Wednesday, September 22, 2010

DSTG Abdul Hadi Awang Muhammad




Assalamualaikum WBT

Sewaktu beraya di rumah Ustaz Khalil (orang Terengganu kenal la sapa ustaz ni) di Rhu Rendang dalam kawasan Marang baru-baru ini, saya dan beberapa orang sahabat lain dijamu dengan nasi ayam di beranda/lambo/anjung belakang rumah yang menghadap ke laut. Keadaan yang berangin dan cuaca yang cerah menjadikan pemandangan sangat cantik sekali.

Sedang kami menjamu selera, sekonyong-konyong itu juga datang seorang yang tidak disangka-sangka yang berjalan di tepi pantai. Beliau berkopiah, berbaju melayu dan berkain pelekat sambil mengkeleng laptop Toshiba dan chargernya. Beliau ialah tokoh besar yang tidak asing lagi iaitu Dato’ Seri Tuan Guru (DSTG) haji Abdul Hadi bin Awang. Beliau ialah ADUN Rhu Rendang dan ahli parlimen Marang.

Beliau datang dan kami pun bersalam dengannya lalu beliau duduk bersama kami. Sesi beraya dan makan nasi ayam sambil melihat pantai tiba-tiba bertukar menjadi sesi soal jawab dan beramah mesra dengan DSTG Abdul Hadi. Lalu terbentuklah gambar eksklusif di atas. Jadi untuk post kali ini saya akan menulis khusus berkenaan DSTG Abdul Hadi. Terutama setelah saya membeli dua buku terbaru beliau iaitu Taktik & Strategi Berpolitik Gaya Khulafa Ar-Rashidin (sambungan daripada Fiqh Al-Harakah) dan Palestin daripada Perampas Jalanan Kepada Peta Jalanan (terjemahan daripada edisi bahasa Arab).

Ketepikan soal perbezaan politik, kita akan mendapati DSTG merupakan ulama’ besar yang member sumbangan yang cukup besar kepada Islam. Kuliah mingguan pagi jumaat di masjid rusila menggamit ribuan pengunjung dan disiarkan secara live di internet untuk tatapan peminat yang tinggal berjauhan. Beliau juga menulis lebih 40 buah buku bernunsakan fikrah dan dakwah antaranya kitab ‘Aqidah Muslimin dan Fiqh Al-Harakah dan dikhabarkan oleh Ustaz Khalil yang sekarang beliau sedang mengarang buku Fiqh Solat.

DSTG Abdul Hadi merupakan nama besar dalam gerakan Islam abad moden sebaris dengan Mehdi Aqif, Dr Fathi Yakan, Racep Tayyeb Erdogan, Mustapha Masyhur dan lain-lain. Beliau menjadi ahli Majmak Takrik Mazhab Islami yang berpusat di Tehran, Iran yang mana majlis ini bertujuan mengharmonikan hubungan antara mazhab-mazhab. Dan beliau ialah ahli kepada Muassasah Al-Quds yang berjuang untuk isu Palestin. Beliau juga ialah Ahli Jawatankuasa Penyelaras Gerakan Islam yang berpusat di Istanbul, Turki.

DSTG Abdul Hadi sentiasa diundang ke luar negara untuk menghadiri pelbagai persidangan, seminar dan ijtima’ dan pernah muncul di kaca layar TV seperti al-Manar, al-Jazeera dan sebagainya, mengupas pelbagai isu dan topik mengenai Islam dan dunia Islam. Namun dek kerana perbezaan politik dengan parti pemerintah di negara kita, beliau tidak diberikan peluang untuk menyampaikan Islam melalui media massa milik rakyat di negara ini. Senasib dengan TG Dato’ Nik Aziz, Dato Dr Harun Din, Ustaz Tuan
Ibrahim Tuan Man dan ramai lagi.

Imejnya yang sentiasa berserban dan berjubah walau ke mana beliau pergi menunjukkan DTSG Abdul Hadi seorang yang istiqamah dengan sunnah. Ucapan dan ceramahnya sentiasa menyeru kepada masyarakat supaya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dalam semua aspek kehidupan. Tatkala era 90-an dahulu yang mana ramai orang berani menyebut bahawa Islam dan politik adalah perkara yang tidak boleh dicampur adukkan, beliau bangkit dan menerangkan bahawa sesiapa yang menyebut politik dan agama adalah dua perkara yang berasingan akan menjadi kafir. Lantas tiada lagi yang berani menyebut sedemikian sehinggalah sekarang.

Disebabkan politik ialah perkara yang mengawal segala-galanya dalam negara ini termasuklah ekonomi, undang-undang, social, sukan, hiburan dan sebagainya, DSTG Abdul Hadi memilih jalan politik untuk menyampaikan dan melaksanakan sistem Islam walaupun risikonya cukup tinggi. Beliau ialah tokoh politik yang sudah 4 penggal berada di parlimen bagi menyampaikan mesej Islam kepada kerajaan dan menyeru kepada pelaksanaannya.

Sewaktu beliau menjadi Menteri Besar Terengganu, Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu dipinda dengan meletakkan Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ dan Qias sebagai undang-undang tertinggi dan undang-undang jenayah Islam Hudud, Qisas dan Takzir turut diwartakan dengan perkenan Tuanku Sultan Mizan. Dan fasal itu masih lagi kekal sehinggalah sekarang walaupun tampuk kerajaan Terengganu sudah bertukar. Dan Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai Undang-Undang Tubuh sedemikian.

Panjang pulak kali ni….wallahua’lam.

1 comments:

Anonymous said...

sape yg slalu bace buku dia tau la btapa hebat nyer fikrah tok guru..saye pon heran sbb kat malaysia tok guru x brapa dikenali,,tp kat luar negara,,name abdul hadi awang muhammad antra tokoh gerakan islam yg disegani...mngkin slps ttok guru da x de,,bru die dknali,,mcm burhanuddin al helmy,,syed qutb n len2..mase diorang hidup,,org wat x tau jer jase diorang..