Sunday, July 19, 2009

Antara Stadium Runtuh Dan Pusat Akuatik Yang Ditutup


Bermulanya cuti mid sem selama seminggu insya Allah mungkin akan memberikan saya lebih banyak masa untuk menulis setelah sebulan menjadikan kerja mengupdate blog sebagai aktiviti pilihan terakhir dek kerana menyelesaikan komitmen lain. Banyak tajuk-tajuk yang senantiasa bermain di fikiran untuk saya berikan pandangan dalam blog ini.

Bpabila pulang ke negeri Terengganu kepala saya terlintas kepada peristiwa robohnya bumbung stadium sultan mizan zainal abidin dan penutupan pusat akuatik batu burok, kedua-duanya terletak di daerah kuala Terengganu dan dijadikan venue bagi sukan Malaysia 2008. Kos pembinaan stadium dianggarkan bernilai RM282 juta, berkapasiti 50,000 tempat duduk dan turut memuatkan gelanggang tertutup untuk prasarana bowling dan skuasy. Pusat akuatik yang sebelumnya merupakan kolam renang awam batu burok pula dinaiktaraf dengan kos RM18 juta.

Apa yang menjadi persoalan kepada banyak pihak ialah kenapa projek mega ini yang menelan kos yang begitu besar telah mengalami berbagai-bagai masalah sehingga mengakibatkan keruntuhan/ditutup setelah hanya lebih kurang setahun digunakan. Tidak diketahui adakah wujudnya sebarang penyelewengan dalam perlaksanaan projek ini tetapi yang pasti satu kezaliman yang sangat teruk telah dilakukan oleh mereka yang telah menggula-gulakan rakyat dengan projek mega ini untuk mendapatkan sokongan dalam pilihan raya umum ke12.

Bagi mereka yang tinggal di Terengganu pastinya melihat pacakan papan-papan tanda yang bertulis “"Nak stadium? Impian Kini Menjadi Realiti!" begitulah lebih kurang bait tertulis di atasnya. Pada papan tanda yang lain pula tertulis "Nak universiti? Nak lebuh raya? Nak lapangan terbang?" dengan gambar bayi yang terkapai-kapai seolah-olah menginginkan pembangunan tersebut. Papan-papan tanda inilah yang memasyhurkan projek mega tersebut.

Terengganu sebenarnya agak popular dengan istilah runtuh dan setelah berlakunya beberapa kes runtuh sebelum ini yang melibatkan antaranya makmal komputer dan bumbung sekolah, runtuhan stadium dan penutupan pusat akuatik tidaklah menghairankan sangat. Apa-apa pun, kita mengalu-alukan tindakan menteri besar terengganu yang mengumumkan penubuhan badan badan perunding bebas dari luar negara yang berkaliber dan berkemampuan bagi mengenalpasti punca keruntuhan stadium dan bersedia bekerjasama dengan sprm bagi menyiasat sama ada wujudnya sebarang penyelewengan dalam pembinaan stadium tersebut. Kita menunggu hasil penyiasatan dan diharapkan kes seperti ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan. Insya Allah..

0 comments: