Friday, September 17, 2010

Apabila Manusia Semakin Kejam...


Assalamualaikum WBT

Membaca berita pembunuhan arwah Datuk Sosilawati Lawiya, seorang jutawan wanita bersama tiga lelaki yang dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu mayat dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, dekat Tanjung Sepat pasti membawa kita untuk memikirkan kembali kenapakah manusia sekarang khususnya yang tinggal di negara ini semakin lama semakin kejam.

Ini pun mungkin bukan kes pertama yang melibatkan pembunuhan sebegini kejam. Kita sebenarnya yakin banyak lagi kes seumpama ini yang berlaku (terutama melibatkan orang hilang, diculik atau dibunuh) tetapi mungkinlah kerana mangsanya bukan jutawan dan tidak terkenal, jadi media kita tidak berminat untuk menyiarkannya.

Baru-baru ini negara digemparkan dengan isu pembuangan bayi sehinggakan ada bayi yang dibuang itu menjadi santapan anjing liar (gempar pun tidaklah lama sangat). Lalu berkumandanglah cadangan sekolah mengandung dan membenarkan perkahwinan oleh pelajar sekolah. Suatu cadangan yang tidak terfikir dek akal 10,20 tahun yang lalu. Tetapi sekarang disebabkan keadaan yang teruk dalam masyarakat, terpaksa dikeluarkan cadangan tersebut. Sekolah pelajar hamil akan memulakan operasi pada hari jumaat ini (17 September) walaupun belum ada pelajar mendaftar sehingga kini – kenyataan oleh KM Melaka.

Pelik kenapa mereka tidak memikirkan untuk melaksanakan langkah pencegahan seperti menyekat unsure-unsur yang boleh membawa kepada kerosakan moral yang banyak berlegar dalam media, hiburan yang melampau seperti konsert yang banyak pada hari merdeka, sambutan tahun baru dan pengawalan bahan lucah dalam internet yang sebenarnya boleh disekat daripada di access oleh masyarakat. Dan langkah pencegahan yang dijamin oleh Allah melalui pelaksanaan undang-undang jenayah Islam (Hudud dan Qisas).

Berkenaan pembuangan bayi, ada teori yang menyatakan banyak kes pembuangan bayi berlaku setelah 9 bulan daripada sambutan-sambutan besar seperti hari merdeka dan tahun baru. Yang mana pada dua sambutan ini anak-anak muda dihidangkan dengan hiburan yang melampau yang dipercayai kemudiannya akan membawa kepada perzinaan dan seks bebas. Wallahua’lam sama ada betul atau tidak.

Pengaruh media merupakan penyumbang penting kepada kes-kes jenayah. Filem atau drama sekarang yang ending nya berakhir dengan akibat buruk kepada penjenayah (mati, dipenjara, gila dsb) atau bertaubat nasuha nampaknya tidak berkesan kerana anak-anak mudah lebih mencontohi tempoh 1 jam 45 minit awal yang memaparkan kejahatan dalam filem atau drama tersebut berbanding mengambil manfaat 10 minit yang terakhir.

Terlalu banyak drama dalam televisyen yang memaparkan aspek negatif yang berpotensi besar menjadi ikutan masyarakat sekarang. Kebetulan baru-baru ini sewaktu makan malam, televisyen yang terletak beberapa meter dari meja makan menayangkan babak seorang perempuan melayu yang dengan muka kejam meminta bantuan daripada bomoh perempuan tua untuk menyihir seseorang. Lalu ayah saya mengkomen ‘patut pun le ni banyak kes bunuh kerat-kerat (potong-potong) orang’.

Kita gembira dengan kemajuan dalam aspek gerakan dakwah dan islah yang cuba dibawa oleh parti politik, NGO, badan-badan, media dan institusi pendidikan Islam yang kita akui semakin berkembang dan impaknya cukup besar di dalam masyarakat. Tetapi nampaknya perkembangan gelombang jahiliyyah yang meresapi masyarakat ini jauh lebih besar. Kalau kita katakan kesedaran dakwah sekarang 3 kali ganda lebih baik daripada dahulu, kita juga kena sedar gelombang jahiliyyah telah berkembang 10 kali ganda berbanding dahulu.

Kita juga berpendirian perlunya untuk pihak berkuasa sekarang kembali kepada syariat Islam dalam semua aspek sama ada hiburan, sukan, kemasyarakatan dan undang-undang. Bila mana syariat Islam dilaksanakan, dunia ini akan aman daripada kekejaman sepertimana yang berlaku pada hari ini. Maksud hadis - ‘Demi Allah, Dia (Allah) akan menyempurnakan urusan ini (Islam), sehingga manusia dapat berjalan daripada Sana’a ke Hadramaut, tidak takut melainkan kepada Allah dan serigala yang akan membaham kambingnya’ (maksudnya tidak akan takut kepada jenayah manusia tetapi hanya takut kepada Allah dan binatang buas sahaja). Wallahua'lam

0 comments: