parti yang menjadi pembangkang dan semua membantu ke arah memajukan negara, kita melihat seolah-olah ada sinar yang dapat mewujudkan keadaan yang aman dalam politik Malaysia.

Kenyataan balas daripada beberapa pemimpin kerajaan yang memberikan reaksi positif terhadap cadangan Presiden Pas tersebut terutamanya oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin (sekarang timbalan perdana menteri) menambahkan lagi kegembiraan rakyat yang ingin melihat pemimpin-pemimpin politik bersatu untuk kepentingan bersama.

Perlu difahami bahawa kewujudan kerajaan perpaduan ini tidak bermaksud setiap parti politik terpaksa menggugurkan ideologi perjuangan masing-masing apatah lagi kita sebagai seorang Islam tidak sepatutnya sesaat pun menghilangkan pengharapan kita kepada cita-cita melihat Islam itu tertegak di atas muka bumi ini.

Kerajaan perpaduan berbeza dengan kerajaan campuran yang memerlukan semua parti bersatu di bawah satu bumbung seperti Barisan Nasional. Kerajaan perpaduan ialah semua pihak bersatu untuk perkara-perkara yang boleh dipersetujui bersama seperti isu jenayah, perpaduan kaum, keselamatan negara dan yang paling utamanya bersama-sama membantu negara dalam menghadapi krisis ekonomi yang melanda dunia global pada masa kini.

Atau dengan kata lain, semua pihak mengadakan gencatan senjata sehinggalah sampainya musim pilihan raya umum ke-13. Bila sampainya musim tersebut, maka bolehlah gendang perang itu dipalu kembali.

Namun, oleh kerana terdapatnya pihak-pihak di dalam Pakatan Rakyat yang kurang senang dengan cadangan tersebut dan mereka berusaha supaya cadangan ini tidak kesampaian, semua rakyat akhirnya dapat melihat ketidaksepakatan antara pimpinan Pakatan Rakyat terhadap cadangan kerajaan perpaduan ini lalu setakat hari ini, tidak nampak tanda-tanda cadangan ini akan menjadi suatu kenyataan.

Wednesday, April 15, 2009

Bila Tempoh Belajar CFS IIUM Jadi Setahun


Semenjak semester lepas lagi sudah terdengar ura-ura tempoh pembelajaran di cfs iium ini akan disingkatkan kepada setahun sahaja. Ini bermakna modul course yang tempoh pembelajarannya dua tahun dan setahun setengah akan selesai dalam masa setahun sahaja. Dikhabarkan pemendekan ini akan bermula untuk kemasukan tenure 09/10 tetapi ditangguhkan dan dengarnya hanya akan dilaksanakan pada tahun 2011. Sebenarnya agak menarik untuk kita sama-sama analisis pro dan kontra tentang perkara ini bagi membolehkan kita menilai sama ada pemendekan tempoh pembelajaran ini relevan dan baik untuk pelajar cfs iium atau sebaliknya.

Apabila tempoh pembelajaran disingkatkan, maka sistem juga akan diubahsuai bagi memenuhi tuntutan tersebut. Di sini saya ingin mencoretkan apa perubahan yang sampai ke cuping telinga saya. Wallahua’lam benar atau tidak, saya cuma menyampaikan apa yang saya dengar sahaja. Pertamanya mestilah kita nak tahu apa akan jadi kepada dua subjek kesayangan kita iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Tidak diketahui bagaimana pembelajaran bahasa Arab hendak diubah tetapi untuk bahasa Inggeris, pelajar akan ditempatkan mengikut keputusan SPM masing-masing. Mungkin sekiranya pelajar tersebut dapat 1A beliau akan terus exempted. Sekiranya formula tersebut diguna awal-awal lagi, saya sepatutnya dah exempted tapi EPT telah menyebabkan saya ditempatkan pada level 4 (itulah sebabnya saya kena ambik short sem). Tetapi satu perkara yang perlu kita faham, ramai yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM tetapi kualitinya tidak setaraf dengan result SPM tersebut (hatiku seolah-olah ditikam oleh pisau beracun).

Untuk core course, saya cuma mengetahui apa yang berkaitan dengan course saya sahaja. Dikhabarkan subjek seperti mathematics1 dan Physics1 akan dimampatkan silibusnya dan mungkin dimasukkan sekali dengan mathematics2 dan Physics2. Biology1 serta Chemistery1 juga akan mengalami perkara yang sama. Pada saya tindakan tersebut agak bagus terutamanya kepada subjek yang sebenarnya tidak ada kaitannya dengan Health and Medical Sciences (HMS). Setakat ini saya sekadar tahu tujuan diajarkan subjek Mathematics kepada pelajar HMS adalah untuk membentuk minda yang kreatif. Physics pun saya kurang pasti apakah kaitannya. Tetapi yang pasti, subjek inilah yang menyebabkan kejatuhan pointer bagi ramai pelajar HMS. Pada akhirnya mereka tidak dapat mengambil jurusan yang dikehendaki kerana tidak cukup pointer walhal pointer mereka tidak melepasi minimum requirement kerana direndahkan oleh subjek yang tiada kaitan dengan bidang tersebut. Saya terfikir suatu perkara, mungkin perkara ini juga menyebabkan ada pelajar yang tidak dapat menunjukkan prestasi yang baik di Kuantan kerana mereka layak kerana pointer mereka tinggi disebabkan subjek yang tidak ada kaitan dengan bidang mereka. Tidak diketahui apakah nasib dua subjek FIM iaitu RIM dan BTQ tetapi harapnya dikekalkanlah kerana sangat membantu dalam menambahkan ilmu yang bermanfaat dalam hidup serta mengaitkan apa yang dipelajari dalam kelas sehari-harian dengan agama Islam.

Satu keistimewaan pada cfs iium yang saya kira tidak ada pada institut pengajian yang lain ialah banyaknya perlaksanaan aktiviti yang tidak berkaitan dengan akademik tetapi membantu dalam pembentukan peribadi dan softskill seseorang. Antaranya diwajibkan kepada pelajar cfs iium untuk mengikuti study circle (usrah), GPDP (tak ingat stand untuk apa) dan Leadtrain. Di sini juga subur dengan kegiatan berpersatuan dan banyak program serta aktiviti yang dianjurkan sendiri oleh pelajarnya. Sekiranya tempoh pembelajaran disingkatkan, agak payah sebenarnya untuk melihat keadaan begini dikekalkan dan disuburkan kerana sudah pasti pelajar ingin menumpukan sepenuh masanya untuk kecemerlangan akademik. Perlu diingat bahawa mereka yang berjaya dalam hidup tidak semestinya mereka yang cemerlang akademiknya bahkan ramai graduan yang hebat akademiknya tetapi menganggur disebabkan kurangnya kemahiran sampingan yang memberi nilai tambah kepada pelajar tersebut.

Walaubagaimanapun, setelah kita melihat pro dan kontranya, terpulanglah kepada persepsi dan penilaian masing-masing sama ada wajar atau tidak tempoh pembelajaran di cfs iium ini disingkatkan. Pilihlah yang terbaik yang dapat membawa kepada kebaikan adik-adik kita nanti.

Sunday, April 12, 2009

Erti sebuah pengurusan


Diakui bahawa pengurusan yang sistematik sangat memainkan peranan yang penting dalam sesebuah organisasi. Pengurusan yang saya maksudkan di sini adalah dari segi perfailan, penyimpanan data, jobskop yang jelas, flow yang teratur dan sistem pemantauan yang berkesan. Semua jenis pengurusan ini sangat bagus dari segi teorinya. Pengurusan ini bukan sahaja akan memudahkan perlaksanaan gerak kerja pada tenure kita, tetapi akan menjadi rujukan yang sangat berguna untuk tenure selepas ini. Tapi satu pemikiran saya yang telah dimindsettingkan dengan begitu lama dan mungkin mencetuskan kemarahan semua golongan yang terlibat dengan kesetiausahawanan iaitu pengurusan ini merupakan suatu yang melecehkan, agak melambatkan dan juga menyebabkan berlakunya birokrasi yang tidak perlu. Hemm....sebab itulah jangan letak saya sebagai setiausaha. Lingkup society tu nanti..

Sebenarnya agak menyulitkan apabila mereka yang berada di peringkat bawah terpaksa melalui beberapa peringkat sebelum dapat berjumpa dengan individu yang paling atas. Sangat melambatkan apabila borang permohonan terpaksa melalui 5 atau 6 meja sebelum sampai kepada orang yang membuat keputusan. Kalaulah saya berada di peringkat bawah, pasti saya akan mengamuk menunggukan urusan yang terlalu lambat diselesaikan. Bayangkan sekiranya kita perlu berjumpa dengan 3 atau 4 orang yang lain untuk memenuhi prosedure sebelum dapat berjumpa dengan orang yang kita nak berjumpa itu. Tidakkah itu sangat melecehkan.

Kebanyakan di kalangan kita ada pengalaman untuk mengisi pelbagai jenis borang dan terpaksa berjumpa dengan beberapa orang kakitangan bagi mendapatkan cop dan tandatangan serta pergi ke beberapa tempat bagi menyelesaikan urusan yang cukup ringan tetapi terpaksa bersusah payah bagi memenuhi tuntutan pengurusan.
Setiausaha bertanggungjawab mencatat segala perkara yang berlaku dalam mesyuarat. Sebab itu disebut minit mesyuarat. Nasib baik tidak disebut saat mesyuarat. Letih setiausaha nak mencatat semua saat yang berlaku. Dalam minit tersebut lengkap diceritakan tentang mesyuarat sedangkan apa yang hendak dirujuk selepas ini ialah tindakan dan pic sahaja.

Sesebuah society terpaksa mendahulukan duit sendiri untuk sesebuah program walaupun peruntukan sudah diluluskan. Kalau laporan tidak dihantar dalam jangka masa seminggu, hangus duit tersebut. Tak dapat nak claim. Tidak diceritakan lagi bagaimana susahnya nak menguruskan sesebuah kertas kerja sebelum mendapat kelulusan. Berjumpa dengan tidak kurang 5 orang bagi mendapatkan tandatangan pada borang permohonan.

Itulah erti sebuah pengurusan.

Dalam negara , luar negara, akademik....


Selesai akhirnya satu fasa perancangan yang memakan masa yang agak panjang. Cukup mengambil masa sehingga saya tidak sempat mengupdate blog untuk jangka masa lebih kurang dua minggu. Dan alhamdulillah, sekarang fasa perancangan dah selesai. Dan bolehlah saya kembali menulis sekarang....

Banyak perkara besar yang berlaku kebelakangan ini antaranya ialah keputusan tiga pilihanraya kecil di dua bukit iaitu parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau di Perak dan Kedah serta DUN Batang Air di Sarawak. Dua hari selepas itu diumumkan kabinet baru kerajaan Malaysia di bawah pimpinan DS Najib Tun Razak. Peristiwa menarik yang akan mendatang selepas ini dan pastinya menarik perhatian semua orang yang mengikuti perkembangan politik tanah air iaitu bermulanya mesyuarat dan pemilihan PAS peringkat kawasan dan pencalonan bagi pemilihan di peringkat pusat pada muktamar yang akan berlangsung pada bulan Jun ini di Selangor.

Setakat ini saya masih lagi belum mampu untuk menulis berkenaan apa yang berlaku di negara-negara luar terutamanya negara umat Islam seperti Palestin, Iraq, Afganistan, Sudan dan sebagainya yang mana sepatutnya kita sebagai umat Islam perlulah mengambil tahu akan perihal keadaan mereka. Insya’ Allah saya akan cuba selepas ini sekiranya berpeluang dan dipanjangkan umur oleh Allah.

Pada masa yang sama kita perlu meneruskan kehidupan sebagai seorang pelajar yang ada perkara yang perlu dikejar iaitu akademik. Tak guna kalau kita cemerlang dalam aspek-aspek tertentu tetapi akademik tidak mencapai standard yang diperlukan. Walaupun kita tidak mahu mengelak daripada menjadi pelajar yang dikategorikan ‘exam oriented’, tetapi sistem yang ada sekarang memaksa kita untuk lulus ataupun melepasi minimum requirement untuk melayakkan kita meneruskan pelajaran. Maka kita terpaksa berusaha untuk mendapat kecemerlangan akademik kerana itulah ukurannya. Tetapi perlu diingat, orang yang paling cemerlang akademik tidak semestinya paling berjaya dalam hidup.

Saturday, April 4, 2009

Mampukah Najib menjadi pemerintah Islam di Malaysia?


Melihat perutusan oleh perdana menteri Malaysia yang ke-6, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada jumaat malam baru-baru ini yang dipaparkan oleh semua stesen television utama merupakan suatu yang kita boleh renungkan bersama. Saya rasa siaran tersebut ditayangkan secara langsung kerana berlaku kesilapan teknikal yang menyebabkan DS Najib berdiri tegak selama lebih kurang 15 saat. Tidak terduga dalam hati saya untuk melihat perdana menteri saya dalam keadaan tersebut. Kebetulan pada waktu tersebut saya berada di cafĂ©. Terdengarlah gelak ketawa daripada rakan-rakan melihatkan gelagat beliau. Mungkin beliau tidak tahu bahawa siaran telah dimulakan.

Apa-apa pun, DS Najib telah membuat dua pengumuman yang saya kira agak positif dalam memulakan hari pertama beliau sebagai pemimpin nombor satu Malaysia iaitu membatalkan penggantungan selama tiga bulan bagi dua akhbar alternatif iaitu Harakah dan Suara Keadilan dan membebaskan 13 orang tahanan ISA berkuatkuasa serta merta. Sama ada pengumuman yang dibuat untuk menarik sokongan pengundi di 3 kawasan PRK atau tidak, wallahua’lam. Tetapi diharap beliau selepas ini terus membuat keputusan atau dasar-dasar yang boleh mensejahterakan rakyat keseluruhannya.

Walaubagaimanapun, saya kira pertukaran pucuk pimpinan negara ini masih lagi tidak akan mengubah sistem sekular yang diguna pakai oleh negara kita kepada sistem Islam. Tidak untuk jangka masa terdekat. Pada kita, kezaliman yang paling besar yang dilakukan oleh seseorang pimpinan negara ialah tidak meletakkan Islam pada kedudukan yang paling tinggi sehingga sanggup mengguna pakai hukum ciptaan manusia bagi menggantikan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah.

Kepimpinan negara ummat Islam yang begitu lemah dan bacul untuk melaksanakan Islam inilah yang telah membuatkan tiadanya sebuah kerajaan atau daulah Islamiyyah yang boleh mempertahankan kedaulatan ummat Islam itu sendiri. Contoh yang paling keji yang saya pernah dengar seumur hidup saya ialah keengganan kerajaan Mesir untuk membuka pintu sempadan ke Palestin bagi membolehkan bantuan makanan, pakaian dan ubat-ubat dibawa masuk ke Palestin sewaktu perang HAMAS-Israel baru-baru ini melainkan setelah mendapat kebenaran daripada pihak Israel. Alangkah baculnya pemerintah Mesir.

Pemerintah ummat Islamlah yang telah menyekat usaha mendaulatkan Islam dalam negara mereka. Saya sangat hairan dan pelik kenapakah setelah lebih 50 tahun kita mencapai kemerdekaan, syariat Islam masih lagi tidak dapat dilaksanakan di negara kita. Bukan itu sahaja, yang lebih membingungkan kita, mengapakah tidak ada usaha untuk menerangkan kepada masyarakat bukan Islam tentang keadilan Islam itu sendiri. Bahkan media arus perdana telah menulis dan menyebarkan kenyataan pemimpin negara kita yang bukannya hendak menerangkan keindahan Islam tetapi membawa masyarakat lebih jauh dengan Islam.

Panjang rasanya kalau saya nak menulis tajuk ini. Cuma diharapkan kepada DS Najib dapat membawa keadaan yang lebih baik berbanding dahulu. Janganlah jadi seperti mantan-mantan PM sebelum ini yang bersara dalam keadaan begitu indah di kaca-kaca televisyen tetapi sebenarnya dibenci dan dinista oleh orang-orang yang cintakan Islam.