Friday, July 3, 2009

Negaraku Penuh Dengan Rasuah


Saya tinggal dalam sebuah negara yang aman, makmur dan sejahtera. Rakyat pelbagai kaum hidup dalam keadaan yang aman walaupun kadang-kadang berkocak dengan isu-isu perkauman yang merupakan bom jangka yang mungkin meletup pada bila-bila masa tetapi sekurang-kurangnya pada permukaannya kehidupan berbagai kaum di Malaysia boleh dikatakan sangat cemerlang dengan setiap kaum dapat menerima dan hidup bersama kaum yang lain.

Tetapi ada satu kekesalan dalam hati ini bila mana reputasi dan nama negara Malaysia telah tercalar teruk dan menjadi terlalu busuk dek kerana najis rasuah yang membarah dalam masyarakat. Dan lebih malang lagi, gejala haram ini seolah-olah diterima sebagai suatu perkara yang normal. Istilah komisyen, duit kopi, politik wang dan berbagai-bagai istilah lagi menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia cuba mengharumkan bau busuk rasuah berbanding dengan memanggil sendiri gejala tersebut dengan nama rasuah.

Apabila diselak bahagian iklan dalam akhbar harian, akan sentiasa ada tawaran tender daripada kerajaan melalui jabatan kerja raya (jkr). saya yakin pemikiran semua orang pasti sama dengan pemikiran saya bahawa tender yang ditawar secara terbuka itu sekadar memenuhi syarat pengiklanan sahaja sedangkan sudah ditetapkan syarikat apa yang akan memenangi tender tersebut.

Peruntukan RM200 bilion dalam rancangan Malaysia ke9 memberi gambaran kekuatan ekonomi Malaysia yang mempunyai hasil mahsul dan rezab yang melimpah ruah tetapi berapa bilionkah yang sampai ke tangan mereka yang benar-benar memerlukan. Atau setelah melalui beberapa peringkat (birokrasi), sebahagian besar habis disapu di tengah jalan.

Wikipedia melaporkan dari segi indeks persepsi rasuah (CPI) yang dinyatakan oleh transparency international, Malaysia berada di tempat ke-23 pada 1995 tetapi merosot ke kedudukan 36 pada 2001, ke-33 pada 2002, 37 (2003), 39 (2004), 39 (2005), 44 (2005) dan 43 pada 2007.

Indeks persepsi rasuah Malaysia tahun 2008 kekal di paras 5.1, sama seperti tahun 2007, tetapi di kedudukan 47. Denmark, new Zealand, dan Sweden berkongsi mata tertinggi iaitu 9.3, diikuti singapura dengan 9.2 mata. Somalia pula mencatatkan mata yang paling rendah iaitu 1.0, manakala Iraq dan Myanmar mencatat 1.3 mata dan Haiti 1.4 mata.

Indeks persepsi rasuah inilah yang menjadi ukuran kepada pelabur asing untuk membuat keputusan sama ada datang melabur ke sesebuah negara ataupun tidak. Teruknya negara tersebut dalam persepsi rasuah bermaksud dalam fikiran mereka banyaklah birokrasi dan banyaklah peringkat komisyen yang terpaksa mereka lalu. Walaupun pemimpin negara kita menyatakan itu sekadar persepsi dan bukannya ukuran sebenar tetapi persepsi memainkan peranan sangat penting dalam menentukan tindakan manusia terhadap subjek yang dipersepsikan oleh mereka.

Bidang kejuruteraan dan kepolisan menerima kesan yang sangat buruk akibat persepsi ini. Pernah saya mendengar cemuhan orang ramai apabila melihat polis trafik yang meronda “haa…polis tu nak pegi cari rasuah la tu”. Dan harga mereka begitu murah kerana dikatakan dapat melepaskan seseorang daripada disaman hanya dengan menghulurkan RM50 sahaja. Jurutera sebagaimana yang kita bincangkan tadi, pastinya perlu membayar komisyen kepada pihak-pihak tertentu dalam kerajaan atau swasta untuk mendapatkan projek.

Itu belum dibincangkan lagi tahap penguatkuasaan oleh suruhanjaya pencegahan rasuah Malaysia (sprm) yang baru sahaja dinaikkan taraf kepada sebuah suruhanjaya daripada sekadar menjadi sebuah badan pencegah rasuah (bpr). Pada awalnya kita berharap sprm lebih bertaring dalam menangkap perasuah terutamanya jerung-jerung besar tetapi setelah hampir setengah tahun ditubuhkan, tiada apa-apa perubahan. Mungkin taringnya belum tumbuh dan perlu diasah menggunakan pengasah kuku. Hem… sprm sama sahaja dengan suruhanjaya hak asasi manusia dan suruhanjaya pilihan raya.

Ok, selesai apa yang terbuku dalam kepala setelah dua minggu tidak menulis.

0 comments: