Sunday, September 19, 2010

Renungan Buat Diri Yang Hina




Allah sentiasa melihat apa yang kita lakukan. Walaupun pada waktu itu kita sedang keseorangan. Allah mengetahui segala-galanya. Dia mengetahui apa yang kita lihat. Walaupun kita boleh berselindung di sebalik kaca mata hitam. Segala apa yang kita fikirkan berada dalam pengetahuan Allah. Walaupun tidak kelihatan pada mata manusia yang lain.

Di samping kita sentiasa ada Raqib dan ‘Atid yang mencatat setiap satu amalan kita. Tiada apapun yang terlepas daripada catitan. Sama ada baik atau buruk. Buku amalan ini akan kita terima pada hari akhirat kelak. Jikalau penerimaan kita itu melalui tangan kanan, maka bertuahlah kita. Sekiranya kita menerimanya daripada belakang, celakalah kita.

Akan tetapi Allah itu maha pemurah dan penyayang. Pahala yang akan menjadi matawang akhirat sebenarnya sangat mudah untuk diperolehi. Sekadar niat untuk membuat kebaikan sudah mendapat pahala. Setiap kebaikan yang dilakukan akan digandakan balasannya dengan 10 kali ganda. Sedangkan kejahatan yang dilakukan hanya dibalas setimpal dengan apa yang dilakukan.

Setiap perkara baik yang dilakukan oleh orang lain hasil nasihat, tunjuk ajar atau contoh tauladan dari kita juga akan kedapatan sahamnya kepada kita. Pahalanya sama dengan si pembuat. Jalan untuk ke syurga sebenarnya cukup mudah tetapi ramai yang mengikuti jalan yang membawa kepada kemudaratan.

Marilah kita sama-sama memelihara diri daripada melakukan dosa. Sememangnya dosa itu merupakan sesuatu yang seronok untuk dilakukan. Namun seseronok manapun kita melakukan dosa, paling lama pun kita hanya akan hidup 70 atau 80 sahaja. Kemudian kita akan menderita selama-lamanya di akhirat nanti. Dan kemudian di akhirat kita akan merasakan tempoh hidup kita ketika di dunia sangat sekejap.

Alangkah indahnya sekiranya kita dapat melakukan solat dengan khusyu’, dapat mentadabbur maksud bacaan Al-Quran, dapat berqiamullail setiap hari, dapat berzikir dengan penuh ketenangan, dapat menjaga pandangan, dapat menjaga hati daripada pemikiran yang teruk-teruk, dapat menjaga lidah daripada mengumpat. Alangkah indahnya…renungan buat diri yang lupa.

0 comments: