Tuesday, June 2, 2009

Tazkirah Awal Sem: Hati ini.....


Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan insan untuk hidup dalam keadaan hati yang tenang dan sejahtera. Kegembiraan yang terpancar dalam perlakuannya bukanlah pengukur bahawa individu tersebut sedang berada dalam keadaan yang bahagia. Sudah jenuh buku-buku motivasi yang dibaca, kata-kata semangat diberi kepada diri, bermacam usaha yang dilakukan, tetapi ketenangan hati masih lagi belum dicapai. Di manakah silapnya???

Allah S.W.T telah menjanjikan kepada hambaNya bahawa mereka pasti akan diuji dan antara ujian tersebut ialah dicampakkan olehNya akan rasa tidak tenang dalam hati yang menyebabkan kita sentiasa merasa resah gelisah tidak keruan walaupun setelah difikir-fikirkan, sepatutnya ketidaktenangan itu tidak menganggu hati. Kenapa hati masih lagi tidak tenang walhal semuanya dalam keadaan baik?

Sebenarnya yang menyebabkan hati kita tidak tenang itu ialah kerana jauhnya hubungan kita dengan Allah. Allah lah yang mengawal hati-hati manusia. Dia berkuasa sama ada ingin mencampakkan rasa tenteram ke dalam hati manusia atau sebaliknya. Sebab itulah kita dapat melihat mereka yang miskin dan faqir, ramai di kalangan mereka hidup lebih tenang dan bahagia berbanding mereka yang dilimpahkan dengan kekayaan duniawi.

Hati yang tidak tenang merupakan petanda supaya hambaNya kembali mendekatkan diri dan menyerahkan seluruh kepercayaan kepada Allah. Supaya hamba tersebut sentiasa berzikir, membaca Al-Quran, mengunjungi masjid dan surau serta banyak perkara lain yang sebelum ini terabai dek kerana kesibukan duniawi.

Resah gelisah yang mendatangi hati ini merupakan tanda kasih Ilahi supaya hambaNya sentiasa bermuhasabah dan merenung kembali kesilapan dan dosa yang pernah dilakukan. Supaya direnungkan kembali niat yang kadangkala mungkin tercemar dengan tujuan-tujuan lain yang tidak selari dengan niat asal sebagai seorang da’ie dan pejuang agama Allah S.W.T.

Insya Allah, baiki hubungan denganNya, nescaya tenanglah hati dan perasaanmu…

1 comments:

Anonymous said...

Jom Cintakan Allah!
Cintakan RasulNya!