Thursday, December 3, 2009

Kita Ibarat Para Pengembara


Baru-baru ini hati saya cukup tertarik dengan lagu nasyid yang sebenarnya sudah lama tetapi telah diberi nafas baru dengan rentak yang cukup rancak. Lagu itu bertajuk “Bingkai Kehidupan” yag didendangkan oleh kumpulan shoutul. Pada permulaan lagu tersebut tersurat ayat “mengharungi samudera kehidupan, kita ibarat para pengembara, hidup ini adalah perjuangan, tiada masa tuk berpangku tangan”.

Ayat tersebut mengingatkan kita kepada hadis Rasulullah S.A.W bahawa hidup manusia ini umpama seorang musafir yang singgah sebentar, berehat sebentar di bawah sepohon pokok dan kemudian meneruskan perjalanan. Jadi tempoh berehat sebentar itulah gambaran betapa pendeknya kehidupan manusia di dunia ini berbanding dengan apa yang kita akan tempuhi selepas ini.

Alangkah pendeknya hidup ini. Bagi mereka yang seumur dengan saya, beberapa tahun lagi kita akan menghabiskan tempoh pelajaran. Kemudian kita akan disibukkan dengan alam pekerjaan dan alam kekeluargaan yang semestinya kita rasakan sekejap. Kalaulah kita sekarang ini pun yang merasakan kehidupan yang terlalu pantas berlalu masanya dek kerana kesibukan menyiapkan tutorial, assignment, research dan sebagainya, nescaya nanti setelah bekerjaya dan berkeluarga, sudah pasti kita akan merasakan masa itu berlalu lebih pantas berbanding sekarang.

Kemudian timbul satu persoalan, kemana kita akan pergi selepas itu? Setelah bekerjaya tentunya kita akan menghabiskan sisa-sisa kehidupan sebagai seorang yang sudah tua. Katakanlah kita bersara pada umur 55 tahun, kita hanya ada paling lama 15 tahun lagi untuk hidup (mengikut hadis Nabi umur umatNya antara 60-70 tahun). Jadi kemudian kita akan meninggalkan dunia ini. Apakah nasib kita selepas itu?

Alangkah pendeknya hidup ini berbanding dengan akhirat yang kekal abadi. Marilah kita bermuhasabah adakah kita sudah bersedia bertemu Allah ataupun kita sekarang dijangkiti oleh penyakit “wahan” yang dimaksudkan oleh Rasulullah sebagai “cintakan dunia dan takutkan mati”. Kita takut mati kerana banyaknya dosa yang dilakukan, banyaknya hutang yang tidak dilangsaikan dan banyaknya ibadat wajib mahupun sunat yang tidak dikerjakan.

Isilah saki baki hidup ini dengan amal yang baik dan elakkan diri daripada berbuat dosa. Jadilah orang yang sentiasa meletakkan diri atas dasar Islam. Wallahua’lam.

2 comments:

anakmithali on December 5, 2009 at 11:05 AM said...

salam. ana suka gak lagu tu..dan da jd lagu blog ana pun..sangat bersemangat bila dengar.. bagi yang x tau,bole klik kat link blog ana..sama2 kita hayatinya..

Syahir Safwan bin Ahmad Suhaimi on December 27, 2009 at 8:58 PM said...

Lagu ini jugak mengenangkan kisah beberapa orang pemuda menangkap ayam dalam keadaan merangkak, kemudian menyembelih ayam itu, memasaknye dengan resepi yang baru... sambil diganggu dengan ais krim dengan megi...
bile dengar lagu ni mesti terkenang waktu itu.. Allah saje yang tahu macam mane perasaan ni... rindu dan sayang kepada perjuangan(^_^)