Saturday, May 30, 2009

Hikayat Si Head Prep n Tech


Alhamdulillah, berakhir sudah ta’aruf week (tawe) bagi kemasukan adik-adik baru ke cfs iium. Fuss.... memang banyak pengalaman baru yang dapat ditimba sepanjang 11 hari berinduksi dan bertawe. Diri yang hina dina ini dipertanggungjawabkan untuk memegang head preparation and technical. Tak pernah seumur hidup kena pegang teknikal. Nak pasang lcd pun tak pandai. Setakat tau sikit-skit pasal microsoft word dan power point. Saya sampai sekarang terfikir apa kriteria yang ditetapkan untuk memilih seorang head preparation and technical. Takpelah, takdir Allah. Nanti di penghujung cerita ini baru kita nampak apa hikmahnya.

Mendapat panggilan telefon daripada abang hisham (assistant director of students activity department) sewaktu saya sedang menikmati keenakan makanan e-cafe, menyebabkan saya blur seketika. Keadaan menjadi makin teruk apabila berita ini tersebar begitu cepat dalam kalangan kawan-kawan dan setiap yang berjumpa saya membayangkan bahawa tawe kali ini pasti hancur kerana saya yang buta teknologi ini memegang head prep n tech. Teruk jugak kena gelak oleh kawan-kawan.

Tiada yang memahami hati ini. Saya pun bimbang jugak!!! Kalau dapat catering pun saya masih boleh terima walaupun kali terakhir saya memegang catering, nasi peserta jamuan tak cukup. Sekurang-kurangnya pengalaman itu ada. Biasanya dalam apa-apa program saya akan pegang pc dan bukannya teknikal sebab orang di sekeliling memang tahu saya ini tak pandai langsung bab teknologi. Saya pun terfikir jugak apa la akan jadi tawe kali ini...hancur gamoknye..

Mesyuarat pertama management committee, saya blur. Tak tahu nak cakap apa. Saya mencuba nasib untuk minta ditukarkan post tetapi tidak berjaya. Abang hisham bagitau sebab saya dipilih prep n tech sebab ada public relation yang baik untuk deal dengan staff. Banyak kerja prep n tech ini yang memerlukan komunikasi antara committee staff dan committee student. Tak apalah, saya pakai je alasan itu. Walaupun masih lagi timbul persoalan dalam kepala “apa kaitan public relation dengan prep n tech?”

Mendapat ahli biro seramai 46 orang, antara yang teramai, menyebabkan saya agak kaget. Ramai yang belum saya kenal walaupun yang dari cfs iium pj. Sebelum perjumpaan biro persoalan “apa aku nak buat ni?” selalu datang dalam kepala. Bukak fail tenure lepas punya prep n tech, ada action plan dan master plan. Ok, maka ikutlah saya akan flow sebagaimana dalam fail tersebut. Antara benda lain yang dibuat ialah membahagikan ahli biro kepada 7 group dan menempatkan mereka ke setiap venue yang terlibat untuk tawe. Macam aku ni pc pulak nak buat-buat group.

Keluar masuk iium properties (ip), maintainance dan IT department (itd) menjadi rutin harian sepanjang 11 hari. Dapat kenal ramai staff yang sebelum ini cuma terserempak di tepi jalan sahaja. Best jugak sebenarnya bekerja dengan diorang, Cuma masalah blur time ditanya pasal prep n tech tu masih lagi menjadi penyakit kronik saya. Tiap kali rakan committee tanya tentang equipment tertentu, ayat paling popular yang akan saya respon ialah “saya akan pastikan benda tu ada”. Walhal sebelum itu saya tak tau pun benda itu kena disediakan.

Antara peristiwa yang paling saya tak dapat lupakan sewaktu berkomunikasi dengan madam siti humaiyah (deputy dean students activity department) sewaktu menyiapkan pentas di padang cfs. Saya ditanya oleh madam “muntaqim, ni portable ke permanent pa system?”. Saya reply “mana saya tau, madam”. Dia tanya balik, “kan awak prep n tech?”. Lantas terpacul keluar ayat kurang sopan depan madam “saya tak mintak pun prep n tech”. Madam tengok pelik je kat saya time tu. Mungkin tak dapat nak reply jawapan jujur saya tadi. Last-last, madam bantai saya dalam meting pc sebab menjawab macam tu kat dia. Dia mintak pc ketuk saya sikit..semua pc dalam tu gelak je kut sebab diorang semua tau akibat meletak ‘abdul muntaqim jadi prep n tech. Sori banyak-banyak madam. Saya tak berniat apa-apa pun nak cakap macam tu. Sekadar respon spontan yang jujur.

Sepanjang tawe saya tidak berada di satu venue sahaja tetapi kena berjalan dan memantau setiap venue. Agak letih sebenarnya untuk round semua venue daripada amf, anx, seminar room, lha&lhb, block e, smawp, sm, field dan ukc1. Pengalaman lenguh kaki ini saya yakin turut dirasai oleh semua committee yang lain. Balik bilik je dah pening kepala. Nasib baik ada sahabat yang memahami. Boleh mintak dia tolong urut kepala.

Menyusun kerusi, mengangkat meja, memasang screen dan lain-lain kerja teknikal sebenarnya merupakan pengalaman dan ilmu baru yang cukup berharga. Walaupun pekerjaan belakang tabir ini kadangkala dipandang rendah oleh sesetengah orang, tetapi kalau tidak ada yang mebuat kerja ini, masakan sesebuah event itu dapat dijalankan dengan jayanya. Sebagaimana stokin, kalaulah tidak ada orang yang bekerja di kilang stokin kerana takut dihina, pasti semua orang tidak dapat memakai stokin pada hari ini. Saya cukup panas apabila ada yang cakap pada saya macam ni “oo...prep n tech, patut la tadi nampak angkat kerusi”. Dengan nada yang cukup tidak menyenangkan. Apa hina sangat ke buat kerja macam tu? Saya tak terkejut kalau orang yang berfikiran macam ni tak dapat kerja selepas habis belajar sebab nak tunggu kerja yang setaraf dengan kelulusannya. Patut la ramai graduan yang menganggur.

Saya cukup bertuah kerana mendapat ahli biro yang cukup komited dan sporting.
Sejujurnya inilah post yang saya paling tak serius sewaktu memegangnya (bukan tak serius kerja tetapi tak serius perwatakan). Saya pun tak tau kenapa jadi camtu. Mungkin sebab dapat ahli-ahli yang sporting kut. Apapun, tahniah kepada ahli biro kerana keberjayaan menjayakan tawe ini. Allah sahaja yang boleh membalas jasa-jasa kalian.

Alhamdulillah, sepanjang tawe tidak ada sebarang masalah besar yang berlaku. Yang ada cuma masalah-masalah biasa yang dapat diselesaikan. Penghargaan setinggi-tingginya kepada assistant saya, umizatul khaliesah samian yang cukup cekap dan aktif. Banyak masalah yang dapat diselesaikan dengan kecekapan dia. Tak lupa kepada adib farhan dan nik nur ‘amirah sebagai s/u biro yang setia mencatat dan menyimpan rekod.

Selepas berakhirnya tawe, semua management committee disediakan satu sampul surat untuk diletakkan komen oleh committee yang lain. saya mendapat komen yang cukup banyak dan ada yang positif dan tidak kurang juga yang negatif. Agak mendownkan juga apabila membaca komen negatif tetapi itulah komen yang jujur sebenarnya. Tambahan pula saya baru 1st time jadi prep n tech. Head pulak tu. Mestilah banyak kekurangan pada diri ini. Kalaulah orang yang baru pertama kali memegang sesuatu post dan dia berjaya menjalankan tanggungjawab dengan sempurna, nescaya semua orang atas muka bumi ini akan menjadi orang yang berjaya. Terima kasih kepada semua. Insya Allah saya akan cuba memperbaiki diri.

Pengalaman yang sangat bernilai apabila menjadi prep n tech. Faedah langsungnya bila mana saya mendapat pengalaman berkaitan dengan kerja-kerja teknikal yang sebelum ini menjadi ketakutan bagi saya. Mungkin selepas ini saya akan lebih berani untuk memasang lcd dan laptop. Saya juga tidak serik untuk memgang post ini selepas ini. Why not?

Faedah secara tidak langsungnya apabila berada dalam barisan management committee, saya berpeluang bersama dengan kepimpinan tertinggi yang menjayakan tawe yang terdiri daripada staff dan student. jadi saya dapat kenal dengan beberapa orang staff penting di cfs iium pj ini yang tidak saya kenali sebelum ini. Elok belok pengurusan yang agak kompleks juga dapat saya timba sedikit sebanyak. Walaupun saya prep n tech, tetapi saya turut mendapat sedikit pengetahuan bagaimana kerja pc, registration, examination, security dan lain-lain. Dan banyak lagi faedah lain yang saya dapat yang memberi kebaikan kepada emosi, fizikal, pemikiran dan lain-lain yang agak bersifat peribadi.

Kita merancang, Allah merancang. Tetapi perancangan Allah lah yang terbaik. Qada’ baik dan qada’ buruk yang berlaku kepada kita, sebenarnya semua baik untuk kita. Sekali lagi terbukti dalam hidupku...

Tuesday, May 19, 2009

Terengganuku Sayang


Negeri asalku terengganu. Saya dilahirkan di negeri yang cukup istimewa. Negeri yang menjadi tempat menetap bagi 17 tahun paling awal dalam hidup saya sebelum saya meninggalkan negeri ini untuk melanjutkan pelajaran ke Darul Quran. Jadi kali ini saya hendak menceritakan serba sedikit tentang negeri yang namanya cuma satu patah perkataan sahaja dan berhuruf paling banyak dalam perkataan tersebut berbanding nama negeri-negeri lain.

Mempunyai loghatnya yang tersendiri yang mana tidaklah sepopular loghat orang utara ataupun kelantan, tetapi lebih popular berbanding loghat negeri sembilan, melaka, johor dan negeri-negeri lain. Loghat utara dan kelantan lebih popular kerana banyak movie dan rancangan televisyen yang menggunakan loghat ini. Mana ada rancangan yang menggunakan bahasa terengganu??? Kalau adapun Cuma salam pantai timur. Itu pun agak tenggelam berbanding loghat kelantan. Loghat terengganu selalu dikutuk oleh orang luar tetapi indah dan unik sebenarnya pada pendengaran orang terengganu.

Negeri yang popular dengan keropok lekor dan nasi dagang. Keropok lekor yang paling popular ialah keropok lekor losong. Tetapi pada perasaan lidah saya, keropok losong bukanlah keropok yang paling sedap. Losong popular kerana kedudukannya strategic berdekatan dengan bandaraya kuala terengganu. Tetapi sebenarnya keropok yang paling best pada lidah saya terletak di kampung mengabang lekor. Tengok nama pun dah tau kampung ini penuh dengan industri keropok lekor. Nasi dagang pulak saya kurang tahu macam mana pembuatan nasinya kerana saya ini specialist dalam memakan dan bukannya memasak, Tetapi yang pasti nasi ini berlaukkan ikan gulai.

Cukup popular dengan pulau-pulau peranginan dan tasik buatan manusia terbesar di asia tenggara iaitu pulau kapas. Pulau kapas, redang dan perhentian memang indah laut dan pantainya dengan khazanah yang berharga. Tasik kenyir pula merupakan syurga memancing dan tempat berkhemah yang cukup best.

Keistimewaan lain terengganu yang tidak sempat saya ulas secara terperinci: negeri asal DYMM Sultan Mizan Zainal Abidin, YDP Agong sekarang, satu-satunya negeri semenanjung yang mempunyai sumber petroleum, negeri tempat bertelur 4 spesies penyu dan muzium terbesar di Malaysia. Tidak lupa juga kepada masjid kristal, taman tamadun islam dan kejohanan monsun cup.

Menjadi rebutan dua parti utama iaitu umno dan pas. Pas pernah menguasai terengganu antara 1959-1961 dan 1999-2004. Bakinya dikuasai umno yang keseluruhannya lebih 40 tahun mentadbir terengganu tetapi negeri ini sentiasa meriah dengan persaingan kedua-dua parti. Penduduknya didominasi oleh orang melayu yang membentuk 90% daripada keseluruhan penduduk. Kedudukan kerusi dun sekarang UBN jauh meninggalkan PAS dengan kedudukan 24-8

Tokoh politik kerajaan yang paling tinggi dalam sejarah terengganu ialah tan sri wan mokhtar ahmad yang pernah menjadi naib presiden umno dan menteri besar terengganu lebih kurang 25 tahun. Terengganu tidak ada wakil yang pernah menjadi timbalan perdana menteri ataupun perdana menteri. Tokoh pembangkang yang paling masyhur pula tidak syak lagi dato’ seri tuan guru haji abdul hadi awang yang sekarang ini merupakan presiden pas, ahli parlimen marang dan adun rhu rendang. Sudah pasti tuan guru akan diberikan peranan yang sangat penting sekiranya pakatan rakyat membentuk kerajaan pada masa akan datang.

Menteri belia dan sukan sekarang, dato ahmad shabery cheek merupakan ahli parlimen kemaman. Tetapi sebenarnya tokoh dari terengganu kurang menonjol di peringkat pusat dan sekadar menjadi menteri biasa sahaja. Di pihak pas pula terengganu telah melahirkan tokoh-tokoh yang cukup hebat seperti dato’ muastafa ali yang pernah menjadi ketua pemuda pas selama 7 penggal dan naib presiden pas selama 8 tahun. Dato’ harun taib sebagai bekas ketua dewan ulama dan selepas muktamar ini akan kembali memegang jawatan tersebut. Dato’ abu bakar chik juga pernah menjadi ketua pemuda pas untuk 5 penggal.

Saya sendiri pula cukup berasa bertuah dilahirkan, dibesarkan dan menjelajah ke seluruh alam dengan bertitlekan orang terengganu. Mungkin saya akan berkerjaya dan berumahtangga di bumi dan dengan orang daripada tempat tumpah darah saya. Apa-apapun, negeriku cukup best…………..

Friday, May 15, 2009

Politik Malaysia Yang Gila...


Setakat seminggu “puasa” menulis, banyak perkara yang saya terlepas untuk diulas dalam blog ini. Daripada episod peperangan dalam dun perak 7 mei, keputusan mahkamah tinggi 11 mei, hari umno 11 mei, penangguhan keputusan mahkamah 12 mei, menteri besar 21 jam, peluang kenaikan pangkat kepada lebih 170,000 kakitangan sokongan dan yang terbaru kesediaan PM untuk berjumpa pimpinan pakatan berkenaan isu perak. Hem...nampaknya isu perak sekali lagi menjadi perhatian seluruh umat manusia di malaysia.

Adakah politik malaysia sudah gila? Adegan pergaduhan dalam parlimen yang sebelum ini sekadar kita lihat berlaku di parlimen luar negara seperti taiwan, kini berlaku di perak. Negeri yang dua tahun dulu Umno/barisan nasional (UBN) begitu perkasa sekali dan pastinya kita tidak terbayang di minda keadaan sedemikian akan berlaku.

Insiden tendangan adun umno di kelantan tidaklah mengejutkan kerana umum rakyat mengetahui pergolakan negeri kelantan tidak pernah pudar walaupun sekejap. Tembakan rambang polis yang mengenai dua orang awam sewaktu ceramah di terengganu pun tidak mengejutkan sangat dek kerana persaingan sengit UBN dan Pas di negeri ini. Kedah pun kalau berlaku perkara seperti ini, kita sekadar menggeleng kepala tanpa ulasan lanjut sebab tak terkejut. Tetapi bila mana perkara ini berlaku di perak, semua orang jadi ghairah. Dan tak kurang juga ramai yang menyampah.

Kegilaan diteruskan apabila mahkamah tinggi kuala lumpur memutuskan DS nizar sepanjang masa merupakan MB perak dan bukannya Dato Zambry. Semua orang hatta mereka yang menyokong pembangkang turut terkejut kerana tidak menyangka mahkamah yang selama ini kelihatan tunduk di bawah telunjuk penguasa, membuat keputusan seberani itu. Kegembiraan UBN yang berjaya “menawan” kerusi speaker dun perak lenyap dan seolah-olah tidak bermakna lagi.

Menteri besar, DS nizar menjalankan urusan selaku menteri besar perak selama 21 jam. Sangat pelik melihatkan orang yang dianggap penderhaka tiba-tiba hadir ke istiadat penganugerahan pingat kebesaran perak, menjadi tetamu kehormat, duduk di kerusi yang dikhaskan untuk menteri besar dan lebih memeningkan lagi, menjadi pengiring kepada raja muda perak.

Petang hari yang sama, 12 mei, mahkamah memutuskan menangguhkan pengisytiharan yang dibuat oleh mahkamah tinggi semalam. Lalu baliklah Dato’ zambry ke puncak kuasa. Penangguhan tersebut dibuat oleh mahkamah setelah hanya satu jam permohonan dibuat oleh pihak UBN. Wartawan pun ikut pening sekali sehinggakan wartawan tidak tahu yang mana satu antara DS nizar dan Dato’ zambry yang hendak ditittlekan bekas mesteri besar.

Walaubagaimanapun, episod politik malaysia yang makin gila ini akan diteruskan sehinggalah kuasa rakyat dikembalikan pada pilihan raya umum ke-13 nanti. Sekitar tahun 2012 mungkin. Pada waktu itu, saya dan rakan-rakan seangkatan sudah layak mengundi. Apa-apapun, kita sebagai pemerhati bebas, sambil belajar marilah kita bersama-sama memerhatikan sepak terajang politik ini. Mungkin zaman inilah sejarah paling banyak dicipta. Jom kita menonton.....

Taaruf Week Datang Lagi!!!


Fuhh....dah lama tak update blog. Berehat seminggu sebab nak hadapi final exam. Alhamdulillah, semua selesai dengan baik. Harap-haraplah result yang keluar nanti pun macam tu jugak. Minggu depan ta’aruf week akan bermula. Adik-adik baru akan menjejakkan kaki ke cfs iium. Semoga generasi yang akan datang ini merupakan generasi yang baik.

Status sama ada batch akan datang ini dipendekkan tempoh pembelajaran ke setahun ataupun kekal dua tahun masih lagi menjadi tanda tanya. Ramai lecturer yang menyatakan silibus sudahpun siap. Maksudnya silibus sebelum ini telahpun dipadatkan dan disesuaikan untuk tempoh setahun. Walaubagaimanapun, setelah ditanya, bro fadzil daripada department of science menyatakan sebenarnya pihak cfs iium tidak mempunyai sebarang perancangan untuk memendekkan tempoh pembelajaran kepada setahun.

Tadi saya baru sahaja ke administration&record untuk menanyakan hal ini. Staff di situ bagitau untuk kemasukan kali ini kekal dua tahun tetapi untuk yang akan datang akan dipendekkan kepada dua tahun. Nampaknya ada percanggahan fakta di situ. Cuma saya merasakan tidak mungkin kemasukan kali ini akan menjadi setahun sahaja.

Takkanlah pihak cfs iium nak membuat suatu keputusan yang besar dengan tergesa-gesa. Kalau kita melihat khilaf yang berlaku, rasanya mustahillah keputusan besar macam ini akan dibuat mendadak sedangkan lecturer, department dan administration masih lagi terpinga-pinga.

Tapi yang pasti, taaruf week kali ini mestinya meriah kerana kehadiran kawan-kawan daripada nilai. 17/5 ini hari pendaftaran comittee dan dengarnya 23hb ini pendaftaran adik-adik baru. Nampaknya sejarah akan berulang kembali. Kalau dahulu kami sebagai peserta kena mengulang-ulang nyanyian lagu cfs, bacaan ikrar dan mendengar taklimat-taklimat yang banyak, kali ini kami lah yang akan menghandle semua perkara tersebut.

Kepada yang menjadi committee, laksanakanlah tugas dengan sedaya upaya. Berilah first impression yang baik kepada adik-adik dan ibu bapa mereka. Bukan mudah nak dapat pengalaman handle ta’aruf week. Jom kita meriahkan ta’aruf week kali ini!!!!

Wednesday, May 6, 2009

Paksalah Diri Anda, Nescaya Anda Akan Dekat Dengan Allah.


Penyakit yang sering bermain dalam kalangan sesetengah rakan-rakan kita (tak kira di mana-mana pun, temasuklah di cfs iium) dan mungkin kita sendiri, menunggu supaya datangnya ikhlas dahulu kemudian barulah hendak beramal. Justeru, ayat seperti “kalau aku tutup aurat pun tapi terpaksa, apa gunanya?” atau “sembahyang kat masjid tapi sebab kena paksa buat apa?” selalu kita dengar. Kadang-kadang kita pun naik pening. Lalu tinggallah orang yang sedemikian menunggu hidayah Allah tanpa membuat apa-apa usaha bagi mendapatnya.

Perkataan ”kalau buatpun tapi tak ikhlas” seringkali digunakan bagi menghalalkan tindakan-tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seseorang yang bertitle muslim. Seolah-olah kalaulah hidayah/keikhlasan itu tidak datang, selama-lamanya mereka akan kekal dalam keadaan sedemikian. Bukannya tidak ada yang menasihati, ramai, tetapi tidak sampai seru, menyebabkan mereka sentiasa beralasan untuk tidak melaksanakan suruhan Allah.

Sepatutnya kitalah yang berusaha menggerakkan diri kita bagi mendapatkan redha Allah. berlumba-lumbalah mengejar kebaikan. Paksalah diri dengan apa cara sekalipun. Lawanlah sikap lemah dan malas dalam diri. Sebagaimana kita memaksa diri untuk study bagi mendapatkan kejayaan dalam peperiksaan walaupun dalam keadaan yang begitu berat sekalipun, begitulah juga kita ini dalam merebut kurniaan daripada Allah.

Kadang-kadang keikhlasan itu akan datang lama setelah kita melakukan sesuatu amalan tersebut. Pada mulanya kita tidak ikhlas memikirkan paksaan dan beratnya hati ini dalam mengikut suruhan Allah. tetapi tanamkan dalam hati “aku buat ini semata-mata mengikut perintah Allah”. walaupun berat, tetapi percayalah, lama-kelamaan, rasa malas dan berat tersebut akan diganti dengan rasa kemanisan dalam beribadat dan melakukan suruhan Allah.

Iman manusia bertambah dan berkurang. Bukan seperti malaikat yang sentiasa maintain tahap Iman mereka. Bukan seperti para Nabi dan Rasul yang sentiasa bertambah tetapi kita adalah manusia yang tidak terlepas daripada godaan syaitan dan nafsu. Kadang-kadang kita melakukan suruhan Allah dengan penuh rasa khusyu’ dan merasai kemanisannya, tetapi ada ketika yang lain kita merasa kosong, tidak ada makna dan seolah-olah ibadah yang nampak dari segi perbuatan, tetapi tidak meresap ke hati.

Namun, beristiqamahlah walaupun dalam keadaan susah atau senang, suka atau terpaksa. Haraplah redha dan keampunan Allah di atas kelemahan kita sebagai insan yang lemah. Tetapi janganlah sekali-kali kerana tidak merasai kemanisannya (atau tidak datangnya keikhlasan) menyebabkan kita terus lari dan meninggalkan kewajipan tersebut.

Paksalah diri untuk melakukan kebajikan. Paksalah diri untuk solat. Paksalah diri untuk menutup aurat. Paksalah diri untuk berzikir. Paksalah diri untuk berakhlak mulia.paksalah diri untuk menjaga batas-batas pergaulan. Paksalah diri untuk mentadabbur Quran. Paksalah diri untuk berjihad.

Paksalah diri anda, nescaya anda akan dekat dengan Allah.

Tuesday, May 5, 2009

Antara Cafe Ukc, Aika dan E-Cafe: Manakah Pilihan Hati?


Kadang-kadang kita perlu juga membicarakan perkara yang santai-santai. Hidup kita ini kebanyakannya diisi dengan perkara yang memberatkan kepala. Sakit kepala dibuatnya apabila 24 jam hidup di cfs iium ini sekadar diwarnai oleh timbunan buku tebal, assignment, tutor dan yang paling menakutkan ialah menanti saat-saat datangnya quiz yang cukup marabahaya walaupun sekadar 20 minit.

Manusia dapat hidup beberapa bulan sekiranya tidak makan tetapi hanya beberapa hari tanpa air. Betapa besarnya peranan makan dan minum dalam kehidupan makhluk yang bernama manusia. Dalam habitat sesebuah spesies, pasti ada tempat yang khusus bagi menjalani proses makan dan minum. Padang ragut ialah tempat yang paling popular.

Sedangkan haiwan pun memerlukan sumber makanan, apatah lagi kita sebagai manusia. Syukurlah kerana di cfs iium ini terdapat banyaknya cafe yang menjadi destinasi bagi mereka yang memerlukan makanan. Antara yang popular dalam kalangan brothers ialah Cafe ukc, Aika Cafe di abc dan E-Cafe berdekatan dengan Smawp. Di sebelah sister tidaklah saya ketahui citarasa mereka. Tetapi terdapatnya sister yang menjadi pelanggan tetap Cafe ukc.

Pemilihan cafe bagi brothers diukur melalui beberapa aspek. Berdasarkan pemerhatian, aspek harga berada di tempat yang pertama. Penulis berpendapat dua aspek ini dimenangi oleh Aika dan E-Cafe. Dialog popular yang biasa diungkapkan oleh mereka yang memilih kedua-dua cafe ini ialah “jom gi makang kat aika”, ujar seorang brothers yang berasal dari terengganu. “doh wakpo pulok mu ni?”, balas rakannya yang lahir dan menetap di kelantan. “doh muroh, pier hok takmboh makang mende muroh”, orang yang pertama membalas balik.

Kesedapan dan kesegaran mungkin menjadi aspek utama bagi mereka yang mementingkan kualiti tetapi brothers tidaklah berkira sangat soal ini. Apa yang masuk ke perut semuanya akan bercampur gaul. Rasa yang sedap tidak akan dirasa lagi setelah makanan masuk ke perut. Pada hemat penulis, Cafe Ukc lebih menyerlah dalam aspek ini. Walaupun sekadar sardin, masakan yang dihidangkan cukup kelihatan segar dan menarik minat. Udang dan sotong celup tepung walaupun muncul dengan tidak istiqamah, tetapi diminati oleh pelbagai lapisan umur.

Suasana, hiasan dan kebersihan walaupun tidak menjadi perkiraan sangat, namun tetap menyumbang ke arah kewujudan selera yang kondusif dan meransang sel-sel deria hidung dan lidah. Ketiga-tiganya seri. Tidak ada pemenang bagi aspek ini. Bukan kerana sudah bagus tetapi semuanya belum lagi menepati piawaian penulis. Diharap ketiga-tiga cafe ini dapat memperbaikinya pada masa akan datang.

Nasi dan lauk pauk walaupun sedap setara manapun tidak akan lengkap melainkan adanya air yang cukup “uummpphh”. Diukur berdasarkan warna, rasa, kuantiti dan harga, pemenangnya tidak syak lagi E-Cafe yang turut mendapat pujian lecturer. Melihat dari jauhpun sudah teruja. Apatah lagi ketika hari panas membakar, singgah sebentar, keluarkan duit kertas RM1 dan sekeping duit syiling 20sen, pilih sahaja air yang anda mahu.

Hemm...sekadar satu coretan santai. Tetapi inilah post yang paling saya teruja tatkala menaipnya. Mungkin ketiga-tiga tempat ini menjadi persinggahan harian sehingga 2 atau 3 kali sehari bergantung kepada kondisi, menyebabkan cafe-cafe ini dekat dengan hati saya. Kak Noni, Mak Cik Aika dan Abang E, jaga cafe anda baik-baik.

Kami harapkan harga yang murah, rasa yang sedap dan kebersihan yang terjaga. Dan yang paling utama mestilah halal dan baik. Halalan Tayyiba. Makanan beginilah yang akan menjadi penerang kepada kami yang menuntut ilmu sebagai bekalan untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi ini.

Sunday, May 3, 2009

Apalah Yang Ada Pada Analogi Sebatang Pokok?


Pengajian singkat setahun setengah di Darul Quran JAKIM dahulu membolehkan saya mengikuti banyak program yang dianjurkan oleh persatuan pelajar di situ. Hampir semua program yang dijalankan bermatlamatkan pembentukan kemahiran berfikir dan menambah pengetahuan. Sewaktu di dalam program, banyak analogi yang diberikan bagi memudahkan peserta untuk memahami konsep-konsep yang diajarkan.

Antara analogi yang paling saya ingat ialah berkaitan dengan 'aqidah, ibadah dan akhlak. Ketiga-tiga aspek penting dalam kehidupan sebagai orang Islam itu dianalogikan sebagai sebatang pokok. Sekiranya ketiga-tiga aspek tersebut kuat dan mantap maka pokok tersebut akan menjadi pokok besar yang tumbuh rendang dan mengeluarkan buah yang manis.

Perkaitan antara ketiga-tiga aspek tersebut dapat dilihat melalui tiga bahagian pokok iaitu akar, batang dan daun/buah. Setiap satu bahagian ada perkaitannya dengan bahagian yang lain. Akar dianalogikan dengan 'aqidah, batang dengan ibadah dan daun/buah dengan akhlaq.

Saya bukanlah orang yang faqih dalam membicarakan tajuk yang sangat penting ini. Tetapi analogi yang mudah ini membolehkan saya yang jahil ini mendapat gambaran sedikit sebanyak apakah yang mengaitkan antara 'aqidah, ibadah dan akhlak.

'Aqidah merupakan tunjang dan menjadi perkara asas yang perlu difahami oleh setiap orang Islam. Sekiranya persoalan berkaitan dengan 'aqidah belum dapat diselesaikan dalam diri seseorang muslim tersebut, tak perlu lagi bicara soal ibadah dan akhlak. Fungsi 'aqidah yang menjagi asas kepada individu muslim itu layaklah dianalogikan dengan fungsi akar bagi sesebuah pokok.

Jikalau pokok yang akarnya tidak kukuh dilanda oleh rebut, pastinya pokok tersebut akan tumbang. Begitulah juga ummat Islam, tiadanya 'aqidah yang kuat akan menyebabkannya mudah terpengaruh dengan fahaman atau ideologi lain yang bertentangan dengan Islam.

Kukuhnya 'aqidah seseorang itu akan melahirkan individu yang kuat ibadahnya. Ibadah yang dilakukan bukan sekadar paksaan atau ikutan semata-mata tetapi bertitik tolak daripada kukuhnya 'aqidah dalam dirinya. Individu tersebut akan faham dan sedar bahawa ibadah yang dilakukan adalah untuk mendekatkan diri (taqarrub) kepada Rabbul Jalil.

Begitulah juga batang yang kuat yang terbina oleh asas yang kukuh iaitu akar tunjang. 'aqidah sebagai tunjang akan melahirkan seseorang yang kuat dan istiqamah ibadahnya. Bukan sekadar ikut-ikutan atau taqlid semata-mata.

Pucuk yang rimbun dan buah yang manis ranum tidak mungkin lahir tanpa dua aspek yang disebut sebentar tadi. Samalah kiranya kalau kita membandingkannya dengan akhlak yang mulia. Akhlak inilah yang menjadi ukuran kepada tingginya peribadi dan luhurnya budi seseorang individu tersebut.

Masakan orang yang kukuh 'aqidahnya dan kuat ibadahnya berakhlak dengan akhlak yang buruk. Ibadah sembahyang contohnya, mempunyai kaitan yang khusus dengan tertahannya seseorang itu daripada melakukan perkara keji dan mungkar. Sebagaimana pokok yang rimbun pucuknya dan manis ranum buahnya dek kerana akar dan batang yang kukuh, seorang individu muslim juga pastinya berakhlak dengan akhlak yang mulia sekiranya 'aqidah dan ibadahnya mantap.

Akhirnya Short Sem Dah Nak Habis!!!


Tatkala saya menerima keputusan EPT (English Placement Test) semasa awal semester satu dahulu, sebenarnya saya agak kecewa kerana ditempatkan pada level 4. Alhamdulillah saya berjaya melepasi APT (Arabic Placement Test) yang menjadikan saya tidak perlu mengambil subjek bahasa Arab. Jadi jadual saya akan menjadi agak ringan. Tetapi bermula dengan level 4 english dan exempted arab membawa maksud saya perlu mengambil semester pendek. Suatu perkara yang saya cuba elakkan sejak belum menjejakkan kaki ke cfs iium lagi.

Mengambil semester pendek menyebabkan saya terpaksa belajar di cfs tatkala kawan-kawan lain bercuti kira-kira dua bulan setengah. Saya cuma mendapat cuti beberapa minggu sahaja. Tambahan pula, tiada elaun disediakan. Terpaksalah saya menyusahkan mak dan ayah bagi menanggung saya walaupun itu perkara yang paling saya benci. Terfikir juga nak berbisnes seperti rakan-rakan lain tetapi minat tu tidak ada (walaupun bagi item cita-cita saya tulis: ahli perniagaan).

Namun demikian, saya yakin mesti ada sebab Allah menetapkan yang demikian. Rukun Iman yang ke-6, percaya bahawa qada' baik dan qada' buruk, sebenarnya baik untuk kita. Terngiang kata-kata seorang senior pada saya, "ambik short sem ni bagus. Untuk akademik bagus, untuk kerja-kerja lain pun bagus".

Lebih kurang begitulah ayat dia. Saya faham apa yang dimaksudkan tetapi agak payah nak menerima hakikat saya terlepas peluang untuk dapat dua bulan cuti. Baru sahaja saya plan nak apply jadi cikgu sekolah rendah time cuti panjang.

Walaubagaimanapun, saya sedar bahawa saya ini bukan jenis orang yang boleh cuti panjang. Mesti ada sahaja aktiviti yang saya nak lakukan. Waktu cuti antara semester 2 dengan short sem yang lebih kurang dua minggu itu pun saya dah rasa cukup boring. Badan dah panas sebab tak ada aktiviti nak dibuat.

Mujurlah saya ada motor SS110 nombor plat TR9987 yang menjadi teman rapat saya. Motor ini dah tua sebenarnya. Sebelum ini dah ada 4 orang yang pakai. Tetapi kalau setakat nak round bandaraya warisan pesisir air macam petik jari je.

Bermula short sem. Walaupun agak frust tapi saya gagahkan jua. Mujur ramai kawan-kawan yang senasib dengan saya. Sepanjang short sem ni, banyak tempat yg saya jelajahi termasuklah negeri sembilan, perak, hulu selangor, iium gombak dan sebagainya. Penjelajahan ini pasti tidak dapat saya rasai sekiranya sekadar duduk di kampung.

Short sem ialah waktu untuk menambah pengetahuan melalui pembacaan buku-buku yang sebelum ini selalu tertangguh dek kerana kesibukan belajar akademik. Kurniaan wireless network kepada warga cfs iium turut menjadi penyeri. Saya yang sebelum ini tidak pernah kenal apa itu blog telah berjaya memajukan diri untuk menjadi blogger yang berjaya.

Perancangan society juga dapat dirancang walaupun terdapat beberapa orang sahabat yang tidak dapat menyertai perancangan tersebut kerana tidak ada short sem. "Tak berapa pandai sampai ada masalah pointer payah, yang terlalu pandai sampai takde short sem pun payah". Ayat ini pernah beberapa kali saya keluarkan kepada kawan-kawan. Merujuk kepada beberapa orang rakan-rakan yang tidak ada short sem.

Alhamdulillah, sekarang ini dah hampir berada di penghujung short sem. Beberapa minggu lagi akan bermula tenure baru. Sebenarnya dala hati saya tidak ada penyesalan sedikitpun kerana mengambil short sem. Banyak hikmah yang diperolehi. Walau apapun yang berlaku, itulah yang terbaik yang Allah takdirkan untuk kita. Kita merancang, Allah merancang, tapi perancangan Allah lah sebaik-baik perancang.