Sunday, September 12, 2010

Pendidikan Seks di Sekolah


Mendengar khutbah Aidilfitri di masjid Kampung Batu Enam (Masjid yang pernah ditembak dengan gas pemedih mata oleh FRU pada tahun 2007), khatib menyentuh secara sepintas lalu tentang isu pembuangan bayi, cadangan memperkenalkan pendidikan seks di sekolah dan menubuhkan sekolah mengandung bagi pelajar yang hamil luar nikah.

Setakat ini saya tidak pernah rasa berminat untuk menyelidik apatah lagi mempunyai stand tersendiri berkenaan dengan isu pendidikan seks ini kerana saya hanya menyangka isu ini hanyalah perkara-perkara remeh yang tidak perlu dihiraukan. Tetapi Alhamdulillah khatib tersebut telah menarik minat saya untuk membuat sedikit research dan mengutarakan sedikit pandangan dalam blog ini.

Sebenarnya agama Islam (dan subjek pendidikan Islam di sekolah) telah mengajar berkenaan seks kepada pelajar. Cumanya tidaklah pengajaran tersebut dipanggil sebagai pendidikan seks tetapi matlamatnya adalah untuk menjaga akhlak dan pergaulan pelajar dan pada akhirnya dapat megelakkan mereka daripada terjebak ke dalam krisis moral iaitu pergaulan bebas, zina, sumbang mahram dan sebagainya.

Pelajar Islam telah dididik dengan cara menutup aurat yang sempurna. Mereka juga diajar tentang adab dan batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan seperti menundukkan pandangan, tidak melunakkan suara bagi perempuan, tidak boleh berdua-duaan tanpa mahram, bermuamalat atas urusan yang dibenarkan dan pelbagai panduan pergaulan yang lain.

Dalam urusan keluarga juga dituntuk supaya tempat tidur anak-anak lelaki dan perempuan diasingkan, anak-anak tidak boleh memasuki bilik ibu bapa melainkan setelah mendapat kebenaran. Juga dididik kepada mereka untuk mengikuti panduan yang ditetapkan Islam dalam aspek hiburan dan sukan. Yang mana kesemua ini bermatlamatkan seperti yang telah disebut sebelum ini.

Berbeza dengan pendidikan seks di barat yang juga menjadikan pencegahan seks bebas sebagai perkara yang diajarkan kepada anak-anak mereka. Tetapi mereka juga turut memberi panduan sekiranya mereka ingin melakukan seks juga maka hendaklah memastikan tidak sampai mengandung. Mereka diajar tentang bagaimana untuk merancang supaya tidak hamil, bilakah masa yang sesuai dan apakah ‘perlindungan’ yang perlu digunakan.

Dan sekiranya mereka ‘terhamil’, maka disana ada langkah-langkah yang perlu dilaksanakan. Justeru jadilah pendidikan seks di Barat ini menjadikan mereka berjaya dari sudut mengurangkan anak luar nikah tetapi pada masa yang sama bertambah bilangan kes perzinaan dan yang seumpama dengannya.

Sekiranya kerajaan ingin memperkenalkan pendidikan seks ala-Barat ini, maka sepatutnya lah kita berpendirian untuk tidak bersetuju. Dan kita mencadangkan supaya diperkemaskan lagi aspek dalam pendidikan Islam yang dapat mengawal gejala ini bukan sahaja dari aspek pengajaran di dalam kelas tetapi juga pengamalan yang menyeluruh oleh pelajar tersebut dalam kehidupan mereka. Wallahua'lam

0 comments: