Saturday, April 4, 2009

Mampukah Najib menjadi pemerintah Islam di Malaysia?


Melihat perutusan oleh perdana menteri Malaysia yang ke-6, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada jumaat malam baru-baru ini yang dipaparkan oleh semua stesen television utama merupakan suatu yang kita boleh renungkan bersama. Saya rasa siaran tersebut ditayangkan secara langsung kerana berlaku kesilapan teknikal yang menyebabkan DS Najib berdiri tegak selama lebih kurang 15 saat. Tidak terduga dalam hati saya untuk melihat perdana menteri saya dalam keadaan tersebut. Kebetulan pada waktu tersebut saya berada di café. Terdengarlah gelak ketawa daripada rakan-rakan melihatkan gelagat beliau. Mungkin beliau tidak tahu bahawa siaran telah dimulakan.

Apa-apa pun, DS Najib telah membuat dua pengumuman yang saya kira agak positif dalam memulakan hari pertama beliau sebagai pemimpin nombor satu Malaysia iaitu membatalkan penggantungan selama tiga bulan bagi dua akhbar alternatif iaitu Harakah dan Suara Keadilan dan membebaskan 13 orang tahanan ISA berkuatkuasa serta merta. Sama ada pengumuman yang dibuat untuk menarik sokongan pengundi di 3 kawasan PRK atau tidak, wallahua’lam. Tetapi diharap beliau selepas ini terus membuat keputusan atau dasar-dasar yang boleh mensejahterakan rakyat keseluruhannya.

Walaubagaimanapun, saya kira pertukaran pucuk pimpinan negara ini masih lagi tidak akan mengubah sistem sekular yang diguna pakai oleh negara kita kepada sistem Islam. Tidak untuk jangka masa terdekat. Pada kita, kezaliman yang paling besar yang dilakukan oleh seseorang pimpinan negara ialah tidak meletakkan Islam pada kedudukan yang paling tinggi sehingga sanggup mengguna pakai hukum ciptaan manusia bagi menggantikan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah.

Kepimpinan negara ummat Islam yang begitu lemah dan bacul untuk melaksanakan Islam inilah yang telah membuatkan tiadanya sebuah kerajaan atau daulah Islamiyyah yang boleh mempertahankan kedaulatan ummat Islam itu sendiri. Contoh yang paling keji yang saya pernah dengar seumur hidup saya ialah keengganan kerajaan Mesir untuk membuka pintu sempadan ke Palestin bagi membolehkan bantuan makanan, pakaian dan ubat-ubat dibawa masuk ke Palestin sewaktu perang HAMAS-Israel baru-baru ini melainkan setelah mendapat kebenaran daripada pihak Israel. Alangkah baculnya pemerintah Mesir.

Pemerintah ummat Islamlah yang telah menyekat usaha mendaulatkan Islam dalam negara mereka. Saya sangat hairan dan pelik kenapakah setelah lebih 50 tahun kita mencapai kemerdekaan, syariat Islam masih lagi tidak dapat dilaksanakan di negara kita. Bukan itu sahaja, yang lebih membingungkan kita, mengapakah tidak ada usaha untuk menerangkan kepada masyarakat bukan Islam tentang keadilan Islam itu sendiri. Bahkan media arus perdana telah menulis dan menyebarkan kenyataan pemimpin negara kita yang bukannya hendak menerangkan keindahan Islam tetapi membawa masyarakat lebih jauh dengan Islam.

Panjang rasanya kalau saya nak menulis tajuk ini. Cuma diharapkan kepada DS Najib dapat membawa keadaan yang lebih baik berbanding dahulu. Janganlah jadi seperti mantan-mantan PM sebelum ini yang bersara dalam keadaan begitu indah di kaca-kaca televisyen tetapi sebenarnya dibenci dan dinista oleh orang-orang yang cintakan Islam.

0 comments: