Wednesday, December 23, 2009

Politik dunia Islam 2009: 10 berita utama


Politik dunia Islam 2009: 10 berita utama
Haris Zalkapli (http://www.harakahdaily.net/)

Perkembangan dunia Islam terus menjadi berita-berita utama antarabangsa, memberi kesan kepada politik serantau dan global, bermula dengan serangan Israel ke atas Gaza pada Disember 2008 sehingga Januari 2009, kepada konflik di Yaman yang semakin merebak ke seluruh wilayah negara itu dan jiran. Berikut 10 berita dan pemain utama dalam dunia Islam, yang memberi kesan besar kepada negara terbabit, dunia Islam secara keseluruhan dan politik dunia.

1. Serangan terhadap Gaza, Palestin

Dunia Islam memulakan tahun 2009 dengan menyaksikan konflik di Gaza, perang mempertemukan kekuatan tidak seimbang tentera Israel dengan Hamas dan kumpulan-kumpulan lain di wilayah Palestin dikuasai Hamas ini. Perang bermula pada Disember 2008. Awal 2009, Israel memulakan serangan darat selepas seminggu serangan udara. Perang berakhir pada 18 Januari, dua hari sebelum presiden baharu Amerika Syarikat, Barack Obama mengangkat sumpah. Hampir 1,500 warga Palestin dilaporkan terbunuh, dengan kemusnahan hampir AS$2 bilion. Israel turut menyerang masjid, sekolah dan tempat-tempat awam, membunuh semua termasuk kanak-kanak. Tidak lama selepas perang, Israel memilih sebuah kerajaan dikuasai parti berhaluan kanan. Demonstrasi diadakan di seluruh dunia membantah tindakan Israel. Reaksi di dunia Islam termasuk boikot terhadap jenama AS dan Barat seperti McDonald's, Tesco, Starbucks, KFC dan pelbagai produk konsumer lain.

2. Dasar luar baharu Turki

Negara yang sedang menggerakkan dasar luar baharu, Turki, bertindak pragmatik dalam menangani isu Gaza melalui satu tindakan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan dalam forum di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, menaikkan imej Turki ketika dunia Arab dilihat gagal bertindak. Di bawah arkitek dasar luar baharu Ahmet Davutoglu, akademik hubungan antarabangsa berpengalaman luas, Turki mengaktifkan usaha baharu membina hubungan baik dengan negara-negara jiran termasuk Armenia dan Syria dan cuba membina ruang pengaruh, berdasarkan fahaman pan-Turkisme atau apa yang disifatkan pemerhati sebagai perspektif "neo-Uthmaniyah" Ahmet. Ahmet, yang pengalamannya termasuk mengajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Beykent Istanbul, disebut sebagai "Henry Kissinger Turki" yang kini menjadi tokoh penting parti pemerintah, AKP.

3. Konflik Yaman

Menjelang Ramadan tahun lalu, Yaman menyaksikan bermulanya konflik melibatkan kerajaan pimpinan Presiden Ali Abdullah Saleh dengan pemberontak Houthi di utara. Kini, setelah tiba bulan Muharram 1431, konflik di Yaman semakin meluas dan meningkat dari segi intensitinya, apabila AS mula terlibat dalam serangan terhadap kumpulan al-Qaeda di negara ini, kumpulan dikenali sebagai al-Qaeda di Semenanjung Arab (al-Qaeda in the Arabian Peninsula, AQAP) menggabungkan al-Qaeda Yaman dengan Arab Saudi. Negara dilanda masalah sumber air dan hidrokarbon ini juga berdepan kebangkitan kumpulan pemisah Marxist di selatan. Penglibatan Saudi menyerang Houthi juga menambahkan kerumitan konflik ini, yang kini telah menyebabkan lebih 170,000 menjadi pelarian di dalam negara. Peranan Iran dan Saudi memperlihatkan dimensi persaingan kuasa serantau dalam konflik ini.

4. Pilihan raya presiden dan isu nuklear Iran

Iran mengadakan pilihan raya presiden pada 12 Jun lalu, dengan keputusan penyandang Mahmoud Ahmadinejad mengekalkan jawatan. Walau bagaimanapun, keputusan ini ditentang hebat Mir Hossein Mousavi dan ribuan penyokongnya, menggegarkan republik Islam yang berpandukan kepada ide Wilayatul Faqih yang menetapkan kuasa kepada para ulama. Kebangkitan digelar "revolusi hijau" oleh kem Mir Hossein mendapat kredibiliti dan imej yang positif bagi sesetengah pihak kerana warna hijau yang digunakan - yang dikaitkan dengan Islam dan Nabi Muhammad saw - sebagai simbol gerakan menentang pemerintah Iran. Pemerintah Iran masih berdepan cabaran getir penentangan ini, yang mendapatkan simpati apabila Ayatullah Hossein Ali Montazeri meninggal dunia pada 20 Disember lalu. Pada masa yang sama, Iran terus berdepan cabaran berhubung isu nuklearnya apabila sikap kerajaan baharu AS tidak berubah walaupun sedia berunding.

5. Afghanistan-Pakistan dan Taliban

Afghanistan dan Pakistan ditangani sebagai satu oleh sebahagian besar komuniti dasar luar AS, ekoran hubungan rapat kumpulan Taliban di kedua-dua negara dan kaitan rapat geografi kedua-dua negara dalam konflik di Afghanistan. Afghanistan kini menjadi satu agenda dasar luar penting bagi Obama, yang meluluskan 30,000 anggota tentera untuk dihantar ke negara ini. AS kini mempunyai kehadiran yang besar di Asia Tengah. Pada masa sama, Presiden hamid Karzai baharu melengkapkan anggota kabinetnya, yang dikritik ramai sebagai tidak memenuhi janji memerangi korupsi dan pada masa sama memberikan kuasa kepada pihak-pihak tidak sepatutnya. Kedatangan lebih ramai tentera AS dan pemerintahan Hamid yang tidak bersih dan bebas bakal meneruskan ketidaktentuan di Afghanistan. Kedatangan lebih ramai anggota tentera mampu meningkatkan lagi konflik dengan kumpulan militan.

6. Lanun dan kehadiran kuasa asing di Somalia

Penculikan dan rampasan kapal oleh lanun Somalia yang mula berleluasa pada 2008 terus berlaku pada 2009, dan menarik kedatangan tentera-tentera laut asing termasuk Jepun dan Rusia, menjadikan kawasan perairan Somalia yang strategik itu semakin tegang. Kawasan Teluk Aden bersempadan Laut Merah - dihubungkan laluan sempit Bab al-Mandeeb di tengah-tengah antara Djibouti dan Eritrea dengan Yaman - ialah satu laluan penting dalam perdagangan antarabangsa. AS juga menjalankan operasi pesawat tanpa juruterbang di kawasan perairan ini. Kawasan ini terletak tidak jauh daripada Yaman, satu lagi kawasan panas yang menjadi salah satu sumber senjata bagi lanun Somalia. Selain itu, tentera AS dan Iran juga meningkatkan kehadiran di kawasan perairan ini, mengaitkannya dengan isu lanun dan juga ketidakstabilan di Tanduk Afrika dan Yaman.

7. Pilihan raya Lubnan

Lubnan menjadi medan persaingan kuasa-kuasa asing sejak sekian lama, dan pilihan raya pada 7 Jun 2009 menunjukkan realiti ini kekal dalam permainan politik Lubnan. Kumpulan 14 Mac yang pro-Barat memenangi 71 daripada 128 kerusi, yang dibahagikan kepada 64 untuk Muslim dan 64 Kristian, susunan diwarisi daripada penjajahan Barat yang memberi kelebihan kepada Kristian. Saad Hariri dan kumpulan 14 Mac mendapat sokongan kuat AS, Arab Saudi dan Mesir, manakala Hizbullah dan Amal disokong Iran dan Syria. Kumpulan diketuai Hizbullah yang disebut-sebut akan menang tidak berjaya merealisasikan jangkaan itu, tetapi Lubnan meneruskan penubuhan kerajaan perpaduan seperti yang dilaksanakan penggal lepas, proses yang hanya selesai beberapa minggu lalu, dengan Saad mengetuai kerajaan baharu.

8. Uyghur di Xinjiang

Wilayah Xinjiang menyaksikan kebangkitan rakyat berketurunan Uyghur memprotes layanan buruk kerajaan China dan dominasi kaum Cina han di wilayah tersebut. Di sini dapat diperhatikan perana Turki menggerakan kaum Uyghur daripada rumpun bangsa Turki sebagai sebahagian agendanya meluaskan ruang pengaruh. Ankara dan Beijing bertikam lidah dalam hal ini, dengan Turki berperanan sebagai pembela nasib Uyghur ketika China dilihat di seluruh dunia sebagai penindas. Dengan sokongan Turki dan AS, Rebiya Kader, tokoh Uyghur berpangkalan di Washington muncul sebagai ikon kaum tertindas ini, hampir menyamai peranan dimainkan Dalai Lama bagi Tibet. Perkembangan ini, yang berlanjutan selama beberapa bulan, menyumbang dalam menjadikan perjuangan Uyghur menuntut kebebasan dalam hal berkaitan agama dan budaya menjadi perhatian dunia Islam untuk satu tempoh.

9. Libya dan pembebasan Abdel Baset al-Megrahi

Abdel Baset al-Megrahi, disabit bersalah dalam pembunuhan 270 orang akibat pengeboman pesawat AS, Pan Am 103 di ruang udara Lockerbia, Scotland pada 21 Disember, 1988. Beliau dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Negaranya, Libya, menjadi tumpuan negara-negara Barat terbabit dan diletakkan sebagai satu musuh utama untuk satu tempoh yang panjang. Pada 20 Ogos lalu, beliau dibebaskan atas dasar kemanusiaan kerana dinilai doktor menghidap kanser prostat dan hanya akan hidup kurang tiga bulan lagi. Satu debat politik antarabangsa berlangsung ekoran tindakan kerajaan Scotland ini. Abdel Baset masih berusaha membersihkan namanya daripada tuduhan terlibat dalam pengeboman itu. Keadaan sekitar pembebasan Abdel Baset mengundang pelbagai spekulasi berhubung rundingan pembebasan beliau melibatkan kerajaan terbabit.

10. Islamofobia di Eropah

Di Dresden, timur Jerman, pada 11 November lalu, Alexander Wiens, pembunuh Marwa al-Sherbini dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Wiens disabit membunuh Marwa akibat prejudisnya terhadap wanita Muslim berasal Mesir itu. Beberapa minggu lalu, di Switzerland, usaha mengharamkan menara masjid di negara itu mendapat sokongan 57 peratus pengundi negara Eropah itu. Sentimen itu sampai ke Belanda dan Jerman, apabila ahli-ahli politik berhaluan kanan di sana melahirkan sentimen yang sama. Sebelum itu, di Cologne, Jerman dan di utara London, Inggeris, protes terhadap masjid telah berlaku, memperlihatkan sentimen yang semakin disuarakan di Eropah, walaupun tidak kelihatan mendapat sokongan popular. Perkembangan ini menimbulkan persoalan tentang potensi ancaman kepada kepelbagaian budaya dan kebebasan beragama di Eropah.

Thursday, December 3, 2009

Kita Ibarat Para Pengembara


Baru-baru ini hati saya cukup tertarik dengan lagu nasyid yang sebenarnya sudah lama tetapi telah diberi nafas baru dengan rentak yang cukup rancak. Lagu itu bertajuk “Bingkai Kehidupan” yag didendangkan oleh kumpulan shoutul. Pada permulaan lagu tersebut tersurat ayat “mengharungi samudera kehidupan, kita ibarat para pengembara, hidup ini adalah perjuangan, tiada masa tuk berpangku tangan”.

Ayat tersebut mengingatkan kita kepada hadis Rasulullah S.A.W bahawa hidup manusia ini umpama seorang musafir yang singgah sebentar, berehat sebentar di bawah sepohon pokok dan kemudian meneruskan perjalanan. Jadi tempoh berehat sebentar itulah gambaran betapa pendeknya kehidupan manusia di dunia ini berbanding dengan apa yang kita akan tempuhi selepas ini.

Alangkah pendeknya hidup ini. Bagi mereka yang seumur dengan saya, beberapa tahun lagi kita akan menghabiskan tempoh pelajaran. Kemudian kita akan disibukkan dengan alam pekerjaan dan alam kekeluargaan yang semestinya kita rasakan sekejap. Kalaulah kita sekarang ini pun yang merasakan kehidupan yang terlalu pantas berlalu masanya dek kerana kesibukan menyiapkan tutorial, assignment, research dan sebagainya, nescaya nanti setelah bekerjaya dan berkeluarga, sudah pasti kita akan merasakan masa itu berlalu lebih pantas berbanding sekarang.

Kemudian timbul satu persoalan, kemana kita akan pergi selepas itu? Setelah bekerjaya tentunya kita akan menghabiskan sisa-sisa kehidupan sebagai seorang yang sudah tua. Katakanlah kita bersara pada umur 55 tahun, kita hanya ada paling lama 15 tahun lagi untuk hidup (mengikut hadis Nabi umur umatNya antara 60-70 tahun). Jadi kemudian kita akan meninggalkan dunia ini. Apakah nasib kita selepas itu?

Alangkah pendeknya hidup ini berbanding dengan akhirat yang kekal abadi. Marilah kita bermuhasabah adakah kita sudah bersedia bertemu Allah ataupun kita sekarang dijangkiti oleh penyakit “wahan” yang dimaksudkan oleh Rasulullah sebagai “cintakan dunia dan takutkan mati”. Kita takut mati kerana banyaknya dosa yang dilakukan, banyaknya hutang yang tidak dilangsaikan dan banyaknya ibadat wajib mahupun sunat yang tidak dikerjakan.

Isilah saki baki hidup ini dengan amal yang baik dan elakkan diri daripada berbuat dosa. Jadilah orang yang sentiasa meletakkan diri atas dasar Islam. Wallahua’lam.

Sunday, November 15, 2009

Nothing is Impossible


Banyak perkara yang berlaku semenjak dua ini. Sekarang kampusku, cfs iium petaling jaya sekarang sedang hangat berlangsungnya sport and martial art carnival (smac). Mudah dikatakan event ini merupakan sukan tahunan bagi kampusku. Kali ini aku sekadar menjadi penonton sahaja sambil-sambil menolong sahabat-sahabat lain yang ada di kalangan mereka yang menjadi committee program, ada yang menjaga gerai jualan dan ada juga yang berjuang di tengah gelanggang. Semua atlet yang bermain mewakili ABS (academic based society) masing-masing. Dan sebagaimana lazim, ABS ku Medcy (untuk course medic, dentist, pharmacy, allied health sciences dan nursing) berada di ranking ke-2 di belakang Engenius (untuk course engineering). Harap-harap dapatlah kitorang dapat menang banyak hari ini dan menjadi champion untuk tenure kali ini.

Semester ini merupakan semester panjang terakhir aku di sini. Kemudian ada satu lagi semester pendek. Jadi aku akan berada di kampus pj ini lebih kurang 6 bulan lagi sebelum aku melangkah ke iium kuantan. Lama lagi tu. Aku ni memang orang yang mudah jemu kalau stay di suatu tempat untuk jangka masa yang lama. Sama seperti time di darul Quran dahulu, setahun setengah pun dah cukup membuatkan aku panas punggung menantikan bila waktunya aku akan ke iium pj. Sekarang aku pun merasai perkara yang sama setelah setahun lima bulan aku di sini. Tak tahulah macam mana bila di kuantan nanti. Hidup di sana 5 tahun dalam keadaan dikelilingi buku-buku dan organ-organ manusia. Tapi sekarang main goal aku ialah nak maintain course yang ada sekarang. Batch aku memang agak compete sebab ramai yang pandai-pandai. Siapalah aku dalam kalangan mereka…

Seperti biasa, setiap kali berpindah mesti akan ada sahabat-sahabat yang meninggalkan kita. Sahabat-sahabat daripada course engineering terutamanya ramai yang akan meninggalkan aku. Ada jugak daripada ict dan aed. Mereka semuanya akan ke kampus Gombak. Kalaulah aku diberi pilihan antara nak ambik medic di kuantan atau Gombak mesti aku tanpa ragu akan memilih Gombak. Walaupun jauh dari Terengganu, tetapi kampus Gombak lebih meriah dan mencabar. Bagi orang yang mengenaliku pasti akan tahu keobsesan aku pada Gombak. Namun apakan daya, course ku di kuantan. Pasti ada hikmahnya kenapa Allah mentakdirkan begitu...

Juga ada tugasan yang mesti aku selesaikan. Apa yang dipegang sekarang mesti aku sempurnakan amanahnya bersama sahabat-sahabat yang lain sebelum diserahkan kepada orang yang akan meneruskannya. Semoga target yang telah dibuat dapat dicapai untuk maslahat masa hadapan...

Sunday, November 8, 2009

Mengenang Pejuang-pejuang Terdahulu


Alhamdulillah bermula daripada tahun 1957 sehinggalah sekarang, sudah lebih lebih 52 tahun negara kita Malaysia dan kita sebagai rakyatnya mengecap nikmat kemerdekaan. Suatu nikmat yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata dan tidak dapat digambarkan dengan tulisan. Namun jangan kita lupa sebenarnya tempoh 52 tahun ini sebenarnya masih jauh untuk dibandingkan dengan tempoh Negara kita dijajah. Jangan dlupa akan fakta yang negara kita sebenarnya telah dijajah selama 446 tahun.

Bermula dengan Portugis yang menjajah Melaka pada tahun 24 Julai 1511 dan telah mendudukinya selama 130 tahun, disusuli kemudiannya oleh Belanda, British dan Jepun. Untuk rekod, British merupakan penjajah paling lama bertapak di negara kita bermula pada 1824 sebelum diserahkan kembali kepada anak watannya untuk menjalankan pemerintahan sendiri pada 31 Ogos 1957.

Panjang sekiranya kalau saya hendak menulis berkenaan sejarah yang berusia ratusan tahun ini sebenarnya. Namun satu fakta yang tidak boleh dinafikan oleh semua pihak ialah ulama’ merupakan antara faktor yang paling penting dalam menyemarakkan semangat membebaskan diri daripada belenggu penjajahan.

Sebahagian ulama ini telah menjadi korban penjajah samada syahid ditali gantung seperti Umar Mukhtar atau dipaksa mendekam dipenjara tanpa pembicaraan seperti Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, juga dibuang negeri seperti Imam Diponegoro, Uthman Den Fodio, Haji Abdul Rahman Limbong. Selain itu, ulama lainnya pula yang turut berjuang menentang penjajah dan yang ada kaitannya dengan kemerdekaan negara ialah Tokku Paloh, Sheikh Abdullah Fahim, Haji Sulong al-Fatani, Imam Bonjol dan lainnya lagi.


Jika kita menggali semula penulisan-penulisan sejarah, kita akan mendapati fakta sejarah yang tidak ditulis dengan telus. Terutama sekali buku-buku sejarah di sekolah-sekolah. Nama-nama ulama’ yang memperjuangkan kemerdekaan seperti Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Tuan Guru Haji Hassan bin Munas (Tok Janggut) di Kelantan, Tuan Guru Haji Musa Minangkabau, Adipati Yunus di Melaka, dan Sheikh Abdul Samad al-Falimbani tidak ditonjolkan.

Suatu fakta yang tidak boleh dinafikan ialah fakta dimana Gerakan Islam turut berperanan di dalam memberikan sumbangan kepada kemerdekaan Negara. Jika diselak di dalam buku-buku sejarah kita akan berjumpa dengan nama seperti Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Dr Burhanuddin Al Helmy, Prof Zulkifli Muhammad dan Ahmad Boestamam.

Perjuangan kemerdekaan yang bermula awal kurun ke 20 pada peringkat awalnya dipelopori oleh golongan berpendidikan agama/ Arab. Mereka menyebarkan idea reformasi dari Timur Tengah ke Tanah Melayu. Golongan ini dikenali sebagai Kaum Muda. Tokoh utama ialah Syed Sheikh Al- Hadi, Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin, Haji Abbas Muhammad Taha. Mendapat pendidikan di Timur Tengah. Menjadi pelopor kepada gerakan pemulihan Islam iaitu pengamalan ajaran Islam sebenar.

Kaedah perjuangan yang dilakukan oleh Kaum Muda yang dilakukan secara langsung ialah melalui media seperti majalah dan surat khabar cth Al-Iman, Neracha, Idaran Zaman, Saudara dan juga melalui cerpen dan novel spt Hikayat Faridah Hanum, Hikayat Nurul Ain. Manakala yang dilakukan secara tidak langsung pula melalui madrasah yang dibina bagi mengajar ilmu dunia dan agama dan idea ini diterap dalam pengajaran.
Begitulah sedikit sebanyak coretan sejarah berkenaan perjuangan kemerdekaan.

Kebanyakannya saya rujuk melalui buku ”ulama dalam sorotan perjuangan kemerdekaan” karangan Ridhuan Mohamad Nor & Mohd Fadli Ghani. Sebenarnya panjang lagi kalau kita nak bicarakan soal ini. Belum lagi kita menyentuh apa yang berlaku dalam lingkungan 12 tahun sebelum kemerdekaan yang membawa kepada penubuhan UMNO pada 1946 dan PAS pada 1951 yang kemudiannya menjadi pemain utama dalam gelanggang politik sekarang ini.

Apa-apapun, sumbangan pejuang-pejuang kemerdekaan tidak dapat kita nafikan akan besarnya pengorbanan mereka. Mudah-mudahan Allah merahmati mereka. Al-Fatihah

Sunday, November 1, 2009

Mendekati PTPTN - Sahabat Baik Kepada Student


Sebagai student, kewangan memberi kesan yang sangat besar dalam kehidupan kita. Maka tidak hairanlah ramai yang berlumba-lumba belajar bersungguh-sungguh semenjak sekolah menengah lagi bagi mendapatkan keputusan cemerlang dalam SPM dan seterusnya berjaya mendapatkan biasiswa. Begitu juga dengan mereka yang berada di matrikulasi, CGPA yang tinggi menjadi penentu sama ada badan-badan seperti JPA, MARA, Bank Negara dan sebagainya akan membiayai pembelajaran mereka ataupun tidak.

Namun begitu, ada bilangan tertentu yang diperuntukkan oleh badan-badan tersebut dan pasti ada yang gagal memperolehi biasiswa walaupun mereka sangat memerlukan. Jadi mereka terpaksa beralih kepada pilihan yang lain dan meminjam dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merupakan antara pilihan yang popular.
Menurut laman web Malaysiakini (13 Ogos 2008), Kira-kira 1.04 juta pelajar siswazah (diploma dan sarjana muda) dan bagi 2,473 orang pula pasca siswazah (sarjana dan doktor falsafah) bergantung pada PTPTN.

PTPTN sebelum ini mengenakan caj tiga peratus bagi penuntut peringkat siswazah, manakala lima peratus kepada pasca siswazah sebagai kos perkhidmatan tetapi telah menurunkannya kepada satu peratus bermula Jun 2008. Kos perkhidmatan inilah yang senantiasa menjadi isu yang senantiasa evergreen kepada peminjam PTPTN kerana mereka terpaksa membayar lebih banyak berbanding dengan pinjaman yang mereka lakukan.

Namun lebih penting untuk kita melihat pandangan syara’ berkenaan hal ini. Adakah caj perkhidmatan ini merupakan riba ataupun tidak. Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman yang merupakan penasihat syari’ah kepada bak-bank dan syarikat-syarikat yang banyak telah menulis dalam webnya ”Dari sudut Shariah, 3 % yang diletakkan sebagai kos perkhidmatan itu adalah dianggap sebagai Riba” dan “perlu kita fahami bahawa sebarang kos perkhidmatan dan pengurusan yang diletakkan seperti 2 %, 3 % atau 4 % dari jumlah pinjaman dengan hujjah bahawa ianya adalah kos pengurusan adalah tidak boleh diterima sama sekali. Ini adalah bentuk yang dilakukan oleh PTPTN dan lain-lain institusi yang melakukannya”

Majlis Penasihat Shariah Dunia di AAOIFI menyebut " It is not permitted to link the charge to the amount withdrawn (given)" ( Shariah Standard, no 10/3/2, hlm 338). sepatutnya sesiapa sahaja yang meminjam, tanpa mengira berapa pun jumlah pinjaman mereka maka akan dikenakan satu jumlah kos sebenar pengurusan yang tetap dan tepat (sebagai contoh) RM 500.

Maka kesimpulan yang boleh dibuat ialah sepatutnya pembayaran pinjaman oleh peminjam PTPTN mestilah sama jumlahnya dengan jumlah pinjaman yang dilakukan. Kos perkhidmatan yang dikenakan sepatutnya bersifat tetap dan tidak berubah walau sebanyak manapun jumlah pinjaman yang dilakukan. Semoga dengan tulisan ini dapat membantu kita memahami isu PTPTN ini dengan jelas, insya Allah.

Saturday, October 31, 2009

“Menghayati nasihat penulis produktif”


Membaca tulisan saudara azamin ali bertajuk “Menghayati nasihat penulis produktif” dalam HarakahDaily.net yang menceritakan berkenaan penulis prolifik yang memang tidak asing lagi bagi mereka yang gemar membaca analisis berkenaan dengan hal-hal semasa iaitu Subky Latif agak membawa kesan kepada saya yang sudah tidak mengupdate blog selama 3 bulan.

Subky memetik kata-kata oleh seorang penulis India yang mencebiskan kata-kata semangat kepada beliau untuk terus menulis tanpa henti, "By mearly wishing to be a writer you do not become once but by writing everyday you will and can become a good writer (Sekadar hajat nak menulis belum boleh menjadi penulis tetapi jika menulis setiap hari anda akan menjadi penulis yang baik)."

Saya berfikir panjang berkenaan betapa pantasnya dunia ini bergerak terutamanya alam siber yang semuanya berada di hujung jari. Kalaulah dahulu kita selalu mendengar pepatah “mata pena lebih tajam berbanding mata pedang”, maka sekarang ini lebih relevan dikatakan “keyboard lebih dahsyat dibandingkan dengan F-117 Nighthawk (pesawat rahsia yang digunakan oleh US Air Force)”

Sumber daripada "Telekomunikasi Negara Terus Mengorak Langkah " oleh Sofia Mohamad Zaid dalam Dewan Ekonomi Mei 2009 menyatakan “Pengguna Internet di Malaysia mencatatkan sebanyak 3.7 juta pengguna (Rancangan Malaysia Ke-8) dan dijangka akan bertambah sebanyak 10 juta pengguna lagi menjelang tahun 2010 dalam pelan Rancangan Malaysia Ke-9” menunjukkan betapa luasnya penjajahan internet kepada pemikiran rakyat Malaysia dengan sebahagian besarnya menggunakan internet untuk pencarian maklumat.

Sebab itulah sesuatu tulisan walaupun oleh penulis blog picisan yang tidak diketahui identiti mereka yang berselindung dengan nama seperti “penembak tepat, perisik rakyat dan sebagainya” boleh membawa kesan yang cukup besar dalam masyarakat tambahan pula dengan sikap manusia yang sangat berminat dengan isu-isu sensasi dan panas berbanding dengan persoalan ilmiah yang lebih bermanfaat kepada diri mereka dan masyarakat.

Kesimpulannya mudah sahaja, saya ingin kembali menulis.

Tuesday, July 21, 2009

Menilai polisi ganas China terhadap wilayah Xinjiang


kali ni saya berminat untuk mengulas apa yang berlaku pada saudara seIslam kita di Xinjiang yang telah dizalimi semenjak tahun 1949.namun kerana kekurangan ilmu dan terlalu banyak fakta yang perlu dirujuk untuk menulis berkenaan hal ini,tidaklah termampu untuk saya menulisnya.tapi untuk perkongsian, saya bawakan satu artikel yang cukup menarik daripada blog Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), sebuah NGO yang cukup aktif memperjuangkan isu hak-hak asasi dan isu-isu semasa dalam dan luar negara.

Oleh : Muhammad Nuruddin Bashah ( Setiausaha Teras Caw Perak)

Menilai rusuhan antara kaum di wilayah Xinjiang yang berlau baru-baru ini bukan sekadar melihat aspek pertembungan etnik dan kekejaman tangkapan yang dibuat, tetapi menilai satu bentuk penjajahan yang terancang pada tahun 1949 serta melihat secara terperinci agenda demi agenda yang dilakukan oleh pihak China untuk merosakkan struktur masyarakat di wilayah itu dari aspek sosiologi, antropologi dan geopolitik.

6 Julai 2009 menyaksikan hampir 200 rakyat Uygur (bangsa Turkistan Islam) mati ditembak secara rambang oleh polis China apabila rusuhan kaum Uygur berlaku di Urumqi (Ibu negeri Xinjiang). Rusuhan ini berlaku akibat pertembungan etnik Uygur dan Han yang telah lama berlaku. Perlu diketahui, Uygur telah dijajah bermula 1949 serta dipaksa menganut komunis serta meninggalkan Islam. Sesiapa yang didapati bersolat akan dikupas kulit kepala, dikupas tapak kaki, dicabut kepala dan kaki menggunakan trak, diseksa di penjara tanpa diberi mandi dan melihat cahaya selama 1-2 tahun, dimasukkan bom pada kemaluan perempuan berdasarkan pengarang kisah sebenar kekejaman China dalam novel Weil China yang telah diterbitkan oleh PMRAM.

Jika diteliti dalam web-web kerajaan China dan pro China, Xinjiang dikatakan telah berada dalam wilayah China sejak dinasti silam dengan mengenepikan etnik Kazaks dan Uygur sebagai salah satu pencetus ketamadunan Turki pada era Abbasiyyah dan Utmaniyyah. Mereka mendakwa dasar liberal China pada era 1980an telah menjadikan bangsa Uygur ‘naik kepala’ serta mula ingin mengeluarkan wilayah tersebut dari China.

Cendiakawan China juga berpendapat bahawa kehadiran idea Pan-Turki atau Pan Islam oleh Khalifah Utmaniyyah telah menyemarakkan semangat bangsa Uygur untuk bangun menentang ‘kerajaan’ mereka iaitu komunis China.

Menurut tesis Master of Arts in Law and Diplomacyyang disediakan oleh Nancy Eranosian pada 21 Julai 2005, Bangsa Cgina Han telah menjadi semakin dominan di Republik Rakyat China dan bilangan mereka semakin bertambang serta menguasai etnik Uyghur yang kemudiannya menjadi minoriti. Bangsa Han memiliki kuasa di China serta melaksanakan pentadbiran di peringkat nasional mahupun di peringkat wilayah-wilayah termasuk di Xinjiang atau lebih baik sahaja disebut sebagai Turkistan Timur. Jawatan terbesar di Xinjiang ini adalah Setiausaha XUAR Parti Komunis China yang selalunya berbangsa Han. Penjajahan sosial berlaku lebih teruk apabila bahasa Mandarin diguna secara total di semua sekolah rakyat Uygur serta dinafikan bahasa asal Uygur. Dasar ini berasaskan satu matlamat iaitu menghakis nilai Islam dalam jiwa anak muda Uygur. Buku literasi berbahasa Uygur yang membawa nilai kebangsaan Islam serta nilai agama dibakar besar-besaran pada tahun 2002. Negara jiran China digesa agar membantu Chiana membasmi pejuang pemisah Xinjiang. Media massa saban hari melabelkan bangsa Uygur sebagai bangsa mundur, pemalas dan ganas. Hal inilah yang menimbulkan ketegangan di kalangan rakyat malah diskriminasi bantuan kerajaan berlaku secara berleluasa.

Populasi Xinjiang adalah sekitar 18.5 juta (data tahun 2000). Uygur adalah pribumi asal sebanyak 446.5% populasi manakala Han adalah sebanyak 38.7%. manakala kaum minoriti lain adalah seperti Kazakh, Rusia, Hui (China islam), Mangolia, Uzbek, Tatar, Manchu, Daur dan Xibe.

Sebelum tahun 1949, populasi Uygur adalah sebanyak 75% dan bilangan ini semakin berkurangan akibat polisi China untuk membawa etnik Han menduduki wilayah itu serta mencetuskan kejutan budaya, pertembungan norma sekaligus menghilangkan tradisi Islam di wilayah muslim tersebut.

Polisi China dengan satu kerja komprehensif untuk mensekularkan Uygur, menghapuskan Islam terserlah. Malah China kononnya cuba mengikuti kempen anti pengganas Bush apabila menahan 1300 penduduk Xinjiang menjelang Sukan Olimpik China pada taun 2008. Menurut Procuratorial Daily, tangkapan ‘rahsia’ pihak China adalah bertujuan menjaga keamanan. Siksaan dan deraan yang dilakukan oleh polis China jarang sekali dihebahkan kerana komunis memiliki 1001 cara penyeksaan yang tidak masuk di akal manusia.

Jika dahulu penindasan terhadap etnik ini atas dasar menghapuskan Islam dan mengkomuniskan semua rakyat, hari ini China telah jauh melaksanakan dasar liberalisasi ekonominya seiring kempen Amerika Syarikat sekaligus memerangi ‘pengganas’ sepertimana yang diajar oleh barat. China kini mengalami perkembangan ekonomi terbaik dunia, justeru perlu menghilang semua ketegangan dalamnnya termasuk isu Uygur ini demi menjadi jaguh ekonomi dunia. Di saat Amerika mengalami kejatuhan ekonomi serta kemuflisan beberapa syarikat automotifnya, China kini mengalami kenaikan 36.5% serta diramal oleh pihak Deutsche Bank bakal memegang ekonomi dunia menjelang 2015. Menurut Berita Harian 10 Julai 2009, China bakal mengambil alih Amerika Syarikat dalam perusahaan automobil serta akan terus berkembang. Tidak hairan, polisi China dalam menghadapi golongan pemisah dan kaum minoriti terutama Islam adalah sama sahaja dengan polisi Amerika Syarikat.

Muhammad Nuruddin Bashah

Jurutera Metallurgis

Sunday, July 19, 2009

Antara Stadium Runtuh Dan Pusat Akuatik Yang Ditutup


Bermulanya cuti mid sem selama seminggu insya Allah mungkin akan memberikan saya lebih banyak masa untuk menulis setelah sebulan menjadikan kerja mengupdate blog sebagai aktiviti pilihan terakhir dek kerana menyelesaikan komitmen lain. Banyak tajuk-tajuk yang senantiasa bermain di fikiran untuk saya berikan pandangan dalam blog ini.

Bpabila pulang ke negeri Terengganu kepala saya terlintas kepada peristiwa robohnya bumbung stadium sultan mizan zainal abidin dan penutupan pusat akuatik batu burok, kedua-duanya terletak di daerah kuala Terengganu dan dijadikan venue bagi sukan Malaysia 2008. Kos pembinaan stadium dianggarkan bernilai RM282 juta, berkapasiti 50,000 tempat duduk dan turut memuatkan gelanggang tertutup untuk prasarana bowling dan skuasy. Pusat akuatik yang sebelumnya merupakan kolam renang awam batu burok pula dinaiktaraf dengan kos RM18 juta.

Apa yang menjadi persoalan kepada banyak pihak ialah kenapa projek mega ini yang menelan kos yang begitu besar telah mengalami berbagai-bagai masalah sehingga mengakibatkan keruntuhan/ditutup setelah hanya lebih kurang setahun digunakan. Tidak diketahui adakah wujudnya sebarang penyelewengan dalam perlaksanaan projek ini tetapi yang pasti satu kezaliman yang sangat teruk telah dilakukan oleh mereka yang telah menggula-gulakan rakyat dengan projek mega ini untuk mendapatkan sokongan dalam pilihan raya umum ke12.

Bagi mereka yang tinggal di Terengganu pastinya melihat pacakan papan-papan tanda yang bertulis “"Nak stadium? Impian Kini Menjadi Realiti!" begitulah lebih kurang bait tertulis di atasnya. Pada papan tanda yang lain pula tertulis "Nak universiti? Nak lebuh raya? Nak lapangan terbang?" dengan gambar bayi yang terkapai-kapai seolah-olah menginginkan pembangunan tersebut. Papan-papan tanda inilah yang memasyhurkan projek mega tersebut.

Terengganu sebenarnya agak popular dengan istilah runtuh dan setelah berlakunya beberapa kes runtuh sebelum ini yang melibatkan antaranya makmal komputer dan bumbung sekolah, runtuhan stadium dan penutupan pusat akuatik tidaklah menghairankan sangat. Apa-apa pun, kita mengalu-alukan tindakan menteri besar terengganu yang mengumumkan penubuhan badan badan perunding bebas dari luar negara yang berkaliber dan berkemampuan bagi mengenalpasti punca keruntuhan stadium dan bersedia bekerjasama dengan sprm bagi menyiasat sama ada wujudnya sebarang penyelewengan dalam pembinaan stadium tersebut. Kita menunggu hasil penyiasatan dan diharapkan kes seperti ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan. Insya Allah..

Friday, July 10, 2009

Suara Rakyat Disahut: PPSMI Dimansuhkan!!!


8hb jun 2009, pukul 1.30 petang, saya membuka laman web malaysiakini dan membaca tajuk besar edisi bahasa melayu “mungkinkah ppsmi dimansuhkan?”. Isinya menyatakan satu jam lagi timb perdana menteri akan mengumumkan keputusan kabinet sama ada meneruskan ppsmi atau sebaliknya. Saya tertunggu-tunggu keputusan tersebut dan beberapa kali reload malaysiakini bagi melihat update terbaru. Sehingga 3 petang, masih belum ada khabar berita sehinggalah seorang sahabat datang dan memberitahu dpm baru sahaja selesai mengadakan sidang media mengumumkan pemansuhan berperingkat ppsmi sehingga 2012.

Melihatkan reaksi sahabat-sahabat lain yang tidak berapa kisah sama ada dasar ini diteruskan atau tidak sebenarnya langsung tidak memeranjatkan. Tetapi saya masih berpegang dengan keputusan kajian pakar-pakar akademik yang merumuskan ppsmi meningkatkan penguasaan bi sebanyak 4% sahaja (tujuan ppsmi dilaksanakan untuk meningkatkan penguasaan bi dalam kalangan pelajar) tetapi membunuh minat pelajar untuk meminati subjek sains dan matematik. Dan dasar ini merugikan 75% pelajar terutamanya luar Bandar yang berada dalam kategori sederhana dan lemah.

Diumumkan juga beberapa fakta yang sebelum ini gelap dan sengaja digelapkan iaitu guru-guru hanya menggunakan 50-58% sahaja masa yang mereka ini mengajar dalam bi. Selebihnya dalam bahasa ibunda atau rojak. Juga dijelaskan jurang keputusan peperiksaan antara pelajar Bandar dan luar Bandar dalam kedua-dua subjek ini semakin melebar sejak dasar ini dilaksanakan sejak 6 tahun yang lalu.

Itu belum lagi kita lihat dalam media alternative yang mana disiarkan luahan rasa guru yang menceritakan kesukaran melaksanakan dasar ini. Salah satunya saya terbaca dalam akhbar alternatif tentang kisah seorang guru dari rawang.Luahan sebegini tidak pernah disiarkan dalam media arus perdana. Apa yang disiarkan ialah keputusan peperiksaan awam yang senantiasa meningkat saban tahun dan seterusnya dibuat kesimpulan bahawa dasar ini mencapai kejayaan.

Apa yang menarik sebelum kerajaan memutuskan untuk memansuhkan dasar ini ialah kerajaan berjumpa dengan dato seri dr Mahathir untuk memberikan taklimat kepadanya tentang hasil kajian dan kelemahan dasar ini. Dan setakat ini respon dr Mahathir begitu negative sekali terhadap pemansuhan ini. Beliau melenting dan menyatakan majority berada di belakangnya. Sekarang beliau sedang membuat pungutan suara dalam blognya dan menyatakan beliau akan menyerahkan hasil pungutan suara ini kepada kerajaan.

Satu lagi persoalan ialah kerajaan mengambil masa 3 tahun untuk memansuhkan dasar ini sepenuhnya sedangkan dahulu kerajaan melaksanakan dasar ini 6 bulan sahaja tanpa sebarang kajian yang dilakukan.hemm..namun demikian, kita menghargai pemansuhan ini dan mengucapkan tahniah kepada kerajaan terutamanya tpm, tan sri muhyiddin yang menyatakan apakah maknanya pemansuhan ini untuk mendapat kepentingan politik di manik urai berbanding dengan masa depan anak-anak kita..syabas tpm!!!

Friday, July 3, 2009

Negaraku Penuh Dengan Rasuah


Saya tinggal dalam sebuah negara yang aman, makmur dan sejahtera. Rakyat pelbagai kaum hidup dalam keadaan yang aman walaupun kadang-kadang berkocak dengan isu-isu perkauman yang merupakan bom jangka yang mungkin meletup pada bila-bila masa tetapi sekurang-kurangnya pada permukaannya kehidupan berbagai kaum di Malaysia boleh dikatakan sangat cemerlang dengan setiap kaum dapat menerima dan hidup bersama kaum yang lain.

Tetapi ada satu kekesalan dalam hati ini bila mana reputasi dan nama negara Malaysia telah tercalar teruk dan menjadi terlalu busuk dek kerana najis rasuah yang membarah dalam masyarakat. Dan lebih malang lagi, gejala haram ini seolah-olah diterima sebagai suatu perkara yang normal. Istilah komisyen, duit kopi, politik wang dan berbagai-bagai istilah lagi menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia cuba mengharumkan bau busuk rasuah berbanding dengan memanggil sendiri gejala tersebut dengan nama rasuah.

Apabila diselak bahagian iklan dalam akhbar harian, akan sentiasa ada tawaran tender daripada kerajaan melalui jabatan kerja raya (jkr). saya yakin pemikiran semua orang pasti sama dengan pemikiran saya bahawa tender yang ditawar secara terbuka itu sekadar memenuhi syarat pengiklanan sahaja sedangkan sudah ditetapkan syarikat apa yang akan memenangi tender tersebut.

Peruntukan RM200 bilion dalam rancangan Malaysia ke9 memberi gambaran kekuatan ekonomi Malaysia yang mempunyai hasil mahsul dan rezab yang melimpah ruah tetapi berapa bilionkah yang sampai ke tangan mereka yang benar-benar memerlukan. Atau setelah melalui beberapa peringkat (birokrasi), sebahagian besar habis disapu di tengah jalan.

Wikipedia melaporkan dari segi indeks persepsi rasuah (CPI) yang dinyatakan oleh transparency international, Malaysia berada di tempat ke-23 pada 1995 tetapi merosot ke kedudukan 36 pada 2001, ke-33 pada 2002, 37 (2003), 39 (2004), 39 (2005), 44 (2005) dan 43 pada 2007.

Indeks persepsi rasuah Malaysia tahun 2008 kekal di paras 5.1, sama seperti tahun 2007, tetapi di kedudukan 47. Denmark, new Zealand, dan Sweden berkongsi mata tertinggi iaitu 9.3, diikuti singapura dengan 9.2 mata. Somalia pula mencatatkan mata yang paling rendah iaitu 1.0, manakala Iraq dan Myanmar mencatat 1.3 mata dan Haiti 1.4 mata.

Indeks persepsi rasuah inilah yang menjadi ukuran kepada pelabur asing untuk membuat keputusan sama ada datang melabur ke sesebuah negara ataupun tidak. Teruknya negara tersebut dalam persepsi rasuah bermaksud dalam fikiran mereka banyaklah birokrasi dan banyaklah peringkat komisyen yang terpaksa mereka lalu. Walaupun pemimpin negara kita menyatakan itu sekadar persepsi dan bukannya ukuran sebenar tetapi persepsi memainkan peranan sangat penting dalam menentukan tindakan manusia terhadap subjek yang dipersepsikan oleh mereka.

Bidang kejuruteraan dan kepolisan menerima kesan yang sangat buruk akibat persepsi ini. Pernah saya mendengar cemuhan orang ramai apabila melihat polis trafik yang meronda “haa…polis tu nak pegi cari rasuah la tu”. Dan harga mereka begitu murah kerana dikatakan dapat melepaskan seseorang daripada disaman hanya dengan menghulurkan RM50 sahaja. Jurutera sebagaimana yang kita bincangkan tadi, pastinya perlu membayar komisyen kepada pihak-pihak tertentu dalam kerajaan atau swasta untuk mendapatkan projek.

Itu belum dibincangkan lagi tahap penguatkuasaan oleh suruhanjaya pencegahan rasuah Malaysia (sprm) yang baru sahaja dinaikkan taraf kepada sebuah suruhanjaya daripada sekadar menjadi sebuah badan pencegah rasuah (bpr). Pada awalnya kita berharap sprm lebih bertaring dalam menangkap perasuah terutamanya jerung-jerung besar tetapi setelah hampir setengah tahun ditubuhkan, tiada apa-apa perubahan. Mungkin taringnya belum tumbuh dan perlu diasah menggunakan pengasah kuku. Hem… sprm sama sahaja dengan suruhanjaya hak asasi manusia dan suruhanjaya pilihan raya.

Ok, selesai apa yang terbuku dalam kepala setelah dua minggu tidak menulis.

Friday, June 26, 2009

Sekilas Pandang: Duniaku....


Hari ini kita sama-sama menerima berita kematian Michael Jackson. Alhamdulillah kematian ini berlaku beberapa bulan setelah dia memeluk Islam. Dan dia meninggal dalam keadaan muslim. Urusan hidup yang lain terserah kepada Allah untuk memberikan ketentuanNya. Moga-moga Allah memberikan keampunan dan rahmat kepadanya.

Minggu ini juga ketiga-tiga pemimpin tertinggi pakatan rakyat membuat pengisytiharan untuk menolak kerajaan perpaduan dan pada masa yang sama sanggup berdialog dan berbincang dengan pemimpin kerajaan berkenaan hal-hal ekonomi, kehakiman dan sebagainya. Dengan ini, tamatlah isu kerajaan perpaduan yang hamper-hampir menghancurkan pakatan rakyat sebagai alternative kepada barisan nasional.

Selaras dengan itu TG nik abdul aziz nik mat dalam sidang medianya turut menarik balik kenyataan supaya timb presiden pas, ust nasharuddin mat isa keluar dari pas dan menyertai umno. Ust nasha turut hadir dalam sidang media tersebut dan selepas itu kedua-duanya bersalam dengan ust nasha mencium tangan TG nik abdul aziz. Dengan ini berakhir juga pertelingkahan dua pimpinan tertinggi pas tersebut.

Negara kita turut berdepan dengan krisis penularan H1NI atau lebih popular dengan panggilan selsema babi. Setakat semalam, sudah 91 kes dilaporkan dan tiga sekolah telah ditutup. Dan salah satu sekolah tersebut terletak dalam kawasan petaling jaya ini. Berdekatan dengan kampus uia pj. Dan penularan virus ini sangat cepat dan saya kira keadaan sekarang mungkin lebih teruk berbanding ketika wabak JE melanda negara suatu ketika dulu.

Pemilihan presiden iran telah menyaksikan mahmoud ahmadinejad berjaya mempertahankan jawatannya dengan majority undi yang cukup besar melebihi 60 peratus berbanding Mir Hossein Mousavi yang sekadar mendapat undi lebih kurang 33 peratus. Walaubagaimanapun, calon presiden yang kalah mempertikaikan keputusan pilihan raya yang disifatkannya penuh dengan penipuan dan setakat semalam sudah 20 orang maut dan beratus-ratus cedera dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan.

Selatan Thailand terus bergolak dengan insiden terbaru penembakan mati 11 orang jemaah semasa solat isya’ di masjid Al-Furqan oleh 6 orang penyerang melalui 2 pintu. Bahkan mereka masih tidak berpuas hati lalu masuk ke dalam masjid dan melepaskan beberapa das tembakan lagi bagi memastikan mangsa benar-benar mati. Jumlah korban sejak tercetusnya konflik ini pada 2004 kini mencecah lebih 3700 orang.

Piala konfederasi pula memasuki kemuncaknya dengan USA dan brazil akan berentap dalam perlawanan akhir dalam kejohanan yang dianjurkan di afrika selatan. Kejutan terbesar berlaku apabila pasukan bukan pilihan, USA menundukkan juara eropah, sepanyol dengan 2-0 dan menamatkan rekod 15 kemenangan berturut-turut pasukan matador itu.

Cfs iium pj pula minggu ini menyaksikan banyak agm society dan club yang dianjurkan. Dan line-up foundation students coordination council (FSCC) telahpun diketahui. Tahniah dan takziah kepada adib farhan dan mohd hamidi zamri yang mengetuai fscc masing-masing di pj dan nilai. Tahniah dan takziah juga kepada rakan-rakan yang mengetuai society dan club. Ingatlah ini adalah amanah dan bukannya kemasyhuran. Laksanakanlah sebaiknya.

Saturday, June 20, 2009

Menelusuri MEDCY Sebagai Platform Untuk Pelajar HMS


Alhamdulillah, tanggal 17hb jun selesai pre-agm bagi medical sciences students’ society (medcy). Dan akan menyusul pula agm pada 26hb jun ini. Dan akan bermula lah secara rasminya gerak kerja bagi tenure baru baru 2009/2010. Perasaan yang bercampur baur bila mana dipertanggungjawabkan untuk memegang amanah membimbing sebuah society yang cukup besar yang menaungi course medic, pharmacy, dentistry, allied health science dan nursing dengan keseluruhan bilangan pelajar sekiranya dicampur pelajar 1st dan 2nd year hampir mencecah 1000 orang dan kamilah nanti yang akan menjadi majoriti yang menguasai kampus uia kuantan.

Tahniah dan takziah kepada semua yang sedang memegang dan bakal memegang amanah kepimpinan, ingatlah kepimpinan bukannya suatu kebanggaan tetapi satu amanah yang mesti ditunaikan sebaiknya. Kelak kita akan dipertanggungjawabkan sama ada kita berusaha membimbing mereka yang berada di bawah kita kearah perkara-perkara baik ataupun kita telah membimbing mereka melakukan perkara-perkara mungkar yang semestinya mendapat kemurkaan Allah.

Medcy berperanan sebagai satu platform yang memberi ruang kepada semua palajar hms (health medical sciences) untuk melakukan apa-apa sahaja aktiviti dan program yang memberi manfaat kepada pelajar hms itu sendiri secara khusus dan kepada semua pelajar cfs iium pj umumnya.

Saya sendiri berpendapat iium sebenarnya cukup unik kerana di sini begitu subur sekali dengan aktiviti berpersatuan yang bukan sahaja dikuasai oleh mereka yang menuntut dalam jurusan undang-undang atau kejuruteraan sahaja, tetapi juga ramai pelajar yang kalau kita lihat di kampus-kampus lain sebagai pelajar yang disifatkan sebagai “ulat buku”, bergiat dengan sangat aktif di sini. Bahkan untuk tenure yang lepas fscc (foundation students coordination council – cm mpp di kampus lain), presidentnya ialah pelajar medic dan ramai line-up nya daripada pelajar hms.

Bersociety membolehkan kita mendapatkan sesuatu yang tidak kita dapat sekiranya kita sekadar menghadiri kuliah semata-mata. Dan melalui platform inilah sebenarnya peluang untuk terus melakukan praktikal terutamanya berkaitan dengan kemahiran mengurus, berkomunikasi, berfikir secara kritis dan kreatif dan banyak lagi perkara yang boleh diterokai dan sebenarnya inilah ilmu yang lebih dekat dengan kehidupan harian manusia secara praktikal.

Ilmu di dalam kelas diperlukan untuk kita mempraktikkannya dalam kerjaya dan profession selepas ini, tetapi ilmu bantu (softskill) merupakan ilmu yang akan kita guna dalam kehidupan seharian dan akan melengkapi apa yang dipelajari dalam bilik kuliah. Sekiranya dicampakkan ke tempat yang tidak kita pernah jejaki, untuk terus survive, kita perlukan kedua-dua ilmu tersebut. Pengetahuan dalam kelas sebagai teori yang membimbing hidup dan softskill sebagai pelaksana, pengurus dan penyeimbang. Wallahua’lam.

Sunday, June 14, 2009

Apa Yang Ada Di Luar Kampus Uia Pj???


Melihatkan keadaan geografi dan lokasi cfs iium pj, sebenarnya akan kita dapati bahawa kampus iium pj sangat strategik kerana di sekelilingnya terdapat tempat-tempat dan laluan istimewa yang menyebabkannya cukup istimewa bagi mereka yang “berjalan, melihat dan berfikir”. Untuk kali ini, saya akan membuat pendedahan eksklusif mengenai keistimewaan uia pj dari segi keadaan dan faktor luaran. Insya Allah sekiranya mempunyai kesempatan, saya akan mengulas keistimewaan lokasi dan bangunan-bangunan dalam kawasan uia pj itu sendiri.

Betul-betul di sebelah uia pj, sekadar dipisahkan oleh jalan kecil dua hala dan dua lorong setiap hala, terletaknya tarikan yang cukup besar kepada kira-kira 4000 pelajar (bukan angka tepat) di sini ialah pasar malam yang dijadualkan setiap petang dan malam selasa. Pasar malam yang mengunjur dari jalan besar dan masuk sehinggalah hampir dengan deretan bangunan kedai.

Antara gerai yang cukup menarik perhatian ialah gerai ayam bakar yang sentiasa melimpah ruahkan asap-asap berbau menyelerakan bagi menarik pelanggan, gerai buah-buahan yang penjualnya terdiri daripada abang-abang yang bersuara kuat dan melaungkan harga dan jenis buah yang dijual. Gerai menjual bahan makanan mentah terpakai dan gerai kunci menggunakan cara yang menarik dengan merekodkan suara mereka dan mengalunkannya berulang-ulang. Saya percaya semua pelajar uia pj pasti mengingati irama “kunci-kunci, bikin kunci, soci-soci, youto soci”. Begitulah lebih kurang bunyinya.

Kira-kira satu kilometer dari kampus, terletaknya apa yang dipanggi “fourtheen”. Saya pun tidak tahu betul ataupun tidak nama tersebut. Sangat istimewa apabila terdapatnya digital mall yang ramai students pj berkata lagi elok pergi digital mall berbanding low yat kerana apa yang ada di low yat turut dapat ditemui di digital mall. Laptop, henset, kamera dan berbagai-bagai alatan elektronik dijual di sini.
Di sini juga ada pasaraya, kedai roti, seven eleven, kedai mamak, mcdonalds, kfc, berbagai jenis bank, workshop kereta dan motor dan masjid bulat. Boleh dikatakan di sini bolehlah kalau nak beli apa-apapun. Tak perlu nak keluar kl.

Betul-betul bertentangan dengan pasar malam, terletaknya jaya one. Saya tidak tahu nak mengklasifikasikan apakah jenisnya jaya one ini. Ada beberapa blok dan tersusun dalam bentuk hampir bulat. Reka bentuknya agak eksklusif dan terdapat pokok palm yang menghisainya. Dahulu, hanya sedikit saha jedai yang dibuka di sini dan pelanggannya tidaklah ramai sangat. Tetapi, saban hari, makin banyak kedai yang dibuka dan bilangan pelanggan bertambah ramai.

Tarikan utama di sini tentunya cold storage yang menempatkan berbagai-bagai jenis makanan di sini. Macam pasaray besar jugak tetapi sayangnya kedudukannya di bahagian belakang jaya one. Tidak ramai yang menyedarinya. Saya pun baru sedar apabila kawan saya yang menjual sosej memberitahu saya beliau mendapat bekalan sosej daripada cold storage.

Fuss………panjang pulak nak menulis semua perkara yang terlintas dalam kepala. Takpelah, sekadar ringkasan, kampus uia pj terletak bersebelahan dengan university Malaya. Dekat dengan federal highway yang menuju ke kl dan shah alam. Dekat juga dengan bukit kiara dan berdekatan dengan highway yang tidak saya ketahui namanya. Tetapi yang pasti, kita boleh pergi ke kl, masjid wilayah, ipoh dan berbagai jenis jalan yang berbelit-belit. Kalau lalu pun sekadar ikut papan tanda sahaja dan sampailah ke destinasi yang hendak dituju.

Ok, selesailah tulisan saya kali ini. Mudah-mudahan memberi manfaat kepada kita semua…insya Allah.

Friday, June 12, 2009

Menanti Sinar Gagasan Kerajaan Perpaduan


Isu kerajaan perpaduan meletup kembali setelah presiden pas, dato’ seri tuan guru haji abdul hadi awang, yang sebelum ini telah menarik kembali cadangan ini kerana tidak dapat diterima oleh ramai pihak termasuklah pimpinan pas itu sendiri, terus mengutarakan gagasan ini kerana seperti yang dinyatakannya untuk membolehkan semua parti politik bersatu bagi menangani keadaan semasa terutamanya krisis ekonomi yang melanda dunia. Walaupun berkali-kali dinyatakan “pas tidak akan menyertai umno/bn”, namun gagasan ini masih belum dapat diterima walaupun yang mengagaskannya ialah presiden kepada pertubuhan tersebut.

Untuk rekod, kerajaan perpaduan bukanlah pas/pr bersama-sama dengan umno/bn selamanya, tetapi sekadar untuk menghadapi suasana yang cukup genting sekarang, dan selepas ini, bila tibanya pilihan raya umum ke-13, mereka akan kembali membunyikan “gendang perang” mereka untuk dipilih oleh rakyat sebagai kerajaan.

Terlalu banyak politicking yang berlaku sekarang sehinggakan rakyat berasa muak dan ini bukan tujuannya mereka memilih seramai 83 orang ahli parlimen pembangkang di parlimen. Mereka ingin melihat proses “check and balance” berlaku dan bukannya berlakunya hentam-menghentam, maki-memaki dan menculik wakil rakyat untuk mewujudkan kerajaan melalui pintu belakang.

Tidak kira pr atau bn yang nak mewujudkan kerajaan hasil daripada lompat parti, perlu diingat, perbuatan tersebut adalah sangat keji kerana mengkhianati kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara sah. Dalam hal ini, anwar Ibrahim cukup hipokrit kerana hendak melakukan agenda “16 september” tetapi apabila kerajaan perak dirampas dengan cara yang beliau sendiri rancangkan untuk menjatuhkan kerajaan di peringkat pusat, beliau melenting dan menuduh bn pengkhianat. Pada saya, kes yang berlaku di perak mungkin kaffarah daripada Allah dan tempiasnya turut mengenai pas yang bersama dalam pakatan dengan pkr.

Ahli politik sepatutnya berjiwa besar dan perlu ingat bahawa gaji mereka dibayar dengan duit rakyat dan kurniaan Allah. Maka khidmat mereka hendaklah terhadap rakyat dan kerana Allah.

Saya cukup tertarik dengan ucapan ustaz nasharuddin mat isa, timbalan presiden pas sewaktu merasmikan muktamar dewan pemuda pas baru-baru ini yang menyatakan pas dipandu dengan Al-Quran dan Sunnah dan kedua-duanya memandu pas untuk “tahu bila untuk berperang dan bila untuk berdamai”. Ucapan yang cukup bernas daripada beliau.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai mursyidul ‘am dan majlis syura ulama’ berperanan untuk melihat sama ada sesuatu keputusan yang dibuat oleh pas bertentangan dengan syara’ ataupun tidak. Tetapi tugas mursyidul ‘am dan majlis syura ulama’ bukan untuk melihat kemaslahatan dan strategi politik. Kemaslahatan dan strategi politik di bawah tanggungjawab presiden. Selagi tidak bertentangan dengan syara’ dan perkara tersebut berkaitan dengan strategi, serahkanlah kepada ahlinya dan kita percaya, sebagai orang yang terlibat di peringkat nasional, keluar masuk parlimen, menghadiri perjumpaan dengan pimpinan gerakan seluruh dunia, presiden cukup berpengalaman dalam hal ini.

Sekiranya Allahyarham Dato’ Onn Jaafar yang keluar umno kerana cadangan untuk membuka keahlian umno kepada bukan melayu ditolak oleh ahlinya sendiri itu masih hidup, mungkin dia akan berkata “nasib haji hadi sebijik macam aku”.

Selamat Berpengantin Baru Wahai Amir Rahmat....


Agak lambat saya mengupdate blog kebelakangan ini. Sekarang ini baru sahaja bukak semester baru dan kehidupan 2nd year saya yang baru bermula ini masih lagi dalam peringkat penstabilan. Benarlah sebagaimana kata Imam Hassan Al-Banna “kewajipan itu lebih banyak daripada masa”. Terlalu banyak perkara yang hendak kita lakukan dalam jangka waktu yang singkat sememangnya memerlukan kita memilih yang mana satu menjadi awlawiyyat yang perlu dijadikan keutamaan. Tanpa melupakan title sebagai “pelajar” dan aku datang ke cfs iium ini untuk “belajar”.

Tahniah kepada sahabat yang rapatnya dia dengan kami seumpama rapatnya adik-beradik sendiri. Sahabat ini bernama Mohd Nur Amir bin Rahmat yang telah mendirikan rumahtangga pada syawal yang lalu dan berwalimatul urus pada 7 Jun 2009 baru-baru ini. Pernikahan amir dan kak rohaizat (kedua-duanya ex-dq) berlangsung dalam keadaan baik dan selepas ini mereka berdua akan melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Tempat yang sama untuk kedua-dua mereka. Dan setakat yang saya tahu, amir mendapat support bagi melanjutkan pelajarannya. Alhamdulillah…murah rezeki ko amir..betullah firman Allah bagi yang nak berumahtangga bahawa sekiranya kita miskin, Allah akan mengkayakan kita dengan limpah kurniaNya.

Teringat saya sewaktu amir mengisytiharkan pernikahannya di hadapan kami, pada waktu itu kami berkumpul dalan satu kelas kat uia pj nilah…memang sangat2 terkejut. Bayangkan sahabat yang sama umur dengan kita (amir muda beberapa bulan daripada saya), bagitau “aku dah kahwin”..suasana dalam kelas tu pada waktu tu cukup best. Semua mula2 tergamam, keluarlah perkataan “sungguh ke?”…dan lepas kitorang diyakinkan oleh amir, semua menjerit “amir!!!........”.

Selamat pengantin baru amir, moga-moga bahagia hingga ke akhir hayat. Kami sentiasa doakan ko kt sini. Walaupun ko berkahwin dulu dan telah meninggalkan kami semua, tetapi percayalah, kami akan berusaha mengejarmu dan pasti ada di antara kami yang mengikut jejak langkahmu. Tunggu dan lihat.. sebagaimana yang ditulis oleh ahmad hisham (“ayah” kami) dalam blognya..”who’s next???”

Tuesday, June 2, 2009

Tazkirah Awal Sem: Hati ini.....


Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan insan untuk hidup dalam keadaan hati yang tenang dan sejahtera. Kegembiraan yang terpancar dalam perlakuannya bukanlah pengukur bahawa individu tersebut sedang berada dalam keadaan yang bahagia. Sudah jenuh buku-buku motivasi yang dibaca, kata-kata semangat diberi kepada diri, bermacam usaha yang dilakukan, tetapi ketenangan hati masih lagi belum dicapai. Di manakah silapnya???

Allah S.W.T telah menjanjikan kepada hambaNya bahawa mereka pasti akan diuji dan antara ujian tersebut ialah dicampakkan olehNya akan rasa tidak tenang dalam hati yang menyebabkan kita sentiasa merasa resah gelisah tidak keruan walaupun setelah difikir-fikirkan, sepatutnya ketidaktenangan itu tidak menganggu hati. Kenapa hati masih lagi tidak tenang walhal semuanya dalam keadaan baik?

Sebenarnya yang menyebabkan hati kita tidak tenang itu ialah kerana jauhnya hubungan kita dengan Allah. Allah lah yang mengawal hati-hati manusia. Dia berkuasa sama ada ingin mencampakkan rasa tenteram ke dalam hati manusia atau sebaliknya. Sebab itulah kita dapat melihat mereka yang miskin dan faqir, ramai di kalangan mereka hidup lebih tenang dan bahagia berbanding mereka yang dilimpahkan dengan kekayaan duniawi.

Hati yang tidak tenang merupakan petanda supaya hambaNya kembali mendekatkan diri dan menyerahkan seluruh kepercayaan kepada Allah. Supaya hamba tersebut sentiasa berzikir, membaca Al-Quran, mengunjungi masjid dan surau serta banyak perkara lain yang sebelum ini terabai dek kerana kesibukan duniawi.

Resah gelisah yang mendatangi hati ini merupakan tanda kasih Ilahi supaya hambaNya sentiasa bermuhasabah dan merenung kembali kesilapan dan dosa yang pernah dilakukan. Supaya direnungkan kembali niat yang kadangkala mungkin tercemar dengan tujuan-tujuan lain yang tidak selari dengan niat asal sebagai seorang da’ie dan pejuang agama Allah S.W.T.

Insya Allah, baiki hubungan denganNya, nescaya tenanglah hati dan perasaanmu…

Saturday, May 30, 2009

Hikayat Si Head Prep n Tech


Alhamdulillah, berakhir sudah ta’aruf week (tawe) bagi kemasukan adik-adik baru ke cfs iium. Fuss.... memang banyak pengalaman baru yang dapat ditimba sepanjang 11 hari berinduksi dan bertawe. Diri yang hina dina ini dipertanggungjawabkan untuk memegang head preparation and technical. Tak pernah seumur hidup kena pegang teknikal. Nak pasang lcd pun tak pandai. Setakat tau sikit-skit pasal microsoft word dan power point. Saya sampai sekarang terfikir apa kriteria yang ditetapkan untuk memilih seorang head preparation and technical. Takpelah, takdir Allah. Nanti di penghujung cerita ini baru kita nampak apa hikmahnya.

Mendapat panggilan telefon daripada abang hisham (assistant director of students activity department) sewaktu saya sedang menikmati keenakan makanan e-cafe, menyebabkan saya blur seketika. Keadaan menjadi makin teruk apabila berita ini tersebar begitu cepat dalam kalangan kawan-kawan dan setiap yang berjumpa saya membayangkan bahawa tawe kali ini pasti hancur kerana saya yang buta teknologi ini memegang head prep n tech. Teruk jugak kena gelak oleh kawan-kawan.

Tiada yang memahami hati ini. Saya pun bimbang jugak!!! Kalau dapat catering pun saya masih boleh terima walaupun kali terakhir saya memegang catering, nasi peserta jamuan tak cukup. Sekurang-kurangnya pengalaman itu ada. Biasanya dalam apa-apa program saya akan pegang pc dan bukannya teknikal sebab orang di sekeliling memang tahu saya ini tak pandai langsung bab teknologi. Saya pun terfikir jugak apa la akan jadi tawe kali ini...hancur gamoknye..

Mesyuarat pertama management committee, saya blur. Tak tahu nak cakap apa. Saya mencuba nasib untuk minta ditukarkan post tetapi tidak berjaya. Abang hisham bagitau sebab saya dipilih prep n tech sebab ada public relation yang baik untuk deal dengan staff. Banyak kerja prep n tech ini yang memerlukan komunikasi antara committee staff dan committee student. Tak apalah, saya pakai je alasan itu. Walaupun masih lagi timbul persoalan dalam kepala “apa kaitan public relation dengan prep n tech?”

Mendapat ahli biro seramai 46 orang, antara yang teramai, menyebabkan saya agak kaget. Ramai yang belum saya kenal walaupun yang dari cfs iium pj. Sebelum perjumpaan biro persoalan “apa aku nak buat ni?” selalu datang dalam kepala. Bukak fail tenure lepas punya prep n tech, ada action plan dan master plan. Ok, maka ikutlah saya akan flow sebagaimana dalam fail tersebut. Antara benda lain yang dibuat ialah membahagikan ahli biro kepada 7 group dan menempatkan mereka ke setiap venue yang terlibat untuk tawe. Macam aku ni pc pulak nak buat-buat group.

Keluar masuk iium properties (ip), maintainance dan IT department (itd) menjadi rutin harian sepanjang 11 hari. Dapat kenal ramai staff yang sebelum ini cuma terserempak di tepi jalan sahaja. Best jugak sebenarnya bekerja dengan diorang, Cuma masalah blur time ditanya pasal prep n tech tu masih lagi menjadi penyakit kronik saya. Tiap kali rakan committee tanya tentang equipment tertentu, ayat paling popular yang akan saya respon ialah “saya akan pastikan benda tu ada”. Walhal sebelum itu saya tak tau pun benda itu kena disediakan.

Antara peristiwa yang paling saya tak dapat lupakan sewaktu berkomunikasi dengan madam siti humaiyah (deputy dean students activity department) sewaktu menyiapkan pentas di padang cfs. Saya ditanya oleh madam “muntaqim, ni portable ke permanent pa system?”. Saya reply “mana saya tau, madam”. Dia tanya balik, “kan awak prep n tech?”. Lantas terpacul keluar ayat kurang sopan depan madam “saya tak mintak pun prep n tech”. Madam tengok pelik je kat saya time tu. Mungkin tak dapat nak reply jawapan jujur saya tadi. Last-last, madam bantai saya dalam meting pc sebab menjawab macam tu kat dia. Dia mintak pc ketuk saya sikit..semua pc dalam tu gelak je kut sebab diorang semua tau akibat meletak ‘abdul muntaqim jadi prep n tech. Sori banyak-banyak madam. Saya tak berniat apa-apa pun nak cakap macam tu. Sekadar respon spontan yang jujur.

Sepanjang tawe saya tidak berada di satu venue sahaja tetapi kena berjalan dan memantau setiap venue. Agak letih sebenarnya untuk round semua venue daripada amf, anx, seminar room, lha&lhb, block e, smawp, sm, field dan ukc1. Pengalaman lenguh kaki ini saya yakin turut dirasai oleh semua committee yang lain. Balik bilik je dah pening kepala. Nasib baik ada sahabat yang memahami. Boleh mintak dia tolong urut kepala.

Menyusun kerusi, mengangkat meja, memasang screen dan lain-lain kerja teknikal sebenarnya merupakan pengalaman dan ilmu baru yang cukup berharga. Walaupun pekerjaan belakang tabir ini kadangkala dipandang rendah oleh sesetengah orang, tetapi kalau tidak ada yang mebuat kerja ini, masakan sesebuah event itu dapat dijalankan dengan jayanya. Sebagaimana stokin, kalaulah tidak ada orang yang bekerja di kilang stokin kerana takut dihina, pasti semua orang tidak dapat memakai stokin pada hari ini. Saya cukup panas apabila ada yang cakap pada saya macam ni “oo...prep n tech, patut la tadi nampak angkat kerusi”. Dengan nada yang cukup tidak menyenangkan. Apa hina sangat ke buat kerja macam tu? Saya tak terkejut kalau orang yang berfikiran macam ni tak dapat kerja selepas habis belajar sebab nak tunggu kerja yang setaraf dengan kelulusannya. Patut la ramai graduan yang menganggur.

Saya cukup bertuah kerana mendapat ahli biro yang cukup komited dan sporting.
Sejujurnya inilah post yang saya paling tak serius sewaktu memegangnya (bukan tak serius kerja tetapi tak serius perwatakan). Saya pun tak tau kenapa jadi camtu. Mungkin sebab dapat ahli-ahli yang sporting kut. Apapun, tahniah kepada ahli biro kerana keberjayaan menjayakan tawe ini. Allah sahaja yang boleh membalas jasa-jasa kalian.

Alhamdulillah, sepanjang tawe tidak ada sebarang masalah besar yang berlaku. Yang ada cuma masalah-masalah biasa yang dapat diselesaikan. Penghargaan setinggi-tingginya kepada assistant saya, umizatul khaliesah samian yang cukup cekap dan aktif. Banyak masalah yang dapat diselesaikan dengan kecekapan dia. Tak lupa kepada adib farhan dan nik nur ‘amirah sebagai s/u biro yang setia mencatat dan menyimpan rekod.

Selepas berakhirnya tawe, semua management committee disediakan satu sampul surat untuk diletakkan komen oleh committee yang lain. saya mendapat komen yang cukup banyak dan ada yang positif dan tidak kurang juga yang negatif. Agak mendownkan juga apabila membaca komen negatif tetapi itulah komen yang jujur sebenarnya. Tambahan pula saya baru 1st time jadi prep n tech. Head pulak tu. Mestilah banyak kekurangan pada diri ini. Kalaulah orang yang baru pertama kali memegang sesuatu post dan dia berjaya menjalankan tanggungjawab dengan sempurna, nescaya semua orang atas muka bumi ini akan menjadi orang yang berjaya. Terima kasih kepada semua. Insya Allah saya akan cuba memperbaiki diri.

Pengalaman yang sangat bernilai apabila menjadi prep n tech. Faedah langsungnya bila mana saya mendapat pengalaman berkaitan dengan kerja-kerja teknikal yang sebelum ini menjadi ketakutan bagi saya. Mungkin selepas ini saya akan lebih berani untuk memasang lcd dan laptop. Saya juga tidak serik untuk memgang post ini selepas ini. Why not?

Faedah secara tidak langsungnya apabila berada dalam barisan management committee, saya berpeluang bersama dengan kepimpinan tertinggi yang menjayakan tawe yang terdiri daripada staff dan student. jadi saya dapat kenal dengan beberapa orang staff penting di cfs iium pj ini yang tidak saya kenali sebelum ini. Elok belok pengurusan yang agak kompleks juga dapat saya timba sedikit sebanyak. Walaupun saya prep n tech, tetapi saya turut mendapat sedikit pengetahuan bagaimana kerja pc, registration, examination, security dan lain-lain. Dan banyak lagi faedah lain yang saya dapat yang memberi kebaikan kepada emosi, fizikal, pemikiran dan lain-lain yang agak bersifat peribadi.

Kita merancang, Allah merancang. Tetapi perancangan Allah lah yang terbaik. Qada’ baik dan qada’ buruk yang berlaku kepada kita, sebenarnya semua baik untuk kita. Sekali lagi terbukti dalam hidupku...

Tuesday, May 19, 2009

Terengganuku Sayang


Negeri asalku terengganu. Saya dilahirkan di negeri yang cukup istimewa. Negeri yang menjadi tempat menetap bagi 17 tahun paling awal dalam hidup saya sebelum saya meninggalkan negeri ini untuk melanjutkan pelajaran ke Darul Quran. Jadi kali ini saya hendak menceritakan serba sedikit tentang negeri yang namanya cuma satu patah perkataan sahaja dan berhuruf paling banyak dalam perkataan tersebut berbanding nama negeri-negeri lain.

Mempunyai loghatnya yang tersendiri yang mana tidaklah sepopular loghat orang utara ataupun kelantan, tetapi lebih popular berbanding loghat negeri sembilan, melaka, johor dan negeri-negeri lain. Loghat utara dan kelantan lebih popular kerana banyak movie dan rancangan televisyen yang menggunakan loghat ini. Mana ada rancangan yang menggunakan bahasa terengganu??? Kalau adapun Cuma salam pantai timur. Itu pun agak tenggelam berbanding loghat kelantan. Loghat terengganu selalu dikutuk oleh orang luar tetapi indah dan unik sebenarnya pada pendengaran orang terengganu.

Negeri yang popular dengan keropok lekor dan nasi dagang. Keropok lekor yang paling popular ialah keropok lekor losong. Tetapi pada perasaan lidah saya, keropok losong bukanlah keropok yang paling sedap. Losong popular kerana kedudukannya strategic berdekatan dengan bandaraya kuala terengganu. Tetapi sebenarnya keropok yang paling best pada lidah saya terletak di kampung mengabang lekor. Tengok nama pun dah tau kampung ini penuh dengan industri keropok lekor. Nasi dagang pulak saya kurang tahu macam mana pembuatan nasinya kerana saya ini specialist dalam memakan dan bukannya memasak, Tetapi yang pasti nasi ini berlaukkan ikan gulai.

Cukup popular dengan pulau-pulau peranginan dan tasik buatan manusia terbesar di asia tenggara iaitu pulau kapas. Pulau kapas, redang dan perhentian memang indah laut dan pantainya dengan khazanah yang berharga. Tasik kenyir pula merupakan syurga memancing dan tempat berkhemah yang cukup best.

Keistimewaan lain terengganu yang tidak sempat saya ulas secara terperinci: negeri asal DYMM Sultan Mizan Zainal Abidin, YDP Agong sekarang, satu-satunya negeri semenanjung yang mempunyai sumber petroleum, negeri tempat bertelur 4 spesies penyu dan muzium terbesar di Malaysia. Tidak lupa juga kepada masjid kristal, taman tamadun islam dan kejohanan monsun cup.

Menjadi rebutan dua parti utama iaitu umno dan pas. Pas pernah menguasai terengganu antara 1959-1961 dan 1999-2004. Bakinya dikuasai umno yang keseluruhannya lebih 40 tahun mentadbir terengganu tetapi negeri ini sentiasa meriah dengan persaingan kedua-dua parti. Penduduknya didominasi oleh orang melayu yang membentuk 90% daripada keseluruhan penduduk. Kedudukan kerusi dun sekarang UBN jauh meninggalkan PAS dengan kedudukan 24-8

Tokoh politik kerajaan yang paling tinggi dalam sejarah terengganu ialah tan sri wan mokhtar ahmad yang pernah menjadi naib presiden umno dan menteri besar terengganu lebih kurang 25 tahun. Terengganu tidak ada wakil yang pernah menjadi timbalan perdana menteri ataupun perdana menteri. Tokoh pembangkang yang paling masyhur pula tidak syak lagi dato’ seri tuan guru haji abdul hadi awang yang sekarang ini merupakan presiden pas, ahli parlimen marang dan adun rhu rendang. Sudah pasti tuan guru akan diberikan peranan yang sangat penting sekiranya pakatan rakyat membentuk kerajaan pada masa akan datang.

Menteri belia dan sukan sekarang, dato ahmad shabery cheek merupakan ahli parlimen kemaman. Tetapi sebenarnya tokoh dari terengganu kurang menonjol di peringkat pusat dan sekadar menjadi menteri biasa sahaja. Di pihak pas pula terengganu telah melahirkan tokoh-tokoh yang cukup hebat seperti dato’ muastafa ali yang pernah menjadi ketua pemuda pas selama 7 penggal dan naib presiden pas selama 8 tahun. Dato’ harun taib sebagai bekas ketua dewan ulama dan selepas muktamar ini akan kembali memegang jawatan tersebut. Dato’ abu bakar chik juga pernah menjadi ketua pemuda pas untuk 5 penggal.

Saya sendiri pula cukup berasa bertuah dilahirkan, dibesarkan dan menjelajah ke seluruh alam dengan bertitlekan orang terengganu. Mungkin saya akan berkerjaya dan berumahtangga di bumi dan dengan orang daripada tempat tumpah darah saya. Apa-apapun, negeriku cukup best…………..

Friday, May 15, 2009

Politik Malaysia Yang Gila...


Setakat seminggu “puasa” menulis, banyak perkara yang saya terlepas untuk diulas dalam blog ini. Daripada episod peperangan dalam dun perak 7 mei, keputusan mahkamah tinggi 11 mei, hari umno 11 mei, penangguhan keputusan mahkamah 12 mei, menteri besar 21 jam, peluang kenaikan pangkat kepada lebih 170,000 kakitangan sokongan dan yang terbaru kesediaan PM untuk berjumpa pimpinan pakatan berkenaan isu perak. Hem...nampaknya isu perak sekali lagi menjadi perhatian seluruh umat manusia di malaysia.

Adakah politik malaysia sudah gila? Adegan pergaduhan dalam parlimen yang sebelum ini sekadar kita lihat berlaku di parlimen luar negara seperti taiwan, kini berlaku di perak. Negeri yang dua tahun dulu Umno/barisan nasional (UBN) begitu perkasa sekali dan pastinya kita tidak terbayang di minda keadaan sedemikian akan berlaku.

Insiden tendangan adun umno di kelantan tidaklah mengejutkan kerana umum rakyat mengetahui pergolakan negeri kelantan tidak pernah pudar walaupun sekejap. Tembakan rambang polis yang mengenai dua orang awam sewaktu ceramah di terengganu pun tidak mengejutkan sangat dek kerana persaingan sengit UBN dan Pas di negeri ini. Kedah pun kalau berlaku perkara seperti ini, kita sekadar menggeleng kepala tanpa ulasan lanjut sebab tak terkejut. Tetapi bila mana perkara ini berlaku di perak, semua orang jadi ghairah. Dan tak kurang juga ramai yang menyampah.

Kegilaan diteruskan apabila mahkamah tinggi kuala lumpur memutuskan DS nizar sepanjang masa merupakan MB perak dan bukannya Dato Zambry. Semua orang hatta mereka yang menyokong pembangkang turut terkejut kerana tidak menyangka mahkamah yang selama ini kelihatan tunduk di bawah telunjuk penguasa, membuat keputusan seberani itu. Kegembiraan UBN yang berjaya “menawan” kerusi speaker dun perak lenyap dan seolah-olah tidak bermakna lagi.

Menteri besar, DS nizar menjalankan urusan selaku menteri besar perak selama 21 jam. Sangat pelik melihatkan orang yang dianggap penderhaka tiba-tiba hadir ke istiadat penganugerahan pingat kebesaran perak, menjadi tetamu kehormat, duduk di kerusi yang dikhaskan untuk menteri besar dan lebih memeningkan lagi, menjadi pengiring kepada raja muda perak.

Petang hari yang sama, 12 mei, mahkamah memutuskan menangguhkan pengisytiharan yang dibuat oleh mahkamah tinggi semalam. Lalu baliklah Dato’ zambry ke puncak kuasa. Penangguhan tersebut dibuat oleh mahkamah setelah hanya satu jam permohonan dibuat oleh pihak UBN. Wartawan pun ikut pening sekali sehinggakan wartawan tidak tahu yang mana satu antara DS nizar dan Dato’ zambry yang hendak ditittlekan bekas mesteri besar.

Walaubagaimanapun, episod politik malaysia yang makin gila ini akan diteruskan sehinggalah kuasa rakyat dikembalikan pada pilihan raya umum ke-13 nanti. Sekitar tahun 2012 mungkin. Pada waktu itu, saya dan rakan-rakan seangkatan sudah layak mengundi. Apa-apapun, kita sebagai pemerhati bebas, sambil belajar marilah kita bersama-sama memerhatikan sepak terajang politik ini. Mungkin zaman inilah sejarah paling banyak dicipta. Jom kita menonton.....

Taaruf Week Datang Lagi!!!


Fuhh....dah lama tak update blog. Berehat seminggu sebab nak hadapi final exam. Alhamdulillah, semua selesai dengan baik. Harap-haraplah result yang keluar nanti pun macam tu jugak. Minggu depan ta’aruf week akan bermula. Adik-adik baru akan menjejakkan kaki ke cfs iium. Semoga generasi yang akan datang ini merupakan generasi yang baik.

Status sama ada batch akan datang ini dipendekkan tempoh pembelajaran ke setahun ataupun kekal dua tahun masih lagi menjadi tanda tanya. Ramai lecturer yang menyatakan silibus sudahpun siap. Maksudnya silibus sebelum ini telahpun dipadatkan dan disesuaikan untuk tempoh setahun. Walaubagaimanapun, setelah ditanya, bro fadzil daripada department of science menyatakan sebenarnya pihak cfs iium tidak mempunyai sebarang perancangan untuk memendekkan tempoh pembelajaran kepada setahun.

Tadi saya baru sahaja ke administration&record untuk menanyakan hal ini. Staff di situ bagitau untuk kemasukan kali ini kekal dua tahun tetapi untuk yang akan datang akan dipendekkan kepada dua tahun. Nampaknya ada percanggahan fakta di situ. Cuma saya merasakan tidak mungkin kemasukan kali ini akan menjadi setahun sahaja.

Takkanlah pihak cfs iium nak membuat suatu keputusan yang besar dengan tergesa-gesa. Kalau kita melihat khilaf yang berlaku, rasanya mustahillah keputusan besar macam ini akan dibuat mendadak sedangkan lecturer, department dan administration masih lagi terpinga-pinga.

Tapi yang pasti, taaruf week kali ini mestinya meriah kerana kehadiran kawan-kawan daripada nilai. 17/5 ini hari pendaftaran comittee dan dengarnya 23hb ini pendaftaran adik-adik baru. Nampaknya sejarah akan berulang kembali. Kalau dahulu kami sebagai peserta kena mengulang-ulang nyanyian lagu cfs, bacaan ikrar dan mendengar taklimat-taklimat yang banyak, kali ini kami lah yang akan menghandle semua perkara tersebut.

Kepada yang menjadi committee, laksanakanlah tugas dengan sedaya upaya. Berilah first impression yang baik kepada adik-adik dan ibu bapa mereka. Bukan mudah nak dapat pengalaman handle ta’aruf week. Jom kita meriahkan ta’aruf week kali ini!!!!

Wednesday, May 6, 2009

Paksalah Diri Anda, Nescaya Anda Akan Dekat Dengan Allah.


Penyakit yang sering bermain dalam kalangan sesetengah rakan-rakan kita (tak kira di mana-mana pun, temasuklah di cfs iium) dan mungkin kita sendiri, menunggu supaya datangnya ikhlas dahulu kemudian barulah hendak beramal. Justeru, ayat seperti “kalau aku tutup aurat pun tapi terpaksa, apa gunanya?” atau “sembahyang kat masjid tapi sebab kena paksa buat apa?” selalu kita dengar. Kadang-kadang kita pun naik pening. Lalu tinggallah orang yang sedemikian menunggu hidayah Allah tanpa membuat apa-apa usaha bagi mendapatnya.

Perkataan ”kalau buatpun tapi tak ikhlas” seringkali digunakan bagi menghalalkan tindakan-tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seseorang yang bertitle muslim. Seolah-olah kalaulah hidayah/keikhlasan itu tidak datang, selama-lamanya mereka akan kekal dalam keadaan sedemikian. Bukannya tidak ada yang menasihati, ramai, tetapi tidak sampai seru, menyebabkan mereka sentiasa beralasan untuk tidak melaksanakan suruhan Allah.

Sepatutnya kitalah yang berusaha menggerakkan diri kita bagi mendapatkan redha Allah. berlumba-lumbalah mengejar kebaikan. Paksalah diri dengan apa cara sekalipun. Lawanlah sikap lemah dan malas dalam diri. Sebagaimana kita memaksa diri untuk study bagi mendapatkan kejayaan dalam peperiksaan walaupun dalam keadaan yang begitu berat sekalipun, begitulah juga kita ini dalam merebut kurniaan daripada Allah.

Kadang-kadang keikhlasan itu akan datang lama setelah kita melakukan sesuatu amalan tersebut. Pada mulanya kita tidak ikhlas memikirkan paksaan dan beratnya hati ini dalam mengikut suruhan Allah. tetapi tanamkan dalam hati “aku buat ini semata-mata mengikut perintah Allah”. walaupun berat, tetapi percayalah, lama-kelamaan, rasa malas dan berat tersebut akan diganti dengan rasa kemanisan dalam beribadat dan melakukan suruhan Allah.

Iman manusia bertambah dan berkurang. Bukan seperti malaikat yang sentiasa maintain tahap Iman mereka. Bukan seperti para Nabi dan Rasul yang sentiasa bertambah tetapi kita adalah manusia yang tidak terlepas daripada godaan syaitan dan nafsu. Kadang-kadang kita melakukan suruhan Allah dengan penuh rasa khusyu’ dan merasai kemanisannya, tetapi ada ketika yang lain kita merasa kosong, tidak ada makna dan seolah-olah ibadah yang nampak dari segi perbuatan, tetapi tidak meresap ke hati.

Namun, beristiqamahlah walaupun dalam keadaan susah atau senang, suka atau terpaksa. Haraplah redha dan keampunan Allah di atas kelemahan kita sebagai insan yang lemah. Tetapi janganlah sekali-kali kerana tidak merasai kemanisannya (atau tidak datangnya keikhlasan) menyebabkan kita terus lari dan meninggalkan kewajipan tersebut.

Paksalah diri untuk melakukan kebajikan. Paksalah diri untuk solat. Paksalah diri untuk menutup aurat. Paksalah diri untuk berzikir. Paksalah diri untuk berakhlak mulia.paksalah diri untuk menjaga batas-batas pergaulan. Paksalah diri untuk mentadabbur Quran. Paksalah diri untuk berjihad.

Paksalah diri anda, nescaya anda akan dekat dengan Allah.

Tuesday, May 5, 2009

Antara Cafe Ukc, Aika dan E-Cafe: Manakah Pilihan Hati?


Kadang-kadang kita perlu juga membicarakan perkara yang santai-santai. Hidup kita ini kebanyakannya diisi dengan perkara yang memberatkan kepala. Sakit kepala dibuatnya apabila 24 jam hidup di cfs iium ini sekadar diwarnai oleh timbunan buku tebal, assignment, tutor dan yang paling menakutkan ialah menanti saat-saat datangnya quiz yang cukup marabahaya walaupun sekadar 20 minit.

Manusia dapat hidup beberapa bulan sekiranya tidak makan tetapi hanya beberapa hari tanpa air. Betapa besarnya peranan makan dan minum dalam kehidupan makhluk yang bernama manusia. Dalam habitat sesebuah spesies, pasti ada tempat yang khusus bagi menjalani proses makan dan minum. Padang ragut ialah tempat yang paling popular.

Sedangkan haiwan pun memerlukan sumber makanan, apatah lagi kita sebagai manusia. Syukurlah kerana di cfs iium ini terdapat banyaknya cafe yang menjadi destinasi bagi mereka yang memerlukan makanan. Antara yang popular dalam kalangan brothers ialah Cafe ukc, Aika Cafe di abc dan E-Cafe berdekatan dengan Smawp. Di sebelah sister tidaklah saya ketahui citarasa mereka. Tetapi terdapatnya sister yang menjadi pelanggan tetap Cafe ukc.

Pemilihan cafe bagi brothers diukur melalui beberapa aspek. Berdasarkan pemerhatian, aspek harga berada di tempat yang pertama. Penulis berpendapat dua aspek ini dimenangi oleh Aika dan E-Cafe. Dialog popular yang biasa diungkapkan oleh mereka yang memilih kedua-dua cafe ini ialah “jom gi makang kat aika”, ujar seorang brothers yang berasal dari terengganu. “doh wakpo pulok mu ni?”, balas rakannya yang lahir dan menetap di kelantan. “doh muroh, pier hok takmboh makang mende muroh”, orang yang pertama membalas balik.

Kesedapan dan kesegaran mungkin menjadi aspek utama bagi mereka yang mementingkan kualiti tetapi brothers tidaklah berkira sangat soal ini. Apa yang masuk ke perut semuanya akan bercampur gaul. Rasa yang sedap tidak akan dirasa lagi setelah makanan masuk ke perut. Pada hemat penulis, Cafe Ukc lebih menyerlah dalam aspek ini. Walaupun sekadar sardin, masakan yang dihidangkan cukup kelihatan segar dan menarik minat. Udang dan sotong celup tepung walaupun muncul dengan tidak istiqamah, tetapi diminati oleh pelbagai lapisan umur.

Suasana, hiasan dan kebersihan walaupun tidak menjadi perkiraan sangat, namun tetap menyumbang ke arah kewujudan selera yang kondusif dan meransang sel-sel deria hidung dan lidah. Ketiga-tiganya seri. Tidak ada pemenang bagi aspek ini. Bukan kerana sudah bagus tetapi semuanya belum lagi menepati piawaian penulis. Diharap ketiga-tiga cafe ini dapat memperbaikinya pada masa akan datang.

Nasi dan lauk pauk walaupun sedap setara manapun tidak akan lengkap melainkan adanya air yang cukup “uummpphh”. Diukur berdasarkan warna, rasa, kuantiti dan harga, pemenangnya tidak syak lagi E-Cafe yang turut mendapat pujian lecturer. Melihat dari jauhpun sudah teruja. Apatah lagi ketika hari panas membakar, singgah sebentar, keluarkan duit kertas RM1 dan sekeping duit syiling 20sen, pilih sahaja air yang anda mahu.

Hemm...sekadar satu coretan santai. Tetapi inilah post yang paling saya teruja tatkala menaipnya. Mungkin ketiga-tiga tempat ini menjadi persinggahan harian sehingga 2 atau 3 kali sehari bergantung kepada kondisi, menyebabkan cafe-cafe ini dekat dengan hati saya. Kak Noni, Mak Cik Aika dan Abang E, jaga cafe anda baik-baik.

Kami harapkan harga yang murah, rasa yang sedap dan kebersihan yang terjaga. Dan yang paling utama mestilah halal dan baik. Halalan Tayyiba. Makanan beginilah yang akan menjadi penerang kepada kami yang menuntut ilmu sebagai bekalan untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi ini.