Thursday, April 23, 2009

dosa, pahala, syurga, neraka...


Sebenar-benar manusia yang kuat keIslaman dan keimanannya sudah pasti akan mengaitkan seluruh apa yang dilaluinya dalam kehidupan ini kepada persoalan dosa dan pahala serta syurga dan neraka. Kerana kehidupan yang dilalui oleh semua manusia bukanlah seperti kehidupan binatang dan tumbuhan yang sekadar hidup di atas muka bumi ini dan musnah bersekali dengan musnahnya alam ini, tetapi kita punyai satu perjalanan yang cukup panjang yang mana segala amal perbuatan kita akan dipersoalkan dan diberi balasan oleh Allah S.W.T.

Sifirnya mudah, jikalau sekiranya seseorang itu melakukan perkara kebaikan yang diredhai Allah, dia akan mendapat ganjaran pahala dan seseorang itu akan mendapat sebaliknya sekiranya dia melakukan yang sebaliknya. Pada hari akhirat kelak, setelah ditimbang amalan baik dan amalan buruk dengan menggunakan Mizan (neraca timbangan di hari akhirat kelak), mereka yang berat timbangan amal baiknya akan mendapat keni’matan hidup kekal abadi manakala mereka yang sebaliknya akan mendapat yang sebaliknya.

Segala perbuatan yang dilakukan pasti akan dihisab. Mustahil penciptaan kita sebagai manusia yang Allah firmankan di dalam al-Quran sebagai “sebaik-baik kejadian” ini sekadar suatu penciptaan yang sia-sia. Pasti ada tujuan dan matlamat penciptaan tersebut. Dan sekiranya kehidupan kita itu tidak menuju ke arah matlamat yang ditentukan oleh Allah atau lebih teruk lagi tidak mengetahui matlamat penciptaan kita, maka sudah pasti kita akan menghadapi masalah sewaktu disoal di hadapan Allah S.W.T.

Maka dengan itu, marilah kita bersama-sama memperbaiki amalan kehidupan seharian kita dan jauhilah daripada terjebak ke dalam perkara dosa yang membawa kepada kemurkaan Allah. Pesanan kepada diri saya yang lemah ini dan kepada semua sahabat-sahabat yang sudi kiranya menjenguk blog ini.

Walaubagaimanapun, terdapat salah faham yang biasa dilakukan oleh manusia dan kadang-kadang oleh kita sendiri ialah sekadar menganggap konsep dosa&pahala, syurga&neraka ini dalam konsep ibadah yang sempit sahaja. Alhamdulillah bila mana ramai di kalangan kita sedar bahawa kita akan mendapat dosa sekiranya kita meninggalkan sembahyang, puasa di bulan Ramadhan dan kewajipan-kewajipan lain sebagai seorang hamba kepada Pencipta yang maha Esa, tetapi jangan kita lupa dalam hal berkaitan ekonomi, sosial, politik, perundangan dan sebagainya turut tidak lari daripada persoalan dosa&pahala serta syurga&neraka.

Antara pimpinan yang sentiasa istiqamah menyebut berkaitan dosa pahala ialah menteri besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Di mana-mana sahaja beliau berucap, pasti beliau akan mengaitkan kehidupan ini dengan hari akhirat. Walaupun seseorang itu berada di mana-mana tempat sekali pun, pelajar, kerani, pekerja biasa, nelayan, DO (pegawai daerah) hatta sebagai pemimpin negara, tidak akan terlepas daripada disoal oleh Allah. Tambah-tambah lagi apabila melibatkan persoalan amanah.

Dijadikan manusia itu dari setitis air mani yang hina. Hidup bergelumang dosa. Amanah tidak dilaksanakan dengan baik. Ibadah tidak sebanyak mana. Banyak terlibat dalam perkara syubhah dan banyak lagi kekurangan dan keburukan pada diri ini. Layakkah kita mendapat syurga Allah??

1 comments:

Anonymous said...

artikel yg bgs..
keep on d gud work!!!
always keep ur blog updated!