Saturday, March 28, 2009

13 Mei 1969


Alhamdulillah baru-baru ini saya berjaya mengkhatamkan buku 13 MEI karangan Kua Kia Soong. Beliau merupakan seorang aktivis SUARAM (Suara Rakyat Malaysia). Buku yang cukup berfakta ini menulis berkenaan peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang mana perangkaan rasmi telah menyatakan sebanyak 136 nyawa yang terbunuh, 180 cedera oleh senjata api dan 259 cedera oleh senjata-senjata lain. Perangkaan ini telah dipersoalkan oleh wartawan antarabangsa yang pada waktu tersebut telah menghitungkan jumlah korban yang lebih tinggi daripada yang diwartakan oleh pihak kerajaan. Jadi saya akan cuba menghuraikan dengan ayat yang mudah tentang apa yang saya faham daripada buku ini.

Kia Soong mengambil maklumat daripada Pejabat Rekod Awam, London yang menyimpan rekod telegram yang dihantar oleh pegawai British di yang bertugas Malaysia tentang apa yang berlaku pada waktu tersebut. Catatan wartawan asing turut dijadikan sumber maklumat . Ini bermaksud buku ini berdasarkan sumber yang bukannya daripada pihak kerajaan. Jadi pembaca boleh membuat perbandingan dengan versi kerajaan dan seterusnya membuat penilaian sendiri tentang peristiwa 13 Mei 1969.

Versi kerajaan sebagaimana yang biasa kita baca dalam buku teks sekolah menengah menyatakan peristiwa berdarah ini berlaku secara spontan. Kemenangan ramai calon bukan daripada DAP, Gerakan dan PPP serta kekalahan banyak kerusi oleh MCA dan MIC telah menjadi punca kepada peristiwa itu. Mereka yang menang ini (terutamanya DAP) telah melakukan perarakan di ibu kota bagi meraikan kemenangan mereka dan telah melakukan provokasi seperti menyuruh orang Melayu berambus ke hutan-hutan. Sudah pasti orang Melayu begitu terkesan dengan provokasi tersebut dan akhirnya berlakulah pertumpahan darah membabitkan dua kaum yang paling besar di negara ini iaitu Melayu dan Cina.

Namun begitu terdapat pihak-pihak (termasuk penulis buku ini) yang merasakan peristiwa ini merupakan suatu perkara yang sengaja dirancang kerana masakan pergaduhan awal yang berlaku tidak dapat dibendung sebaiknya dan korban sebesar itu sebenarnya tidak munasabah berlaku sekiranya sekadar disebabkan oleh perhimpunan dan provokasi oleh DAP.

Ada yang menyatakan peristiwa ini sengaja dirancang oleh pihak-pihak tertentu yang ingin menggulingkan Tunku Abdul Rahman yang kelihatannya begitu bertolak ansur dengan golongan bukan Melayu. Pihak tertentu tersebut sengaja merancang konspirasi berdarah yang bertujuan melemahkan Tunku dan menaikkan Tun Razak sebagai Perdana Menteri. Tunku sangat terbuka dan kelihatan terlalu berlembut dengan bukan Melayu sehingga menyebabkan pihak ultra-Melayu tidak senang dengannya dan berusaha menjatuhkannya.

Pihak luar melihat peristiwa 13 Mei sengaja dirancang untuk menjatuhkan Tunku dan menaikkan golongan ultra-Melayu yang ingin membentuk Malaysia baru pasca-1969. golongan ini pada akhirnya telah melaksanakan banyak dasar-dasar yang memihak orang Melayu seperti dasar pendidikan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Malaysia dilihat telah mengamalkan diskriminasi kaum dengan meminggirkan kaum-kaum lain dalam pembentukan dasar-dasar tersebut.

Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan sewaktu keadaan darurat yang mana fungsinya telah mengatasi kabinet jemaah menteri dalam mentadbir negara ini dilihat meminggirkan orang bukan Melayu dengan hanya seorang daripada kaum India dan seorang daripada kaum Cina daripada 9 orang ahli MAGERAN. Mereka yang dilihat begitu berkuasa dalam mentadbir negara pada waktu itu ialah Tun Razak, Tun Ismail dan Ghazali Shafie yang mendapat dokongan penuh daripada pihak tentera.

Sekadar itulah ulasannya dan kalau nak tahu lagi lanjut, bacalah sendiri. moga-moga setelah membaca buku ini bertambahlah ilmu kita semua sebagai suatu ilmu yang bermanfaat untuk diri kita dan orang lain, insya Allah.

1 comments:

Anonymous said...

Kua Kia Bersiung orang DAP. Jadi di sini ada 'conflict of interest' untuk kita ambil buku ini sebagai satu fakta yang benar.

Juga buku itu mengambil fakta-faktanya dari sumber luar yang pada masa itu mempunyai impian untuk melihat negara kita musnah dek tragedi itu.

Amat tidak adil jika dituduh arwah Tun Razak sebagai merampas kuasa. Apa yang beliau lakukan bukan saja menyelamatkan Malaysia daripada roboh sebagai sebuah negara bahkan membina negara kita ke arah kestabilan yang kemudiannya menjadi satu asas untuk kemajuan semua rakyat Malaysia di era Tun Hussein dan Tun Mahathir.

Elok saudara dapatkan cerita sebenar daripada pakcik-pakcik atau atuk-atuk di sekitar kawasan KL yang sendiri terlibat dalam peristiwa berdarah ini.