Sunday, November 8, 2009

Mengenang Pejuang-pejuang Terdahulu


Alhamdulillah bermula daripada tahun 1957 sehinggalah sekarang, sudah lebih lebih 52 tahun negara kita Malaysia dan kita sebagai rakyatnya mengecap nikmat kemerdekaan. Suatu nikmat yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata dan tidak dapat digambarkan dengan tulisan. Namun jangan kita lupa sebenarnya tempoh 52 tahun ini sebenarnya masih jauh untuk dibandingkan dengan tempoh Negara kita dijajah. Jangan dlupa akan fakta yang negara kita sebenarnya telah dijajah selama 446 tahun.

Bermula dengan Portugis yang menjajah Melaka pada tahun 24 Julai 1511 dan telah mendudukinya selama 130 tahun, disusuli kemudiannya oleh Belanda, British dan Jepun. Untuk rekod, British merupakan penjajah paling lama bertapak di negara kita bermula pada 1824 sebelum diserahkan kembali kepada anak watannya untuk menjalankan pemerintahan sendiri pada 31 Ogos 1957.

Panjang sekiranya kalau saya hendak menulis berkenaan sejarah yang berusia ratusan tahun ini sebenarnya. Namun satu fakta yang tidak boleh dinafikan oleh semua pihak ialah ulama’ merupakan antara faktor yang paling penting dalam menyemarakkan semangat membebaskan diri daripada belenggu penjajahan.

Sebahagian ulama ini telah menjadi korban penjajah samada syahid ditali gantung seperti Umar Mukhtar atau dipaksa mendekam dipenjara tanpa pembicaraan seperti Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, juga dibuang negeri seperti Imam Diponegoro, Uthman Den Fodio, Haji Abdul Rahman Limbong. Selain itu, ulama lainnya pula yang turut berjuang menentang penjajah dan yang ada kaitannya dengan kemerdekaan negara ialah Tokku Paloh, Sheikh Abdullah Fahim, Haji Sulong al-Fatani, Imam Bonjol dan lainnya lagi.


Jika kita menggali semula penulisan-penulisan sejarah, kita akan mendapati fakta sejarah yang tidak ditulis dengan telus. Terutama sekali buku-buku sejarah di sekolah-sekolah. Nama-nama ulama’ yang memperjuangkan kemerdekaan seperti Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Tuan Guru Haji Hassan bin Munas (Tok Janggut) di Kelantan, Tuan Guru Haji Musa Minangkabau, Adipati Yunus di Melaka, dan Sheikh Abdul Samad al-Falimbani tidak ditonjolkan.

Suatu fakta yang tidak boleh dinafikan ialah fakta dimana Gerakan Islam turut berperanan di dalam memberikan sumbangan kepada kemerdekaan Negara. Jika diselak di dalam buku-buku sejarah kita akan berjumpa dengan nama seperti Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Dr Burhanuddin Al Helmy, Prof Zulkifli Muhammad dan Ahmad Boestamam.

Perjuangan kemerdekaan yang bermula awal kurun ke 20 pada peringkat awalnya dipelopori oleh golongan berpendidikan agama/ Arab. Mereka menyebarkan idea reformasi dari Timur Tengah ke Tanah Melayu. Golongan ini dikenali sebagai Kaum Muda. Tokoh utama ialah Syed Sheikh Al- Hadi, Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin, Haji Abbas Muhammad Taha. Mendapat pendidikan di Timur Tengah. Menjadi pelopor kepada gerakan pemulihan Islam iaitu pengamalan ajaran Islam sebenar.

Kaedah perjuangan yang dilakukan oleh Kaum Muda yang dilakukan secara langsung ialah melalui media seperti majalah dan surat khabar cth Al-Iman, Neracha, Idaran Zaman, Saudara dan juga melalui cerpen dan novel spt Hikayat Faridah Hanum, Hikayat Nurul Ain. Manakala yang dilakukan secara tidak langsung pula melalui madrasah yang dibina bagi mengajar ilmu dunia dan agama dan idea ini diterap dalam pengajaran.
Begitulah sedikit sebanyak coretan sejarah berkenaan perjuangan kemerdekaan.

Kebanyakannya saya rujuk melalui buku ”ulama dalam sorotan perjuangan kemerdekaan” karangan Ridhuan Mohamad Nor & Mohd Fadli Ghani. Sebenarnya panjang lagi kalau kita nak bicarakan soal ini. Belum lagi kita menyentuh apa yang berlaku dalam lingkungan 12 tahun sebelum kemerdekaan yang membawa kepada penubuhan UMNO pada 1946 dan PAS pada 1951 yang kemudiannya menjadi pemain utama dalam gelanggang politik sekarang ini.

Apa-apapun, sumbangan pejuang-pejuang kemerdekaan tidak dapat kita nafikan akan besarnya pengorbanan mereka. Mudah-mudahan Allah merahmati mereka. Al-Fatihah

0 comments: