Wednesday, September 29, 2010

Apabila Semua Pihak Tidak Mengaku Perkauman




Assalamualaikum WBT

Isu perkauman adalah sesuatu yang sentiasa popular dan menarik minat banyak pihak. Negara kita pernah mengalami peristiwa hitam rusuhan kaum 13 Mei 1969. Selepas itu pelbagai usaha dilakukan bagi mengembalikan keharmonian kaum namun setelah lebih 40 tahun berlalunya peristiwa berdarah itu, luka perkauman itu masih lagi belum pulih.

Namun yang menjadi kemusykilannya ialah setiap pihak menyatakan mereka bukan memainkan sentimen perkauman tetapi pihak lainlah yang perkauman sebenarnya. UMNO tuduh DAP perkauman. DAP kata MIC perkauman. MIC pulak tunding jari pada PAS. PAS alih-alih bagitau PERKASA yang perkauman. PERKASA pulak mendakwa NGO Cina yang perkauman, NGO Cina last sekali bagi balik label perkauman itu pada UMNO.

Begitu juga dengan media. Akhbar milik kerajaan kata media baru dan akhbar pembangkang yang sentiasa menyiarkan laporan berbau perkauman. Tetapi media baru dan akhbar pembangkang pulak bagitau yang perkauman sebenarnya media milik kerajaan. Last sekali timbul isu baru, siapa yang perkauman sebenarnya???

Bila timbul perkara ini, teringat pada cerita Budak Getah atau One Piece. Kerajaan Dunia kata nak memperjuangkan keadilan dan yang jahatnya sebenarnya lanun. Kerajaan Dunia bersungguh-sungguh nak dapat senjata pemusnah untuk menghapuskan lanun atas nama keadilan. Tapi lanun pulak bagitau yang jahat sebenarnya kerajaan dunia sebab nak bunuh lanun. Tiada takrif jelas apakah itu keadilan dan akhirnya maksud keadilan itu ditafsirkan oleh manusia sesuka hati.

Naruto pun sama. Dia bagitau nak memperjuangkan keamanan pada dunia ninja. Caranya ialah menghapuskan Kumpulan Akatsuki yang sekarang ini yang jadi kepalanya ialah Uchiha Madara. Akatsuki pula nak mengamankan dunia dengan keganasan. Diorang sekarang tengah kumpul jinchuriki untuk buat jutsu yang hebat. Last sekali cara nak mencapai keamanan menjadi tafsiran mereka sesuka hati. Naruto kata dia betul. Akatsuki pun kata dia betul.

Sebenarnya konflik sebegini tidak boleh diselesaikan melalui ukuran akal manusia. Kerana mereka sentiasa menyatakan yang mereka itu betul. Perkara ini hanya boleh diselesaikan oleh ukuran yang diberikan oleh Allah yang mana agamaNya ialah Islam. Dengan merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Keadilan itu ialah keadilan yang telah ditetapkan oleh Islam. Keamanan itu akan terjadi bilamana Islam itu memerintah dan syariat Islam dilaksanakan.

Bukankah Allah menyebut diciptakan manusia berbilang bangsa dan berpuak-puak untuk berkenalan. Dan yang paling mulia ialah orang yang bertaqwa. Tanpa mengira sama ada mereka berbangsa apa. Dalam sejarah Islam, kepimpinan tidak hanya dipegang oleh bangsa Arab. Bahkan pernah yang menjadi khalifah itu datang daripada keturunan hamba. Antara sebab jatuhnya khilafah uthmaniyyah ialah kerana ditiupkan sentimen perkauman kepada orang Arab bahawa yang menjadi khalifah adalah berbangsa Turki.

Namun tidak ada salahnya untuk menyayangi bangsa sendiri. Dan tidak ada salahnya untuk menyayangi tanah air sendiri. Cumanya jangan diletakkan kedua-duanya itu di tempat yang pertama mengatasi Islam. Jangan dijadikan fahaman perkauman dan kebangsaan itu sebagai ‘aqidah. Hendaklah kita meletakkan Islam itu berada di tempat yang pertama dan tidak ada lagi yang lebih tinggi berbanding Islam. Wallahua’lam.

Monday, September 27, 2010

Rundingan Palestin-Israel: Kekalahan Pusingan Pertama




Assalamualaikum WBT

Kali ini bermula episod baru dalam proses rundingan Palestin dan Israel yang bertujuan untuk mewujudkan kedua-dua negara yang merdeka dan berdaulat. Rundingan terakhir sebelum ini menemui jalan buntu apabila berlakunya serangan Israel ke bumi Gaza pada Disember 2008 yang bertujuan untuk menghancurkan gerakan Islam Hamas tetapi akhirnya yang menjadi korban seramai 1000 orang merupakan majoritinya orang awam. Tentera Israel pula kira-kira 100 orang yang mampus.

Tiadalah saya yang hina dina yang tinggal jauh dari tempat suci ketiga dalam Islam untuk memberikan komentar berkaitan dengan isu ini sedangkan tiada apapun yang saya lakukan melainkan mengirimkan doa dan sumbangan hanya beberapa ringgit setiap kali program mengumpulkan sumbangan kepada perjuangan Palestin tetapi tiadalah juga hati ini tertahan amarahnya bila mana melihatkan permulaan buruk kepada rundingan ini yang pada akhirnya kemungkinan besar berakhir dengan kegagalan.

Permulaan buruk itu ialah gagalnya pihak-pihak yang mengusahakan rundingan tersebut yang ditaja oleh the Quartet (USA, EU, UN dan Russia) untuk mendesak Israel meneruskan pembekuan 10 bulan yang bermula pada November 2009 terhadap pembinaan penempatan di Tebing Barat. Melanjutkan tempoh pembekuan merupakan syarat utama yang ditetapkan kepada Israel sekiranya ingin melihat rundingan damai ini diteruskan. Namun nampaknya mereka tidak peduli.



Pembekuan pembinaan tersebut telah tamat pada semalam (ahad) yang telah disambut dengan meriahnya oleh 2000 orang Yahudi yang berkumpul dan mengirakan detik 10 saat sebelum tibanya waktu tersebut seolah-olah menyambut hari kemerdekaan atau tahun baru (lihat gambar). Dan laungan "The freeze is over" bergema pada sambutan tersebut. Menandakan kegembiraan terhadap tamatnya tempoh pembekuan.

Menambahkan kemarahan ialah dengan selambanya Benyamin Netanyahu menyatakan walaupun pembekuan tersebut tidak dilanjutkan. beliau mengharapkan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas tidak meninggalkan meja rundingan. Netanyahu dipetik berkata "I call on president Abbas to continue with the good and honest talks we have just embarked upon, in an attempt to reach a historic peace agreement between our two peoples."

Sekarang semua pihak pasti menumpukan perhatian kepada Mahmoud Abbas sama ada meneruskan rundingan ataupun tidak. Al-Jazeera sebelum ini melaporkan “Mahmoud Abbas, the president of the Palestinian Authority, has said that Israel must choose between "peace and the continuation of illegal settlements" in the occupied territories if it wants international talks to succeed”

Dan sekarang Israel telah memilih untuk meneruskan pembinaan penempatan haram tersebut. Bermakna pihak Palestin telah tewas buat kali pertama dalam rundingan ini. Dan sekiranya Abbas memilih untuk meneruskan rundingan, bermakna beliau menempah kekalahan kedua. Kekalahan kedua pastinya akan membuka jalan kepada berpuluh-puluh kekalahan lagi kerana kekalahan kedua ini akan menunjukkan bahawa rendahnya maruah perjuangan membebaskan Palestin.

Dan akhirnya dia akan meneruskan “ketololan dan kebodohan sejarah” kerana sejak awal lagi mengharapkan belas ihsan kuasa-kuasa besar dunia untuk berdamai dengan Israel yang sebelum ini telah banyak kali mengkhianati bukan sahaja perjanjian dengan Palestin bahkan telah berkali-kali mengingkari ketetapan yang telah diputuskan oleh PBB.

Yahudi tidak pernah kenal bahasa perdamaian dan undang-undang. Mereka hanya boleh diajar dengan bahasa jihad dan mati syahid. Apa-apapun, kita tunggu apa yang akan berlaku dalam siri rundingan ini. Wallahua’lam

Sunday, September 26, 2010

Coretan Tanpa Tajuk




Assalamualaikum WBT

Menjelang exam final blok lebih kurang dua minggu lagi agak menggentarkan jiwa. Mungkin kerana ini exam final pertama setelah menjejakkan kaki sebagai student medic ke kampus kuantan. Walaupun sekadar memerlukan 'pass' sahaja (hanya ada result pass dan fail), namun nak mendapatkan pass bukanlah sesuatu yang mudah. Kalau sewaktu di sekolah menengah, rendah dan pusat asasi dulu, result pass ni kacang sangat kalau nak dapat. Waktu tu yang lebih dikejar ialah A. Sekarang barulah saya rasa menghargai erti pass itu. Kalau dulu nampak mudah je.

Namun waktu yang semakin dekat dengan exam juga menyebabkan kehidupan semakin hambar kerana waktu yang ada hanya disulami dengan lecture,assingment dan study di samping perkara asas bagi memenuhi keperluan hidup sebagai seorang manusia. Tiada lagi aktiviti meriah yang boleh dirancang dan dilaksanakan. Harapnya kehidupan setelah habis exam blok ini dan blok depan yang akan memunculkan diri dengan lebih meriah setelah menghabiskan 3 bulan yang pertama dengan menyesuaikan diri dan mencari identiti hidup di bumi kuantan ini.

Rasanya hidup di sini lebih mendekati realiti kehidupan sebenar. Sebab utamanya ialah jarak mahallah lebih kurang 2km dari kampus. Jarak yang jauh ini menyebabkan kita terpaksa merancang jadual hidup dengan memasukkan tempoh perjalanan bagi membolehkan sampai tepat waktu ke destinasi. Kalau dahulu di pusat asasi kalau kelas mula pukul 8.00 pagi, bangun 7.40pagi pun sempat lagi. Tempoh perjalanan ke kelas cuma 2 atau 3 minit. Dan kehidupan sekarang memerlukan kita menyiapkan diri untuk keluar pagi dan balik petang. Tidak seperti dulu yang kalau ada rehat 30 minit, pastinya 25 minit akan berakhir di atas katil dalam bilik. Itu belum dikira kalau ada urusan di waktu malam.

Tinggal di mahallah lebih mencabar dengan harga makanan di luar yang lebih mahal berbanding dalam kampus. Maka memasak sendiri adalah penyelesaian. Bila mana roomate2 dengan kreatifnya membawa alat-alat memasak (tak boleh cerita alat apa, nanti mahallah office tahu), maka bermulalah sesi menunjukkan bakat masing-masing. Walaupun masakan bujang, namun kuantitinya lebih banyak dan lebih jimat. Rasa2nya kalaulah keadaan ini berterusan 2,3 bulan lagi, sister pun mesti tabik spring kat kami.

Rasanya tu je kut. Tak naklah cerita banyak-banyak pasal diri sendiri. Elok kalau blok ini ditulis pasal nasihat dan pandangan yang baik berbanding dipenuhi cerita peribadi. Sekarang ni semua orang sibuk nak menceritakan perihal peribadi masing-masing terutama dalam facebook. Sampaikan benda-benda yang peribadi, gambar-gambar, aktiviti harian kecik dan besar, semuanya didedahkan pada orang lain. Keaiban sendiri didedahkan kepada umum. Sekarang bukan zaman orang lain mendedahkan keaiban kita, tetapi kita sendiri yang membukanya kepada semua orang. Maaf kalau ada yang terasa. Tiada niat menyakitkan hati. Tetapi renungan terutama kepada diri yang hina ini.

Moga-moga kehidupan selepas ini lebih baik. Apa-apapun kejar 'pass' dulu. Doakan mudah-mudahan berjaya. Kepada kawan-kawan buat yang terbaik ye...wallahua'lam.

Wednesday, September 22, 2010

DSTG Abdul Hadi Awang Muhammad




Assalamualaikum WBT

Sewaktu beraya di rumah Ustaz Khalil (orang Terengganu kenal la sapa ustaz ni) di Rhu Rendang dalam kawasan Marang baru-baru ini, saya dan beberapa orang sahabat lain dijamu dengan nasi ayam di beranda/lambo/anjung belakang rumah yang menghadap ke laut. Keadaan yang berangin dan cuaca yang cerah menjadikan pemandangan sangat cantik sekali.

Sedang kami menjamu selera, sekonyong-konyong itu juga datang seorang yang tidak disangka-sangka yang berjalan di tepi pantai. Beliau berkopiah, berbaju melayu dan berkain pelekat sambil mengkeleng laptop Toshiba dan chargernya. Beliau ialah tokoh besar yang tidak asing lagi iaitu Dato’ Seri Tuan Guru (DSTG) haji Abdul Hadi bin Awang. Beliau ialah ADUN Rhu Rendang dan ahli parlimen Marang.

Beliau datang dan kami pun bersalam dengannya lalu beliau duduk bersama kami. Sesi beraya dan makan nasi ayam sambil melihat pantai tiba-tiba bertukar menjadi sesi soal jawab dan beramah mesra dengan DSTG Abdul Hadi. Lalu terbentuklah gambar eksklusif di atas. Jadi untuk post kali ini saya akan menulis khusus berkenaan DSTG Abdul Hadi. Terutama setelah saya membeli dua buku terbaru beliau iaitu Taktik & Strategi Berpolitik Gaya Khulafa Ar-Rashidin (sambungan daripada Fiqh Al-Harakah) dan Palestin daripada Perampas Jalanan Kepada Peta Jalanan (terjemahan daripada edisi bahasa Arab).

Ketepikan soal perbezaan politik, kita akan mendapati DSTG merupakan ulama’ besar yang member sumbangan yang cukup besar kepada Islam. Kuliah mingguan pagi jumaat di masjid rusila menggamit ribuan pengunjung dan disiarkan secara live di internet untuk tatapan peminat yang tinggal berjauhan. Beliau juga menulis lebih 40 buah buku bernunsakan fikrah dan dakwah antaranya kitab ‘Aqidah Muslimin dan Fiqh Al-Harakah dan dikhabarkan oleh Ustaz Khalil yang sekarang beliau sedang mengarang buku Fiqh Solat.

DSTG Abdul Hadi merupakan nama besar dalam gerakan Islam abad moden sebaris dengan Mehdi Aqif, Dr Fathi Yakan, Racep Tayyeb Erdogan, Mustapha Masyhur dan lain-lain. Beliau menjadi ahli Majmak Takrik Mazhab Islami yang berpusat di Tehran, Iran yang mana majlis ini bertujuan mengharmonikan hubungan antara mazhab-mazhab. Dan beliau ialah ahli kepada Muassasah Al-Quds yang berjuang untuk isu Palestin. Beliau juga ialah Ahli Jawatankuasa Penyelaras Gerakan Islam yang berpusat di Istanbul, Turki.

DSTG Abdul Hadi sentiasa diundang ke luar negara untuk menghadiri pelbagai persidangan, seminar dan ijtima’ dan pernah muncul di kaca layar TV seperti al-Manar, al-Jazeera dan sebagainya, mengupas pelbagai isu dan topik mengenai Islam dan dunia Islam. Namun dek kerana perbezaan politik dengan parti pemerintah di negara kita, beliau tidak diberikan peluang untuk menyampaikan Islam melalui media massa milik rakyat di negara ini. Senasib dengan TG Dato’ Nik Aziz, Dato Dr Harun Din, Ustaz Tuan
Ibrahim Tuan Man dan ramai lagi.

Imejnya yang sentiasa berserban dan berjubah walau ke mana beliau pergi menunjukkan DTSG Abdul Hadi seorang yang istiqamah dengan sunnah. Ucapan dan ceramahnya sentiasa menyeru kepada masyarakat supaya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dalam semua aspek kehidupan. Tatkala era 90-an dahulu yang mana ramai orang berani menyebut bahawa Islam dan politik adalah perkara yang tidak boleh dicampur adukkan, beliau bangkit dan menerangkan bahawa sesiapa yang menyebut politik dan agama adalah dua perkara yang berasingan akan menjadi kafir. Lantas tiada lagi yang berani menyebut sedemikian sehinggalah sekarang.

Disebabkan politik ialah perkara yang mengawal segala-galanya dalam negara ini termasuklah ekonomi, undang-undang, social, sukan, hiburan dan sebagainya, DSTG Abdul Hadi memilih jalan politik untuk menyampaikan dan melaksanakan sistem Islam walaupun risikonya cukup tinggi. Beliau ialah tokoh politik yang sudah 4 penggal berada di parlimen bagi menyampaikan mesej Islam kepada kerajaan dan menyeru kepada pelaksanaannya.

Sewaktu beliau menjadi Menteri Besar Terengganu, Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu dipinda dengan meletakkan Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ dan Qias sebagai undang-undang tertinggi dan undang-undang jenayah Islam Hudud, Qisas dan Takzir turut diwartakan dengan perkenan Tuanku Sultan Mizan. Dan fasal itu masih lagi kekal sehinggalah sekarang walaupun tampuk kerajaan Terengganu sudah bertukar. Dan Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai Undang-Undang Tubuh sedemikian.

Panjang pulak kali ni….wallahua’lam.

Sunday, September 19, 2010

Renungan Buat Diri Yang Hina




Allah sentiasa melihat apa yang kita lakukan. Walaupun pada waktu itu kita sedang keseorangan. Allah mengetahui segala-galanya. Dia mengetahui apa yang kita lihat. Walaupun kita boleh berselindung di sebalik kaca mata hitam. Segala apa yang kita fikirkan berada dalam pengetahuan Allah. Walaupun tidak kelihatan pada mata manusia yang lain.

Di samping kita sentiasa ada Raqib dan ‘Atid yang mencatat setiap satu amalan kita. Tiada apapun yang terlepas daripada catitan. Sama ada baik atau buruk. Buku amalan ini akan kita terima pada hari akhirat kelak. Jikalau penerimaan kita itu melalui tangan kanan, maka bertuahlah kita. Sekiranya kita menerimanya daripada belakang, celakalah kita.

Akan tetapi Allah itu maha pemurah dan penyayang. Pahala yang akan menjadi matawang akhirat sebenarnya sangat mudah untuk diperolehi. Sekadar niat untuk membuat kebaikan sudah mendapat pahala. Setiap kebaikan yang dilakukan akan digandakan balasannya dengan 10 kali ganda. Sedangkan kejahatan yang dilakukan hanya dibalas setimpal dengan apa yang dilakukan.

Setiap perkara baik yang dilakukan oleh orang lain hasil nasihat, tunjuk ajar atau contoh tauladan dari kita juga akan kedapatan sahamnya kepada kita. Pahalanya sama dengan si pembuat. Jalan untuk ke syurga sebenarnya cukup mudah tetapi ramai yang mengikuti jalan yang membawa kepada kemudaratan.

Marilah kita sama-sama memelihara diri daripada melakukan dosa. Sememangnya dosa itu merupakan sesuatu yang seronok untuk dilakukan. Namun seseronok manapun kita melakukan dosa, paling lama pun kita hanya akan hidup 70 atau 80 sahaja. Kemudian kita akan menderita selama-lamanya di akhirat nanti. Dan kemudian di akhirat kita akan merasakan tempoh hidup kita ketika di dunia sangat sekejap.

Alangkah indahnya sekiranya kita dapat melakukan solat dengan khusyu’, dapat mentadabbur maksud bacaan Al-Quran, dapat berqiamullail setiap hari, dapat berzikir dengan penuh ketenangan, dapat menjaga pandangan, dapat menjaga hati daripada pemikiran yang teruk-teruk, dapat menjaga lidah daripada mengumpat. Alangkah indahnya…renungan buat diri yang lupa.

Friday, September 17, 2010

Apabila Manusia Semakin Kejam...


Assalamualaikum WBT

Membaca berita pembunuhan arwah Datuk Sosilawati Lawiya, seorang jutawan wanita bersama tiga lelaki yang dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu mayat dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, dekat Tanjung Sepat pasti membawa kita untuk memikirkan kembali kenapakah manusia sekarang khususnya yang tinggal di negara ini semakin lama semakin kejam.

Ini pun mungkin bukan kes pertama yang melibatkan pembunuhan sebegini kejam. Kita sebenarnya yakin banyak lagi kes seumpama ini yang berlaku (terutama melibatkan orang hilang, diculik atau dibunuh) tetapi mungkinlah kerana mangsanya bukan jutawan dan tidak terkenal, jadi media kita tidak berminat untuk menyiarkannya.

Baru-baru ini negara digemparkan dengan isu pembuangan bayi sehinggakan ada bayi yang dibuang itu menjadi santapan anjing liar (gempar pun tidaklah lama sangat). Lalu berkumandanglah cadangan sekolah mengandung dan membenarkan perkahwinan oleh pelajar sekolah. Suatu cadangan yang tidak terfikir dek akal 10,20 tahun yang lalu. Tetapi sekarang disebabkan keadaan yang teruk dalam masyarakat, terpaksa dikeluarkan cadangan tersebut. Sekolah pelajar hamil akan memulakan operasi pada hari jumaat ini (17 September) walaupun belum ada pelajar mendaftar sehingga kini – kenyataan oleh KM Melaka.

Pelik kenapa mereka tidak memikirkan untuk melaksanakan langkah pencegahan seperti menyekat unsure-unsur yang boleh membawa kepada kerosakan moral yang banyak berlegar dalam media, hiburan yang melampau seperti konsert yang banyak pada hari merdeka, sambutan tahun baru dan pengawalan bahan lucah dalam internet yang sebenarnya boleh disekat daripada di access oleh masyarakat. Dan langkah pencegahan yang dijamin oleh Allah melalui pelaksanaan undang-undang jenayah Islam (Hudud dan Qisas).

Berkenaan pembuangan bayi, ada teori yang menyatakan banyak kes pembuangan bayi berlaku setelah 9 bulan daripada sambutan-sambutan besar seperti hari merdeka dan tahun baru. Yang mana pada dua sambutan ini anak-anak muda dihidangkan dengan hiburan yang melampau yang dipercayai kemudiannya akan membawa kepada perzinaan dan seks bebas. Wallahua’lam sama ada betul atau tidak.

Pengaruh media merupakan penyumbang penting kepada kes-kes jenayah. Filem atau drama sekarang yang ending nya berakhir dengan akibat buruk kepada penjenayah (mati, dipenjara, gila dsb) atau bertaubat nasuha nampaknya tidak berkesan kerana anak-anak mudah lebih mencontohi tempoh 1 jam 45 minit awal yang memaparkan kejahatan dalam filem atau drama tersebut berbanding mengambil manfaat 10 minit yang terakhir.

Terlalu banyak drama dalam televisyen yang memaparkan aspek negatif yang berpotensi besar menjadi ikutan masyarakat sekarang. Kebetulan baru-baru ini sewaktu makan malam, televisyen yang terletak beberapa meter dari meja makan menayangkan babak seorang perempuan melayu yang dengan muka kejam meminta bantuan daripada bomoh perempuan tua untuk menyihir seseorang. Lalu ayah saya mengkomen ‘patut pun le ni banyak kes bunuh kerat-kerat (potong-potong) orang’.

Kita gembira dengan kemajuan dalam aspek gerakan dakwah dan islah yang cuba dibawa oleh parti politik, NGO, badan-badan, media dan institusi pendidikan Islam yang kita akui semakin berkembang dan impaknya cukup besar di dalam masyarakat. Tetapi nampaknya perkembangan gelombang jahiliyyah yang meresapi masyarakat ini jauh lebih besar. Kalau kita katakan kesedaran dakwah sekarang 3 kali ganda lebih baik daripada dahulu, kita juga kena sedar gelombang jahiliyyah telah berkembang 10 kali ganda berbanding dahulu.

Kita juga berpendirian perlunya untuk pihak berkuasa sekarang kembali kepada syariat Islam dalam semua aspek sama ada hiburan, sukan, kemasyarakatan dan undang-undang. Bila mana syariat Islam dilaksanakan, dunia ini akan aman daripada kekejaman sepertimana yang berlaku pada hari ini. Maksud hadis - ‘Demi Allah, Dia (Allah) akan menyempurnakan urusan ini (Islam), sehingga manusia dapat berjalan daripada Sana’a ke Hadramaut, tidak takut melainkan kepada Allah dan serigala yang akan membaham kambingnya’ (maksudnya tidak akan takut kepada jenayah manusia tetapi hanya takut kepada Allah dan binatang buas sahaja). Wallahua'lam

Tuesday, September 14, 2010

Kejayaan Referendum Turki: Satu Simpulan Sekular Terungkai


Assalamualaikum W.B.T

Setiap kali melayari internet, saya sebenarnya tidak menjadikan website berita luar negara sebagai pilihan utama melainkan setelah boring menjenguk malaysiakini, facebook, harakahdaily, espnstar dan membaca blog-blog. Memang sangat jarang saya membuka Aljazeera, BBC, CNN, Islamonline dsb. Melainkan ketika waktu isu serangan tentera Israel terhadapp kapal mavi marvara dan konvoi freedom flotilla.

Tetapi kali ini muncul satu perkara yang menarik yang membuatkan saya membuka internet pada waktu pagi hari raya ke-4 dan terus membuka Aljazeera, CNN dan BBC untuk melihat keputusan referendum rakyat Turki terhadap cadangan kerajaan Turki yang dipimpin oleh Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang mana perdana menterinya ialah Recep Tayyip Erdogan untuk melakukan 26 pindaan terhadap perlembagaan negara itu.

Dan keputusannya 58% rakyat Turki mengundi untuk menyokong berbanding 48% yang menentang. Peratus keluar mengundi pula sebanyak 77-78% (kemusykilan masih berlaku bagaimana peratus keluar mengundi di beberapa kerusi DUN di Terengganu pada PRU 2004 mencecah 97-98% dan ada kerusi parlimen di Kedah pada PRU 2008 menjangkau 99%).

Referendum ini merupakan sesuatu yang penting bagi Turki kerana pihak sekularis bimbang kedudukan mereka dan dasar sekular mereka di Turki masih goyah selepas ini. Saya tidak begitu pintar untuk menterjemahkan isi pindaan perlembagaan tersebut ke dalam bahasa melayu jadi saya hanya akan paste kan sahaja dalam blog ini.

*In all, the reform package includes 26 amendments to the 1982 constitution, many of them backed by the EU.
*Civilian courts will have the power to try military personnel for crimes against the state, while sacked military officers will have the right to appeal against their dismissal.
*Gender equality will be strengthened, and discrimination against children, the old and disabled banned.
*Workers will be allowed to join more than one union and the ban on politically motivated strikes will be removed.
*In parliament, elected lawmakers will be able to stay on if their party is disbanded by the court.- by CNN

* The amendments would limit the power of military courts, open up access to the legal system for more people and make it harder to disband political parties - a common occurrence in Turkey.
*The amendments would also allow the Constitutional Court for the first time to hear cases brought by private citizens.-by Aljazeera

*The amendments also grant civil servants the right to conclude collective agreements and go on strike, as well as lifting immunity from prosecution for the leaders of the bloody 1980 military takeover.
*Make the military more accountable to civilian courts and giving parliament - the 550-seat Gran National Assembly (Buyuk Millet Meclisi) - more power to appoint judges.-by BBC

Kejayaan ini pastinya merupakan satu perkembangan yang menarik oleh sebuah negara yang hampir 100 tahun dahulu merupakan khalifah yang terakhir bagi ummat Islam yang telah diruntuhkan dan kemudiannya telah disekularkan dengan begitu dahsyat oleh musuh-musuh Islam dan kebangkitan Islam di bumi ini berkali-kali disekat sebelum ini dengan rampasan kuasa oleh tentera, pengharaman kumpulan Islam dan pemenjaraan ke atas pemimpinnya.

Pasti ramai yang mengharapkan dengan kejayaan ini akan melemahkan kedudukan golongan sekular di turki yang bersarang di bahagian ketenteraan dan kehakiman. Walaubagaimanapun, terlalu awal untuk mengagak apakah yang akan berlaku selepas ini.

Tetapi apa yang pasti mereka cukup bimbang kerana dalam kempen menjelang pengundian baru-baru ini, mereka memberi ancaman kepada pengundi bahawa dengan mengundi ‘yes’ kepada pindaan ini bermaksud golongan moderat Islam akan menggugat legasi sekularism yang diasaskan oleh Mustafa Kemal Ataturk.

Mudah-mudahan kita mendapat kebaikan daripada tulisan ini. Wallahua’lam.

Sunday, September 12, 2010

Pendidikan Seks di Sekolah


Mendengar khutbah Aidilfitri di masjid Kampung Batu Enam (Masjid yang pernah ditembak dengan gas pemedih mata oleh FRU pada tahun 2007), khatib menyentuh secara sepintas lalu tentang isu pembuangan bayi, cadangan memperkenalkan pendidikan seks di sekolah dan menubuhkan sekolah mengandung bagi pelajar yang hamil luar nikah.

Setakat ini saya tidak pernah rasa berminat untuk menyelidik apatah lagi mempunyai stand tersendiri berkenaan dengan isu pendidikan seks ini kerana saya hanya menyangka isu ini hanyalah perkara-perkara remeh yang tidak perlu dihiraukan. Tetapi Alhamdulillah khatib tersebut telah menarik minat saya untuk membuat sedikit research dan mengutarakan sedikit pandangan dalam blog ini.

Sebenarnya agama Islam (dan subjek pendidikan Islam di sekolah) telah mengajar berkenaan seks kepada pelajar. Cumanya tidaklah pengajaran tersebut dipanggil sebagai pendidikan seks tetapi matlamatnya adalah untuk menjaga akhlak dan pergaulan pelajar dan pada akhirnya dapat megelakkan mereka daripada terjebak ke dalam krisis moral iaitu pergaulan bebas, zina, sumbang mahram dan sebagainya.

Pelajar Islam telah dididik dengan cara menutup aurat yang sempurna. Mereka juga diajar tentang adab dan batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan seperti menundukkan pandangan, tidak melunakkan suara bagi perempuan, tidak boleh berdua-duaan tanpa mahram, bermuamalat atas urusan yang dibenarkan dan pelbagai panduan pergaulan yang lain.

Dalam urusan keluarga juga dituntuk supaya tempat tidur anak-anak lelaki dan perempuan diasingkan, anak-anak tidak boleh memasuki bilik ibu bapa melainkan setelah mendapat kebenaran. Juga dididik kepada mereka untuk mengikuti panduan yang ditetapkan Islam dalam aspek hiburan dan sukan. Yang mana kesemua ini bermatlamatkan seperti yang telah disebut sebelum ini.

Berbeza dengan pendidikan seks di barat yang juga menjadikan pencegahan seks bebas sebagai perkara yang diajarkan kepada anak-anak mereka. Tetapi mereka juga turut memberi panduan sekiranya mereka ingin melakukan seks juga maka hendaklah memastikan tidak sampai mengandung. Mereka diajar tentang bagaimana untuk merancang supaya tidak hamil, bilakah masa yang sesuai dan apakah ‘perlindungan’ yang perlu digunakan.

Dan sekiranya mereka ‘terhamil’, maka disana ada langkah-langkah yang perlu dilaksanakan. Justeru jadilah pendidikan seks di Barat ini menjadikan mereka berjaya dari sudut mengurangkan anak luar nikah tetapi pada masa yang sama bertambah bilangan kes perzinaan dan yang seumpama dengannya.

Sekiranya kerajaan ingin memperkenalkan pendidikan seks ala-Barat ini, maka sepatutnya lah kita berpendirian untuk tidak bersetuju. Dan kita mencadangkan supaya diperkemaskan lagi aspek dalam pendidikan Islam yang dapat mengawal gejala ini bukan sahaja dari aspek pengajaran di dalam kelas tetapi juga pengamalan yang menyeluruh oleh pelajar tersebut dalam kehidupan mereka. Wallahua'lam

Friday, September 10, 2010

Pilu Mengingatimu (Versi Hari Raya)


Alhamdulillah Allah memberi kekuatan untuk mengupdate blog untuk pertama kalinya dalam masa beberapa bulan. Entah mengapa pada hari raya pertama ini terasa ingin mengupdate blog. Tidak banyak perkara yang ingin dikongsikan sebenarnya. Cumanya mengharapkan tarbiyyah yang dilalui sepanjang madrasah Ramadhan yang hari ini merupakan hari konvokesyennya menjadi kekuatan untuk melalui 11 bulan yang mendatang sebelum datang kembali bulan Ramadhan yang seterusnya (moga-moga Allah memanjangkan umur)

Rutin kebiasaan apabila balik ke rumah ialah membelek buku-buku dalam almari. Setiap kali membelek buku, pasti ada buku yang menarik minat untuk dibaca (walaupun kebiasannya hanya baca sebahagian sahaja sebab setiap kali ada sahaja buku baru yang rasa nak baca). Kali ini terserempak dengan dua buku kecil yang bertajuk Al-Marhum Dato’ Haji Fadzil Mohd Nor Dalam Kenangan dan Fadzil Noor Dalam Kenangan Pilu Mengingatimu.

Kedua-duanya mengumpulkan tulisan-tulisan oleh orang-orang yang rapat dengan Al-Marhum yang merupakan bekas Presiden PAS dan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia. Antara yang dinukilkan ialah Al-Marhum seorang yang mesra dengan semua orang sehinggakan terlalu ramai yang menyatakan ‘saya rapat dengan Ustaz Fadzil’. Beliau juga bukanlah pemimpin politik yang hipokrit yang berpura-pura mengenali dan meingati semua orang yang dijumpainya. Kalau beliau tidak mengenali atau lupa siapa orang itu, beliau akan bertanya ‘apa nama dah’. Beliau juga seorang yang lemah lembut dan tidak marah apabila dikritik.

Pemergiannya diziarahi oleh ratusan ribu orang dan dianggarkan mencecah suku juta orang sehinggakan ada yang terpaksa berjalan berbelas-belas kilometer akibat kesesakan lalu lintas. TG Dato’ Nik Abdul Aziz menyatakan “Kita biasa menghadapi kematian pemimpin besar dan kecil di dalam PAS, tapi saya tidak pernah menyaksikan kehadiran menusia yang begini ramai untuk menziarahi Almarhum Ustaz Fadzil Noor”.

Dan pada malam sebelum pengkebumian Al-Marhum, TG Dato’ Seri Abdul Hadi Awang menyatakan “Al-marhum Ustaz Fadzil telah membuktikan kepada kita bahawa beliau telah mengakhiri hayatnya dalam perjuangan Islam. Nasib kita belum tentu lagi.” Renung-renungkanlah…Selamat Hari Raya. Jangan lupa puasa enam