Sunday, May 3, 2009

Apalah Yang Ada Pada Analogi Sebatang Pokok?


Pengajian singkat setahun setengah di Darul Quran JAKIM dahulu membolehkan saya mengikuti banyak program yang dianjurkan oleh persatuan pelajar di situ. Hampir semua program yang dijalankan bermatlamatkan pembentukan kemahiran berfikir dan menambah pengetahuan. Sewaktu di dalam program, banyak analogi yang diberikan bagi memudahkan peserta untuk memahami konsep-konsep yang diajarkan.

Antara analogi yang paling saya ingat ialah berkaitan dengan 'aqidah, ibadah dan akhlak. Ketiga-tiga aspek penting dalam kehidupan sebagai orang Islam itu dianalogikan sebagai sebatang pokok. Sekiranya ketiga-tiga aspek tersebut kuat dan mantap maka pokok tersebut akan menjadi pokok besar yang tumbuh rendang dan mengeluarkan buah yang manis.

Perkaitan antara ketiga-tiga aspek tersebut dapat dilihat melalui tiga bahagian pokok iaitu akar, batang dan daun/buah. Setiap satu bahagian ada perkaitannya dengan bahagian yang lain. Akar dianalogikan dengan 'aqidah, batang dengan ibadah dan daun/buah dengan akhlaq.

Saya bukanlah orang yang faqih dalam membicarakan tajuk yang sangat penting ini. Tetapi analogi yang mudah ini membolehkan saya yang jahil ini mendapat gambaran sedikit sebanyak apakah yang mengaitkan antara 'aqidah, ibadah dan akhlak.

'Aqidah merupakan tunjang dan menjadi perkara asas yang perlu difahami oleh setiap orang Islam. Sekiranya persoalan berkaitan dengan 'aqidah belum dapat diselesaikan dalam diri seseorang muslim tersebut, tak perlu lagi bicara soal ibadah dan akhlak. Fungsi 'aqidah yang menjagi asas kepada individu muslim itu layaklah dianalogikan dengan fungsi akar bagi sesebuah pokok.

Jikalau pokok yang akarnya tidak kukuh dilanda oleh rebut, pastinya pokok tersebut akan tumbang. Begitulah juga ummat Islam, tiadanya 'aqidah yang kuat akan menyebabkannya mudah terpengaruh dengan fahaman atau ideologi lain yang bertentangan dengan Islam.

Kukuhnya 'aqidah seseorang itu akan melahirkan individu yang kuat ibadahnya. Ibadah yang dilakukan bukan sekadar paksaan atau ikutan semata-mata tetapi bertitik tolak daripada kukuhnya 'aqidah dalam dirinya. Individu tersebut akan faham dan sedar bahawa ibadah yang dilakukan adalah untuk mendekatkan diri (taqarrub) kepada Rabbul Jalil.

Begitulah juga batang yang kuat yang terbina oleh asas yang kukuh iaitu akar tunjang. 'aqidah sebagai tunjang akan melahirkan seseorang yang kuat dan istiqamah ibadahnya. Bukan sekadar ikut-ikutan atau taqlid semata-mata.

Pucuk yang rimbun dan buah yang manis ranum tidak mungkin lahir tanpa dua aspek yang disebut sebentar tadi. Samalah kiranya kalau kita membandingkannya dengan akhlak yang mulia. Akhlak inilah yang menjadi ukuran kepada tingginya peribadi dan luhurnya budi seseorang individu tersebut.

Masakan orang yang kukuh 'aqidahnya dan kuat ibadahnya berakhlak dengan akhlak yang buruk. Ibadah sembahyang contohnya, mempunyai kaitan yang khusus dengan tertahannya seseorang itu daripada melakukan perkara keji dan mungkar. Sebagaimana pokok yang rimbun pucuknya dan manis ranum buahnya dek kerana akar dan batang yang kukuh, seorang individu muslim juga pastinya berakhlak dengan akhlak yang mulia sekiranya 'aqidah dan ibadahnya mantap.

0 comments: